Mat Taib masuk Umno, guruh berdentum hujan tak jadi
Iklan
GURUH berdentum kilat menyabung tapi hujan tak jadi.
Peribahasa itu tepat untuk menggambarkan pengumuman oleh Presiden Umno Najib Razak hari ini mengenai penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor Muhammad Muhammad Taib ke dalam parti pemerintah itu selepas beberapa tahun bersama pembangkang, mula-mula dengan PAS dan kemudian PKR.
Ia cukup untuk menunjukkan betapa Umno sangat memerlukan satu rangsangan sehingga ia mengadakan satu sidang media besar untuk mengumumkan kemasukan tokoh politik yang sudah melalui zamannya. Ia menunjukkan bagaimana rapuhnya keyakinan Najib terhadap Umno Selangor sehingga beliau terpaksa menukar setiap acara kecil menjadi pentas besar untuk dirinya sendiri dan partinya.
Dalam dunia sukan, ini samalah seperti pasukan Real Madrid memanggil media antarabangsa hanya untuk memberitahu ia menandatangani seorang pemain bola sepak yang sudah gagal untuk bermain dalam pasukan utama.
Dalam kehidupan sehari-hari, ini samalah seperti menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran untuk merayakan anak lulus ujian memandu.
Apabila Umno mengumumkan bahawa Najib akan mengadakan satu sidang media khas dan beliau akan diapit oleh menteri besar dan ketua menteri, orang menjangkakan ada tokoh penting yang akan patah balik menyertai Umno.
Muhammad Muhammad Taib adalah seorang tokoh besar pada suatu era yang lain. Pada hari ini, tokoh yang dikenali sebagai Mat Tyson kerana sosoknya yang tegap dan gagah itu hanya nota kaki dalam sejarah.
Nota kaki itu tertulis: berkahwin secara sulit dengan puteri Sultan Selangor; tertangkap membawa beberapa juta ringgit dalam sebuah beg oleh pihak berkuasa Australia; hilang jawatan Menteri Besar Selangor dalam keadaan yang mencurigakan; menyertai pembangkang kerana kecewa dengan cara kepimpinan Umno melayannya.
Jadi kenapa Najib heboh tentang kemasukan semula Mat Taib?
Pertama, penyertaan semulanya ke dalam Umno memboleh Najib menonjolkan melalui media arus perdana satu naratif bahawa pemimpin veteran Umno sudah kembali ke pangkuan parti itu. Kita boleh jangka media akan membesar-besarkan cerita ini dan bercakap bagaimana Umno sedang diperkukuhkan di bawah kepimpinan Najib. Kita juga jangka media akan pembangkang yang huru-hara.
Kedua, Najib akan menggunakan apa saja berita baik yang ada dari sekarang sehingga pilihan raya umum yang dijangka akan diadakan seawal-awalnya hujung tahun ini. Setiap lawatan pemimpin dan diplomat asing akan diperah.
Ketiga, Najib mahu merampas Selangor daripada pembangkang. Putrajaya merasakan tanpa sumber daripada negeri terkaya di Malaysia itu, pembangkang pasti akan tersungkur.
Perdana Menteri percaya Mat Taib masih ada kekuatan untuk menyatukan Umno Selangor yang berpecah dan mengepalai serangan ke atas kerajaan negeri Selangor di bawah Azmin Ali.
Mungkin.
Tetapi ini nampaknya seperti percaya menurunkan semula Soh Chin Aun atau Santokh Singh atau Shukor Salleh ke dalam pasukan bolasepak Malaysia akan mengembalikan zaman kegemilangannya.
Tidak akan jadi apa-apa. Zaman itu sudah berlalu. Lawan mereka kini sudah semakin cekap dan lebih kuat dan mengatasi Malaysia dalam ranking dunia. Samalah seperti seteru politik Umno yang sudah menyaingi parti pemerintah paling lama di Malaysia itu.
Umno perlu melakukan lebih daripada hanya membawa masuk orang lama sebagai satu kemenangan politik kalau ia mahu kekal memerintah. Ia boleh bermula dengan anak-anak muda, dan dasar yang memenuhi kehendak rakyat Malaysia. – 17 September, 2017.