Iklan

LANGSUNG: Pengurus AmBank disoal peguam Najib berhubung tandatangan yang tidak sama

Bede HongYvonne Lim6 years ago25th Apr 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 9 03
Pengurus Ambank, Uma Devi Ragavan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 April, 2019.
Iklan

PERBICARAAN Najib Razak berhubung SRC International masuk hari kesembilan hari ini, dengan saksi ke-21, Pengurus Cawangan AmBank R. Uma Devi sekali lagi memberi keterangan.

Beliau akan terus membacakan 42 halaman kenyataan bertulisnya, selepas disoal balas oleh peguam pembela yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Semalam, Uma memberi keterangan yang bekas perdana menteri membuka dan menutup lima akaun dengan cawangan AmBank Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur, antara 13 Januari 2011 dan 9 Mac 2015.

Najib juga memberi kebenaran kepada bekas pengarah dan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk mengendalikan lima akaunnya, dua daripadanya tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Kedua-dua akaun itu dibuka pada 2011 dan ditutup pada Ogos 2013.

Tiga akaun bank baru dibuka pada Julai 2013 dan ditutup pada Mac 2015.

Dalam satu daripada akaun ini, wang berjumlah RM64 juta telah didepositkan - RM27 juta pada 8 Julai, RM27 juta pada 26 Disember 2014 - dan RM10 juta pada 10 Februari 2015.

Keterangan Uma juga menunjukkan RM3.28 juta dipindahkan daripada akaun Najib untuk membayar dua bil kad kredit.

Berdasarkan permintaan pihak pembelaan, mahkamah semalam mengarahkan pegawai pemprosesan Affin Bank Rosaiah Rosli mengeluarkan semula bukti lanjut untuk menunjukkan ke mana pemindahan bank sebanyak RM8 juta, yang didakwa daripada SRC International Sdn Bhd itu pergi.

Najib berdepan tiga tuduhan CBT, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan salah satu penyalahgunaan kuasa berhubung dana berjumlah RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International.

Perbicaraan ini dikenalikan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

5.35pm: Shafee meminta prosiding ditangguh ke Isnin, da mengatakan beliau ada hal yang melibatkan Samirah Muzaffar esok.

Peguam itu berjanji untuk memberikan tarikh ganti semua Jumaat yang terlepas. Prosiding pada Jumaat lepas turut ditangguhkan, kerana Shafee ada hal lain.

“Sitham dan saya akan berikan tarikh untuk gantian semua Jumaat yang kami terlepas.

“Ia juga cadangan yang baik untik saksi berehat esok,” kata Shafee.

“Saya tidak menyerah pada tarikh tersebut,” kata hakim itu, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan untuk mendengar semula tarikh tersebut.

Prosiding akan bersambung pada Isnin, pukul 9.30 pagi.

Mahkamah ditangguhkan. 

5.20pm: Merujuk kepada salinan yang keliatan sama dengan dokumen lain, Harvinderjit berkata, ia hampir sama seperti seseorang memotong dan tampal tandatangan itu.

Uma: Bagi pegawai bank, selagi tandatangan itu sama, transaksi akan diproses. 

Tambahnya beliau memang tidak boleh komen perbezaan tandatangan itu.

5.10pm: Harvinderjit masih menyoal Uma mengenai tandatangan yang berbeza pada surat arahan dari SRC International kepada AmBank

Harvinderjit berkata perbezaan tandatangan itu terlalu ketara.

Harvinderjit: Kamu boleh nampak perbezaan hanya dengan melihatnya.

Uma: Saya tidak tahu.

Beliau kemudian terus menyoal Uma.

4.30pm: Harvinderjit menyoal Uma tentang proses dokumentasi kertas dan digital yang datang dengan transaksi. Merujuk kepada transaksi 24 Disember, 2014 yang mana sebanyak RM5 juta dipindahkan dari SRC kepada Ihsan Perdana, Harvinderjit berkata, tandatangan bekas pengarah SRC Suboh Yassin pada salinan penyata itu lebih besar berbanding salinan emel yang dihantar dua bulan kemudian, pada 13 Februari, 2015. 

Harvinderjit berkata, sistem ini membolehkan berlakunya eksploitasi “kelemahan yang sah”, dan bertanya Uma sama ada beliau setuju. 

Uma kelihatan gementar dan menjawab dengan perlahan. Harvinderjit memberitahunya agar tidak perlu takut.  

Pengurus cawangan AmBank itu, yang merupakan saksi ke 21, sudah memberi keterangan lebih enam jam, bermula pukul 9 pagi hari ini. Semalam, beliau beri keterangan selama empat jam.

3.20pm: Harvinderjit: SRC ada akaun lain?

Uma: Mereka ada satu akaun mata wang asing.

Uma berkata ada beberapa mesyuarat diadakan dengan SPRM selepas serbuan itu. Saksi juga mengesahkan beliau hanya dipanggil oleh polis untuk siasatan pada tahun lalu.

3.15pm: Harvinderjit bertanya kepada Uma bila kali terakhir beliau melihat salinan dokumen itu. Katanya, beliau melihatnya baru-baru ini, ketika perlu merujuknya untuk keterangan saksi.

Harvinderjit bertanya sama ada dokumen itu ditutup ketika perbincangan lisan dengan pendakwa raya.

Katanya, ia tidak terperinci, hanya butiran ringkas dibangkitkan ketika perbincangan lisan itu, antaranya seperti “adakah anda menurunkan tanda tangan di sini”.

3pm: Uma mengesahkan permintaan untuk dokumen itu berdasarkan kepada transaksi tertentu, termasuk tarikh khusus dan jumlah. Beliau juga bersetuju ketika Harvinderjit berkata nombor akaun itu tidak disebut dalam dokumen transaksi.

2.55pm: Harvinderjit bertanya kepada Uma sama ada Krystle Yap, Joanna Yu dan Daniel Lee masih lagi bekerja di Ambank. Uma jawab tidak.

Harvinderjit: Krystle Yap dan Joanna Yu masih bekerja di Ambank?

Uma: Tidak. Mereka dah berhenti.

Harvinderjit: Kamu tahu bila mereka berhenti?

Uma: Tak tahu.Saya tak rapat dengan mereka.

Harvinderjit: Bagaimana dengan Daniel Lee?

Uma: Daniel juga berhenti.

Harvinderjit: Bila?

Uma: Dah lama.

2.45pm: Harvinderjit menyoal Uma jika dia diminta menyerahkan emel yang dihantar kepada pengurus perhubungan, Uma jawb tidak.

Harvinderjit berkata jejak emel bermula dari 24 Disember 2014, jam 10.47 pagi. Yok Peng menghantar emel kepada Krystle Yap. Salinan emel juga dihantar kepada Terence Geh dan Daniel Lee.

2.25pm: Mahkamah sambung perbicaraan. Uma meneruskan beri keterangan dan Harvinderjit menyambung soal balas saksi.

1.00pm: Mahkamah berhenti untuk makan tengah hari.

12.45pm: Pegawai yang membuat serbuan (daripada SPRM dan BNM) ingin merampas salinan asal dokumen itu, jadi Uma membuat tiga salinan keseluruhan fail untuk rujukan bank.

Harvinderjit: Satu-satunya masa anda lihat salinan asal adalah ketika pihak pendakwaan menunjukkannya kepada anda?

Uma: Ya, hanya baru-baru ini.

12.30pm: Uma ditanya sama ada beliau ingat apa yang dicari oleh para pegawai dalam serbuan itu?

Uma: SRC, Gandingan Mentari, akaun Najib, Yayasan Gemilang, 1MDB

Harvinderjit: Adakah mereka meminta nombor akaun atau di bawah nama tertentu?

Uma: Mereka akan meminta semua akaun di bawah nama tertentu

Harvinderjit: Adakah beliau membacanya daripada satu senarai?

Uma: Saya tidak ingat

Harvinderjit: Berapa lama masa yang diambil untuk mendapatkan ia semula?

Uma: Kira-kira sejam, mungkin kurang.

Uma berkata pada pukul 10 pagi, beliau berjaya mendapatkan semua dokumen yang diminta. Beliau menambah apabila pegawai yang membuat serbuan datang, mereka memperkenalkan diri daripada SPRM dan beberapa yang lain daripada BNM.

12.25pm: Harvinderjit bertanya bila kali pertama beliau menyedari semua agensi itu mencari akaun tertentu.

Uma: Ketika saya pertama kali menjadi pengurus cawangan, saya tahu mereka sedang menyiasat, tetapi saya tidak tahu secara khusus.

Jayakumar (pendahulu Uma) cuti sakit pada hari pertama saya - jadi penyerahan tugas dilakukan beberapa hari kemudian. Beliau memberitahu saya perlu mengambil alih untuk menangani perkara ini.

Penolong pengurus cawangan membantu siasatan 1MDB pada ketika itu.

Harvinderjit: Siapa yang anda jumpa pada 6 Julai?

Uma: Saya ingat Azizul. Selebihnya saya tidak ingat. Terdapat sekumpulan mereka yang datang. Kira-kira 11 orang ketika mereka datang.

Saya baharu sahaja selesai taklimat pagi. Baru membuka cawangan pada pukul 9 pagi. Saya mahu pergi ke bilik saya, kemudian mereka datang. Mereka sedang menunggu di lobi dan meminta untuk bertemu pengurus cawangan.

Saya masih ingat salah seorang daripada mereka adalah Azizul. Beliau bukan individu yang mengetuai, ada orang lain.

12.20pm: Harvinderjit bertanya sama ada Uma perlu mendapatkan kembali akaun beberapa individu selain Najib.

Uma: Ya, kami ada dan tidak. Ia akan datang melalui jabatan pematuhan, mereka akan menghantar arahan.

Harvinderjit: Adakah anda diminta untuk mendapatkan semula penyata Low Teck Jho?

Uma: Saya diminta untuk memeriksa sama ada beliau mempunyai akaun, tetapi saya fikir beliau tidak mempunyai rekod dengan Cawangan Raja Chulan.

12.14pm: Uma berkata tidak pernah bertemu dengan Najib, Nik Faisal atau Suboh Md Yassin.

12.11pm: Uma berkata beliau menyertai AmBank pada 2012 sebagai pengurus. Sebelum ini beliau bersama Aeon Bank (2009-2012); Royal Bank of Scotland (2008-2009) dan OCBC (2004-2008).

11.35am: Uma berkata beliau membuat perubahan pada kenyataan saksi mengenai nombor dan juga beberapa kesilapan. Harvinderjit meminta untuk melihat perubahan itu.

Sithambaram membantah, mengatakan tiada kenyataan ditandatangani boleh ditunjukkan di mahkamah. Ia draf. Ia tidak dapat ditunjukkan sebagai bukti.

11.30am: Uma berkata selepas memeriksa kenyataan saksi yang diberikan oleh pihak pendakwa tetapi beliau tidak membawa pulang dokumen itu kerana ia “sangat sulit” dan khuatir tersalah letak.

11.30am: Harvinderjit menyoal Uma.

Beliau bertanya sama ada beliau sedar apa yang saksi kedua Azizul beritahu mahkamah? Uma berkata beliau membacanya dalam berita.

Harvinderjit kemudian bertanya sama ada Uma sedar apa yang Azizul beritahu mahkamah tidak sama dengan apa yang dikatakan kepada mahkamah? Uma menjawab “ya”.

Azizul adalah pegawai BNM yang mengetuai serbuan ke atas cawangan AmBank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Azizul memberitahu mahkamah beliau tidak diberi nama tertentu untuk meminta dokumen semasa serbuan tetapi hanya nombor akaun.

11.22am: Kenyataan Uma menunjukkan RM4 bilion dipindahkan daripada SRC International melalui Gandigan Mentari pada Mac 2012 dan RM37 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib antara 2014-2015.

11.00am: Merujuk kepada rekod akaun SRC International yang lain (terdapat dua), Uma berkata pada 30 November 2011, terdapat pemindahan kredit sebanyak RM500 juta.

Pada 28 Mac 2012, terdapat pemindahan kredit sebanyak RM2 bilion.

Dua hari kemudian, terdapat pemindahan debit sebanyak RM2 bilion.

10.57am: Uma mengesahkan Nik Faisal diberi mandat oleh Najib untuk mengeluarkan kredit dan arahan pemindahan berhubung tiga akaun AmPrivate itu.

10.45am: V. Sithambaram bertanya sekiranya Uma sebagai pengurus cawangan menyedari sebarang notifikasi daripada Najib mengenai kesilapan, percanggahan, perkara tidak kena, pengeluaran tanpa kebenaran, penipuan transaksi.

Uma: Setakat pengetahuan saya, berdasarkan rekod saya, tidak.

Sithambaram: Sebarang aduan oleh Najib mengenai bagaimana ketiga-tiga akaun ini diuruskan?

Uma: Tidak.

10.25am: Uma berkata RM5 juta didebitkan dua kali - sekali pada 5 Februari 2015 dan keesokan harinya.

Beliau kemudian merujuk kepada akaun Gandingan Mentari, Uma berkata jumlah yang sama dikreditkan ke dalam akaunnya pada tarikh yang sama.

10.20am: Bacaan daripada rekod transaksi akaun SRC International, Uma berkata ia menunjukkan empat kredit dan tiga debit.

Rekod menunjukkan RM500 juta dikreditkan empat kali - berjumlah RM2 bilion.

Tiga entri debit menunjukkan dua debit berjumlah RM500 juta dan satu debit berjumlah RM1 bilion, berjumlah RM2 bilion.

10.06am: Uma membaca satu transaksi dan mengesahkan transaksi RM5 juta pada 29 Disember 2014 daripada akaun AmPrivate yang berakhir dengan nombor 906 kepada Putra Perdana melalui akaun Maybank yang berakhir dengan 186.

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan salah satu penyalahgunaan kuasa berhubung dana berjumlah RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 April, 2019.

10.04am: DPP bertanya bagaimana urus niaga setiap hari difailkan. Uma menjawab yang transaksi difailkan berdasarkan kategori seperti kiriman wang, transaksi Rentas. Fail disimpan di cawangan di bawah dua jagaan.

9.55am: DPP menunjukkan Uma beberapa dokumen dan semasa menyoalnya membuat rujukan mengenai apa yang dikatakan saksi lain sebelumnya.

Harvinderjit Singh mencelah beliau tidak boleh merujuk kepada apa yang dikatakan saksi lain ketika menyoal.

DPP kemudian bertanya Uma apa yang berlaku pada 6 Julai 2015. Uma menjawab kakitangan bank mendapatkan maklumat mengenai fail berhubung akaun pelanggan yang diminta oleh pegawai BNM.

DPP bertanya fail yang diserahkan. Beliau berkata tidak ingat dengan jelas tetapi menandatangani surat pengakuan daripada pegawai BNM.

9.48am: Uma menjelaskan “ia bukanlah benar-benar serbuan “, sambil menambah pegawai BNM datang ke cawangan dan ingin bertemu pengurus cawangan. Beliau membawanya ke tingkat 29.

Pendakwa bertanya jika pegawai meminta sebarang dokumen tertentu. Uma menjawab mereka meminta dokumen bukaakaun untuk beberapa nama yang diberikan.

9.45am: Timbalan pendakwa raya bertanya Uma jika masih ingat di mana beliau berada pada hari serbuan bank pusat pada 6 Julai 2015.

Beliau berkata berada di cawangan bank di Jalan Raja Chulan.

9.43am: Uma menandatangani pindaan yang dimuktamadkan sebelum perenggan itu dikemukakan sebagai bukti.

9.40am: Uma membuat pindaan kepada kenyataan itu, membetulkan satu tarikh pemindahan dari 10 Februari 2019 kepada 10 Februari 2015 dan satu amaun pemindahan daripada RM100,000 kepada RM1 juta.

9.35am: Uma mengesahkan cek bernilai RM3.5 juta dikeluarkan daripada akaun bank Najib kepada Hafarizam Wan Aisha Mubarak pada 21 Januari 2015.

Satu lagi cek bernilai RM103,351.17 dikeluarkan kepada Ihsan Perdana, syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC International pada 9 Mac 2015.

9.13am: Najib berpakaian biru, duduk di kandang tertuduh.

9.10am: Uma mengambil tempat dan membaca kenyataan bertulisnya.

8.58am: Najib tiba. – 25 April, 2019.

Iklan
Iklan