Vivian Wong akan pertahan kerusi mendiang bapa di Sandakan
Iklan
VIVIAN Wong yang merupakan anak kepada bekas Ahli Parlimen Sandakan, mendiang Stephen Wong Thien Fatt, menjadi pilihan DAP untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi itu.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal di pusat komuniti Sandakan hari ini.
Kerusi Parlimen Sandakan itu kosong berikutan kematian Wong akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.
Penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini dan hari mengundi pada 11 Mei.
Vivian merupakan anak keempat Wong dan aktif berpolitik sejak 2012.
Turut hadir pada majlis berkenaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, penasihat DAP Lim Kit Siang dan pengerusi Pakatan Harapan Sabah Christina Liew.
Vivian dijangka akan berdepan calon dari Parti Bersatu Sabah, iaitu satu-satunya parti pembangkang yang mengesahkan penyertaan pada pilihan raya kecil berkenaan.
Antara individu lain yang turut menyatakan minat untuk bertanding sebagai calon bebas adalah bekas ketua Amanah Sabah Hamzah Abdullah, bekas pengurus ladang dan aktivis kontroversial Jufazli Shi Ahmad. – 25 April, 2019