Umno terdesak ‘kutip semula akhbar lama’, kata PKR Selangor
Iklan
PKR tidak terjejas dengan tindakan Muhammad Muhammad Taib kembali menyertai Umno, dan mengatakan ia merupakan langkah “terdesak” dan seumpama “kutip semula akhbar lama”.
Mereka berkata, Muhammad ibarat “kereta tua” dan rakyat Selangor tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain mendapat manfaat besar sejak PKR mengetuai negeri itu bermula 2008.
Pengerusi PKR Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, beliau “kasihan” dengan langkah terdesak Umno yang sudah hilang kepercayaan rakyat itu.
“Ini merupakan langkah desperado.
“Seluruh ahli Majlis Tertinggi Umno diarah untuk berada di sidang akhbar bagi menyambut kepulangan wira Umno, sangat kasihan,” kata menteri besar Selangor itu kepada The Malaysian Insight.
Hari ini, Presiden Umno Najib Razak mengumumkan Muhammad kembali menyertai parti itu.
Muhammad yang merupakan bekas menteri besar Selangor itu sebelum ini menyertai PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Tetapi selepas PAS berpecah sehingga tertubuhnya Amanah, Muhammad mengambil keputusan untuk menyertai PKR.
Selepas pengumuman itu Azmin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor menerusi akaun Twitternya @azminali: “Sau Kaw Po Ji..kah kah kah.” (kutip surat khabar lama).
Exco Selangor Elizabeth Wong berkata, semasa dalam PKR, Muhammad tidak begitu aktif dan tidak banyak membantu parti itu.
“Ini tidak menjejaskan kerajaan negeri Selangor kerana beliau tidak aktif di Keadilan Selangor. Saya pun jarang jumpa beliau di mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR.
“Ini hanya menunjukkan Najib tiada modal politik lagi. Ini seumpama ‘grasping at straws’ nak mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu semasa yang membebankan rakyat,” kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan itu.
Setiausaha PKR Selangor Borhan Aman Shah berkata, Muhammad ibarat “kereta tua yang sudah rosak” dan tidak akan banyak membantu Umno.
“Sewaktu dalam PKR, kita pun tak ‘carry’ Mat Taib di Selangor sebab waktu menjadi menteri besar dahulu, banyak skandal pentadbirannya tidak disukai rakyat.
“Ini hanyalah gimik politik Umno yang sudah terdesak kerana ditolak rakyat,” katanya.
Naib Ketua PKR Cabang Petaling Jaya Utara Fazly Razaly berkata Muhammad hanyalah “kuda tua” dan “taringnya sudah tumpul”.
“PH Selangor masih ramai hulubalang dan pemimpin-pemimpin berpengalaman yang mampu menyengat,” kata ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat itu.
Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya Najwan Halimi berkata, mereka menghormati keputusan Muhammad kembali menyertai Umno tetapi tidak akan menjejaskan mereka.
“Tumpuan PKR di Selangor adalah untuk meneruskan gerak kerja menyantuni rakyat dan persediaan jentera bagi menghadapi PRU yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya. – 17 September, 2017