Dr Mahathir dan Muhyiddin okay, kata sumber
Iklan
DR Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan empat mata dengan Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam, ketika heboh dakwaan kononnya hubungan antara mereka tegang susulan isu pergantian menteri besar Johor dan barisan exco negeri, kata sumber parti dan kerajaan.
Pertemuan diadakan di pejabat Perdana Menteri selepas mesyuarat Jemaah Menteri, kata seorang sumber parti.
Sumber kerajaan pula memberitahu The Malaysian Insight, pertemuan perdana menteri dengan menteri dalam negeri itu berlangsung lebih kurang 20 minit.
“Tiada apa-apa antara mereka. Semua itu hanya perkara kecil,” kata sumber, merujuk desas-desus yang tersebar di media sosial sejak Selasa bahawa hubungan antara pengerusi dan presiden Bersatu itu renggang.
“Dr Mahathir dan Muhyiddin sudah lama dalam politik. Mereka tahu bagaimana hendak meredakan keadaan,” tambah sumber.
Seorang sumber menggambarkan kepada The Malaysian Insight, kedua-dua pemimpin nampak berbual mesra semasa berjalan keluar dari bilik mesyuarat Kabinet menuju ke lif untuk ke pejabat perdana menteri.
“Mereka sempat berjenaka mengenai lawatan Tun ke China,” kata sumber.
Dr Mahathir berlepas dari Kuala Lumpur pukul 2 petang semalam dan tiba di Beijing, China lebih kurang pukul 8 malam untuk lawatan rasmi sehingga Ahad ini.
Sumber parti mengakui bahawa ada perbincangan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada Isnin lalu mengenai isu pergantian exco kerajaan Johor.
“Tetapi ia tidaklah seperti yang digambarkan. Gambaran itu terlalu berlebihan,” katanya.
Malaysiakini yang juga memetik sumber semalam melaporkan Muhyiddin meminta maaf kepada Dr Mahathir semasa mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Isnin malam.
Perdana menteri dilaporkan marah dengan rombakan yang dibuat ke atas barisan exco kerajaan Johor selepas ada persetujuan supaya barisan lama di bawah bekas menteri besar Osman Sapian dikekalkan.
Dalam pada itu, sumber memberitahu The Malaysian Insight, pada mesyuarat yang sama, Dr Mahathir meluahkan kekecewaannya terhadap prestasi menteri Kabinet daripada Bersatu yang beliau rasakan tidak bersamanya dalam beberapa isu.
“Ada dua perkara yang Dr Mahathir kecewa. Pertama, prestasi kerja menteri kabinet Bersatu, lemah. Masing-masing masih tidak berada pada tahap yang diharapkan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Kecuali Muhyiddin yang berpengalaman, menteri Kabinet daripada Bersatu yang lain semuanya kali pertama memegang jawatan dalam kerajaan.
Mereka ialah Dr Maszlee Malik (menteri pendidikan), Rina Mohd Harun (menteri pembangunan luar bandar), Mohd Redzuan Md Yusof (menteri pembangunan usahawan), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (menteri belia dan sukan) dan beberapa timbalan menteri lain.
“Kedua, mengenai kes Johor, bagaimana MB boleh buat rombakan exco sedangkan arahan dikeluarkan supaya kekalkan exco sedia ada.
“Dr Mahathir terlalu kecewa sehingga luahkan rasa mahu letak jawatan,” tambah sumber.
Tiga exco baharu iaitu Tosrin Jarvanthi dan Mohd Solihan Badri, kedua-duanya dari Bersatu dan Tan Chen Choon dari DAP mengangkat sumpah di hadapan Sultan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Isnin lalu, beberapa jam sebelum mesyuarat MPT Bersatu itu.
Menurut sumber, mesyuarat MPT Bersatu itu dipanggil dengan notis singkat susulan tindakan Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal merombak barisan exco menurut titah Istana Johor.
Pada 13 April lalu, bekas menteri besar Osman Sapian memberitahu wartawan Sultan Ibrahim menitahkan agar barisan exco dirombak sebagai salah satu syarat kepad menteri besar yang baharu.
Menurut sumber, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudiannya menjelaskan rasional rombakan tersebut terpaksa dilakukan kerana tidak mahu berkonfrontasi dengan pihak istana.
“Walaupun Muhyiddin ada menjelaskan, ramai dalam mesyuarat mempersoal keputusan tunduk dengan kemahuan istana.
“Semua tahu hubungan Dr Mahathir dengan Istana Johor agak dingin,” kata sumber.
Semalam, Dr Mahathir dalam satu tulisan di blognya mengingatkan semua pihak tertakluk pada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara, termasuk raja-raja. – 25 April, 2019.