Vivian bukan calon mentah, kata Shafie
Iklan
KETUA Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal menepis dakwaan bahawa calon DAP untuk pilihan raya kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong masih mentah untuk terlibat dalam politik.
Sebaliknya, beliau berkata Wong mampu menangani isu dengan cara yang lebih matang berbanding ahli politik lama.
Katanya Wong sudah bertahun-tahun mengikut jejak mendiang ayahnya, Stephen Wong yang merupakan bekas Ahli Parlimen Sandakan.
“Ini bukan soal tempoh berpolitik, tetapi yang lebih penting adalah keperluan untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Apabla saya melihat Wong menyampaikan ucapan, beliau lebih matang dari ahli politik lama yang pernah saya temui.
“Jika saya merupakan pengundi Sandakan, saya pasti memilih Wong,” katanya selepas proses penamaan calon di SMJK Tiong Hua dekat Sandakan hari ini. – 27 April, 2019.
Pemimpin Parti Warisan itu mengulas dakwaan seorang pemimpin Parti Bersatu Sabah (PB) bahawa Wong bukan ahli politik berpengalaman dan tidak sesuai berada dalam Parlimen.
Shafie berkata PBS cuba membawa perubahan ketika menjadi pembangkang pada 1990-an tetapi gagal, dan cuba melakukan perkara yang sama ketika berada dalam Barisan Nasional.
Katanya, tidak seperti PBS, Wong lebih muda, bertenaga dan berpelajaran untuk membawa perubahan di Sandakan. – 27 April, 2019.