Pertembungan 2 'mawar' jadi perhatian PRK Sandakan
Iklan
WALAUPUN lima calon bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Sandakan, tetapi pertarungan sebenar adalah antara Vivian Wong dari DAP dan Linda Tsen dari Parti Bersatu Sabah (PBS).
Kedua-duanya mungkin berbeza pendapat dalam politik, tetapi mereka mempunyai satu persamaan - memasuki gelanggang politik ekoran kematian insan yang mereka sayang.
Wong dinamakan sebagai calon DAP bagi menggantikan penyandangnya, Stephen Wong Tien Fatt yang merupakan bapanya.
Stephen meninggal dunia pada 28 Mac lalu akibat serangan jantung selepas menyertai kembara di tapak pengembaraan baharu di Putatan, Sabah.
Bagi Tsen, penyertaan beliau ke dunia politik bermula selepas kematian suaminya, Edward Chong Ket Wah, yang merupakan Ahli Parlimen Batu Sapi pada 2010.
Tsen menang pada PRK pada tahun tersebut dan mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.
Beliau bagaimanapun tewas pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Walaupun penganalisis politik berkata Wong mungkin mendapat kelebihan undi simpati dan menumpang reputasi baik mendiang bapanya dalam kalangan penduduk, beliau mengakui berasa beremosi untuk memulakan kempen.
“Jika anda melihat saya menangis sendirian, itu bermakna saya amat merinduinya,” katanya.
Sementara itu Presiden PBS Maximus Ongkili berkata partinya yakin dengan kemampuan Tsen untuk merebut kerusi Parlimen itu.
“Banyak sentimen memihak kepada kita pada masa ini. Ini kerana kerajaan pemerintah memungkiri janji untuk mengembalikan hak negeri, mengatasi masalah pengangguran dan kejatuah harga minyak sawit,” katanya.
Proses penamaan calon PRK Sandakan berlangsung hari ini dan tarikh pengundian akan diadakan pada 11 Mei depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa lima calon akan bertanding dalam PRK kali ini termasuk tiga calon bebas. – 27 April, 2019.