SPR tubuh 4 pasukan pantau kempen PRK Sandakan
Iklan
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menubuhkan empat pasukan penguatkuasa untuk menghalang pelanggaran undang-undang pilihan raya ketika dua minggu tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Sandakan.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata setiap pasukan terdiri daripada wakil parti, seorang pegawai majlis perbandaran dan seorang anggota polis.
“Pembentukan pasukan ini dibenarkan mengikut Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Antara tugas pasukan khas ini termasuklah menghadiri dan memeriksa calon sepanjang tempoh kempen mereka,” kata Azmi di pusat penamaan calon di Batu 2.5 Sandakan, Sabah.
Azmi berkata SPR juga sudah mendapatkan ikrar semua calon bahawa mereka akan mematuhi semua kempen pilihan raya.
Selain itu, tambahnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut membuka pusat operasi 24 jam bagi menyiasat sekiranya berlaku rasuah dan kesalahan korupsi lain.
57 orang daripada sektor kerajaan dan swasta juga dilantik sebagai pemerhati pilihan raya, katanya lagi.
Lima calon bersaing merebut kerusi Parlimen Sandakan dalam PRK dijadualkan berlangsung pada 11 Mei.
Mereka ialah Vivian Wong (DAP), Linda Tsen (PBS) dan tiga calon Bebas- Hamzah Abdullah, Chia Siew Yong dan Sulaiman Abdul Samad.
Kerusi Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Stephen Wong Tien Fatt kerana serangan jantung pada 28 Mac lalu. – 26 April, 2019.