Iklan

Menjelang PRK Sandakan, pengundi mahu ekonomi tempatan dipulihkan

Jason Santos6 years ago27th Apr 2019Berita
dap flag sandakan tmi 2019
Hari penamaan calon untuk PRK Sandakan berlaku hari ini dan penduduknya mengharapkan ada janji dan harapan dibawa calon menyentuh soal ekonomi bandar itu yang kian merudum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 April, 2019.
Iklan

ISU utama dihadapi penduduk Sandakan adalah kejatuhan harga minyak kelapa sawit yang menjejaskan banyak perniagaan tempatan yang seterusnya memberi kesan kepada ekonomi tempatan.

Pengundi memberitahu The Malaysian Insight yang daerah tersebut banyak bergantung kepada industri kelapa sawit. Kata mereka, ketika harga produk tersebut naik, Sandakan menerima banyak manfaat pembangunan dan kemajuan. Kompleks komersial dibina, pekerjaan wujud malah ada penduduk yang jadi “orang kaya baharu”.

Mereka masih ingat zaman harga komoditi itu kukuh, Sandakan berubah menjadi daerah yang kaya, malah limpahan kekayaan itu turut dirasai daerah berdekatan, terutama dalam industri hartanah.

Bagaimanapun, semua berubah bila harga komoditi mula jatuh sejak lima tahun lepas. Petanda kesukaran ekonomi mula wujud di Sandakan apabila banyak kedai ditutup, perniagaan lingkup atau dalam proses berbuat demikian.

Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, daerah itu sedang bergelut dengan pelbagai masalah.

“Tak ramai pelawat. Tak ada orang datang ke sini lagi,” kata Chin Liew Fang, pemilik sebuah restoran berhampiran Bandar Ramai, Sandakan yang mula berniaga sejak lima tahun lepas.

“Dahulu, ramai pelanggan tetapi sejak harga minyak sawit mula jatuh, ia memberi kesan kepada perniagaan tempatan,” katanya yang berusia 53 tahun itu.

Hayanti Majid, 52, yang membuka restoran menjual nasi kuning turut mengakui perniagaan tak seperti 15 tahun lalu ketika Bandar Ramai mula dibuka.

“Ramai orang pergi ke tempat lain seperti Bandar Kim Fung. Orang ramai suka ke sana kerana kawasan itu ada pasar harian,” katanya.

Vivian Wong Shir Yee, 30, anak perempuan mendiang Stephen Wong Tien Fatt akan mewakili DAP untuk bertanding di PRK Sandakan. Beliau berdepan tugas berat untuk memberi harapan kepada pengundi yang Pakatan Harapan boleh memulihkan ekonomi daerah itu yang kini bergelut pelbagai masalah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 April, 2019.

Tambahnya, kesan limpahan kejatuhan harga minyak sawit sangat buruk- tiada ekonomi tempatan bermakna tiada perniagaan, yang menyebabkan kedai kerugian besar dan orang hilang pekerjaan.

Seterusnya menyebabkan masalah lain pula seperti migrasi ke bandar.

“Tak ada banyak kerja di sini. Tidak ada pejabat atau perniagaan selain ladang kelapa sawit di sini.

“Jadi bila syarikat perladangan terkena (harga jatuh), ekonomi Sandakan pun turut terjejas,” tambah Hayanti.

Seorang lagi penduduk Sandakan Yusdy Rosle berkata, bandar itu akan menjadi bandar mati sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan kemelut ekonomi dihadapi mereka.

Dikatakan Sandakan akan diubah menjadi hab industri berasaskan balak, susulan larangan eksport kayu balak dikenakan kerajaan negeri.

Bendera Parti Bersatu Sabah kembali berkibar di Negeri Bawah Bayu itu sempena PRK Sandakan, kali terakhir ia berkibar pada 1999 sebelum PBS menyertai Barisan Nasional pada 2002. Ia keluar pada 2018 selepas BN tumbang di Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 April, 2019.

Tetapi, hampir setahun selepas itu, kerajaan negeri pimpinan Warisan masih belum menggerakkan usaha menarik pelabur untuk membina kilang pemprosesan balak di Sandakan bagi memastikan hasrat itu jadi kenyataan.

Daerah itu juga memerlukan bantuan pihak berwajib bagi menggerakkan industri pelancongannya, yang menurut Yusdy, boleh membantu menyelesaikan sebahagian masalahnya.

Awal minggu ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Putrajaya sudah meluluskan 49 projek bernilai RM2.28 bilion di Sandakan, RM183 juta daripadanya akan disalurkan tahun ini.

“Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan secukupnya di Daerah Sandakan agar pembangunan ekonomi terus berkembang sebagai salah satu pusat perniagaan yang berdaya maju di sebelah timur Negeri Sabah,” katanya.

Antara projek yang akan dilaksanakan adalah projek tebatan banjir di Sungai Anip dianggarkan menelan belanja RM40 juta dan peluasan Lapangan Terbang Sandakan mencecah RM80 juta.

Linda Tsen, orang lama politik akan jadi calon Parti Bersatu Sabah menentang DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 April, 2019.

Selain itu, beberapa projek lain berkaitan minyak dan kelapa sawit serta pengangkutan awam bermatlamat meningkatkan status ekonomi di Sandakan turut dirancang.

Kerusi Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya Stephen Wong Tien Fatt daripada DAP yang juga menteri kesihatan dan kesejahteraan Sabah pada 28 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai penamaan calon, pengundian awal pada 7 Mei dan hari pengundian pada 11 Mei.

Sandakan mempunyai 39,777 pengundi berdaftar terdiri daripada 49% Cina, Bumiputera Islam (44%) dan Bumiputera bukan Islam (6%).

DAP Sabah menamakan anak perempuan mendiang Stephen Wong, Vivian Wong, 30, sebagai calonnya mewakili Pakatan Harapan dan merupakan pilihan utama PRK ini.

DAP memegang Sandakan sejak 2013.

Barisan Nasional tidak bertanding kali ini, sebaliknya pembangkang negeri, Parti Bersatu Sabah menamakan bekas ahli Parlimen Batu Sapi Linda Tsen- orang tempatan- sebagai calonnya.

Tsen adalah wakil rakyat sejak 2010 sehinggalah 2018, beliau menang kerusi tersebut selepas bertanding merebut kerusi suaminya Edward Chong Ket Wah yang maut dalam kemalangan jalan raya pada November 2010.

Mungkin akan ada calon bebas menyertai PRK ini, tetapi Vivian dan Linda dijangka jadi tumpuan utama, dan siapa antara mereka yang berjaya meyakinkan pengundi mampu mengembalikan zaman emas Sandakan akan masuk Parlimen. – 26 April, 2019.

Iklan
Iklan