Iklan

LANGSUNG: Pengurus AmBank kata RM105 juta dipindah dari SRC ke Putra Perdana pada 2014

Bede HongTimothy Achariam6 years ago30th Apr 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 11 01
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan hari ke-11 kesnya berhubung SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 April, 2019.
Iklan

PENGURUS AmBank R. Uma Devi akan memberi keterangan lagi hari ini, hari ke-11 perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib Razak.

Uma semalam memberitahu mahkamah bahawa bekas perdana menteri itu membuat akaun semasa di Ambank pada 13 Januari, 2011 dan pada dua tahun berikutnya, AS$681 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke akaun itu menerusi tiga transaksi.

Bank Negara menerima amaran di bawah Sistem Pemantauan Operasi Ringgit pada Februari 2011 bahawa “sejumlah besar” wang akan dimasukkan ke akaun itu, kata Uma dalam keterangannya.

Ketika disoal balas, Uma mengesahkan RM304 juta dimasukkan ke akaun itu pada 2011, RM756 juta pada 2012 dan RM1.9 bilion pada 2013. 

Saksi berkata pindahan wang itu termasuk “sumbangan dan hadiah” daripada Putera Faisal bin Turki dari Arab Saudi.

Beliau berkata AS$620 juta kemudiannya dikeluarkan dari negara ini pada 23 Ogos, 2014 menerusi satu lagi akaun.

Akaun berakhir dengan nombor 694 ditutup pada 30 Ogos, 2013 dan baki yang ada RM162 juta dipindahkan ke akaun baharu Najib dengan nombor akhir 880.

Terdahulu semalam, Uma memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa akaun bank Gandingan Mentari, anak syarikat SRC International dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” oleh AmBank kerana aliran tunai yang besar. Akaun itu juga dipantau oleh jabatan pematuhan bank.

Uma dalam keterangannya minggu lalu berkata RM50 juta masuk menerusi Gandingan Mentari daripada SRC International, di mana RM30 juta kemudiannya masuk ke akaun AmBank Najib.

Sejumlah RM4 bilion disalurkan ke SRC International antara 2011 dan 2012. Sebanyak RM42 juta didakwa dimasukkan ke akaun bank Najib.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa berhubung wang itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengendalikan perbicaraan itu. – 30 April, 2019.

The Malaysian Insight membawakan prosiding hari ini secara langsung:

5.20pm: Mahkamah ditangguhkan.

4.22pm: Mahkamah bersambung dengan Wedani mengesahkan pemindahan wang dari Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana dan dokumen lain berkaitan SRC.

3.45pm: Mahkamah berehat 10 minit. 

3.26pm: Wedani mengesahkan SRC menerima RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dalam dua transaksi Rentas iaitu masing-masing pada 2011 dan 2012.

Saksi mengesahkan lebih banyak transaksi Rentas yang dibuat kepada dan dari akaun AmBank.

2.30pm: Wedani Senen, 45, pengurus jabatan kiriman wang di ibu pejabat AmBank, dipanggil beri keterangan.

Wedani berkata jabatan kiriman wang terbahagi kerpada Rentas dan SWIFT.

Rentas ialah sistem BNM untuk pemindahan bank bagi bank tempatan, katanya. Transaksi minimum Rentas ialah RM10,000. Manakala SWIFT dalah untuk transaksi masuk dan keluar luar negara.

Wedani disoal balas oleh DPP Sulaiman Koh berkenaan sistem Rentas.

Saksi itu menjelaskan mengenai kedua-dua sistem tersebut. 

Wedani berkata dia menerima arahan pada 14 Julai 2014 untuk memindahkan RM105 juta daripada SRC kepada Putra Perdana.

12.55pm: Mahkamah berhenti rehat dan akan bersambung semula jam 2.30 petang.

12.53pm: Shafee selesai menyoal balas dan timbalan pendakwa raya membenarkan saksi tinggalkan kandang saksi.

12.50pm: Habibul sangkal keterangan Ashraf yang duit itu untuk kontrak pertahanan dan langsung tidak terlibat dengan kontrak tersebut.

Habibul berkata operasi menggunakan dulu duitnya sendiri dan menuntut bayaran kemudian. 

12.46pm: Shafee minta Habibul jelaskan mengenai risikan politik. 

Habibul: Dalam politik, kena ada rangkaian untuk beri maklumat dari masa ke semasa. Tiada siapa beri maklumat dengan percuma. Kena berbaik dengan ketua-ketua bahagian parti, supaya nanti mereka akan bantu apabila mahu laksanakan strategi politik.

Shafee: Boleh beritahu mahkamah beberapa operasi pertahanan politik yang kamu buat?

Habibul: Ia bukan operasi gelap - lebih kepada operasi khas. Ini untuk redakan ancaman politik.

Shafee: Kamu buat ramalan?

Habibul: Tidak.

12.44pm: Habibul berkata dia memberi analisis dan nasihat kepada Najib.

Shafee: Semasa terima cek, ada kamu tanya dari mana sumber duit?

Habibul: Tidak, Saya percaya ia dari sumbangan politik. Saya tak tanya sebab sejak masuk Umno pada 1984 memang perkara biasa orang mahu beri sumbangan politik kepada perdana menteri.

12.42pm: Shafee mula soal balas saksi.

Shafee: Kamu dikenali sebagai penganalisis politik.

Habibul: Saya tak rasa begitu. Itu apa yang orang fikir.

12.40pm: Habibul memberitahu Najib supaya mengeluarkan cek di bawah nama firma guaman Zulqarnain & Co.

Habibul: Saya minta peguam Ashraf supaya keluarkan cek kepada isteri dan anak-anak saya kerana ia bayaran balik bagi duit saya yang digunakan sebelum ini. Baki duit itu digunakan untuk tujuan politik.

12.37pm: Senarai penerima ada pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Habibul: Ia untuk manfaat politik BN.

Ini selepas Najib jadi perdana menteri, kata Habibul. Dan cek itu diterima sendiri dari Najib, tambahnya.

12.36pm: Cek itu untuk Zulqarnain & Co.

Habibul: Saya sengaja mohon supaya nanti akan dianggap untuk kegunaan peribadi. Duit ini untuk kegunaan risikan politik dan “political goodwill”.

12.34pm: Habibul beritahu mahkamah dia menerima cek berjumlah RM2.5 juta pada 2 Februari 2015.

12.33pm: Syarikat Habibul bernama HKS Primatrix Sdn Bhd.

Habibul berkata dia melantik peguam Ashraf Abdul Razak, bekas rakan kongsi di Zulqarnain & Co, bagi urusan peribadi.

Habibul Rahman Kadir Shah beritahu dia menerima cek berjumlah RM2.5 juta pada 2 Februari 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 April, 2019.

12.31pm: Habibul Rahman Kadir Shah beri keterangan.

Dia disoal mengenai cek RM2.5 juta dari Najib.

Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memulakan soal balas.

12.30pm: Najib beri syarikat Lew RM1 juta.

“Saya rasa beliau berpuas hati dengan kerja-kerja saya. Beliau beritahu saya supaya teruskan.”

Shafee selesai menyoal balas Lew dan saksi itu dibenarkan tinggalkan kandang saksi.

12.27pm: Program dihentikan selepas PRU14.

“Ini semua kerja kebajikan untuk orang miskin. Kami tak terima apa-apa.”

Shafee: Jadi ini kerja kebajikan? Tak masuk poket sesiapa?

Lew: Tidak.

12.25pm: Lew memberitahu dia beri mereka kemeja-T 1Malaysia dan beritahu di bawah dasar ini semua orang adalah sama.

Shafee: Ia berkesan?

Lew: Di peringkat akar umbi nampak positif. Bila mereka ambil barang yang kami beri, lama-kelamaan sentimen mereka berubah. Kami perlu berulang kali beri mereka barang.

12.23pm: Lew berkata dia sangat percaya dengan 1Malaysia.

Berkhidmat kepada perdana menteri adalah satu impiannya, kata Lew ketika Shafee bertanya mengapa dia ambil keputusan untuk menawarkan diri.

Lew berkata tujuannya adalah untuk membina hubungan baik dengan pekerja kolar biru yang tidak faham dasar kerajaan.

Dia menjelaskan tugasnya ialah memberi penerangan dan membantu mereka.

12.20pm: Lew memberitahu mahkamah mereka membuat laporan mengenai sentimen orang China dan India yang kemudian dihantar sendiri kepada Najib.

Shafee memulakan soal jawab.

Shafee: Ini perkhidmatan sukarela tapi kamu guna Solar Science?

Lew: Ya.

12.19pm: Wang itu digunakan untuk membayar pembekal yang membeli beras dan barangan lain untuk diberi kepada golongan miskin.

12.16pm: Lew memberitahu pada 2015 dia menerima cek sebanyak RM1 juta dari Najib untuk Solar Science Sdn Bhd.

Cek RM1 juta bertarikh 17 Februari 2015 itu ditandatangani oleh Najib.

12.13pm: Lew bertemu Najib pada 2009 bersama Tan Sri William Cheng, jutawan yang memiliki Lion Corp, di tingkat 5 di Jabatan Perdana Menteri.

Ia pertemuan santai, membincangkan cara untuk menyelesaikan masalah berkaitan orang Cina.

Lew bertemu Najib lagi beberapa bulan kemudian. Dia menawarkan diri untuk membantu dalam kempen mempromosikan dasar 1Malaysia.

“Saya betul-betul percaya dengan dasar beliau. Ini dasar yang diidamkan untuk semua rakyat Malaysia, semua orang adalah sama,” katanya.

Kali ini Lew bertemu dengan Najib sahaja di pejabat PM. Dalam pertemuan ringkas itu dia melaporkan berkenaan sentimen akar umbi.

12.10pm: Lew memberitahu dia mengedar barangan makanan kepada masyarakat India di kawasan perumahan.

Sejak 2010, syarikatnya menganjurkan majlis makan tengah hari dan makan malam bagi masyarakat Cina di kawasan luar bandar. Syarikat pada mulanya mendapat dana dari rakan-rakan, katanya.

12.08pm: Saksi seterusnya, Lew Choon Lai dipanggil. Lew adalah pemilik Solar Science Sdn Bhd, firma pengurusan acara yang ditubuhkan pada 2010.

12.05pm: Rosiah dari Affin Bank dan diminta untuk hadir semula bersama gambar cek yang menunjukkan Ihsan Perdana memasukkan RM8 juta kepada satu lagi syarikat iaitu  Mail Ventures Sdn Bhd.

Harvinderjit memberitahu beliau tiada soalan lanjut untuk ditanya pada saksi dan Rosiah dibenarkan turun dari kandang saksi.

Pendakwa juga berkata mereka tiada soalan. 

12.03pm: Saksi ke-20, Rosiah Mohd Rosli dipanggil untuk beri keterangan.

12.02pm: Sithambaram bertanya jika Nik Faisal boleh keluarkan sendiri duit dari akaun Najib dan Uma jawab “tidak”.

Uma selesai beri keterangan selepas tiga jam disoal balas.

11.52am: 

Sithambaram: Kamu setuju bahawa cek yang dikeluarkan di bawah tiga akaun (berakhir dengan 906,880 and 898) hanya boleh ditandatangani oleh DSN (Najib) dan bukan orang lain?

Uma: Ya.

11.50am: Sithambaram bertanya jika Najib saman AmBank sebanyak RM32 juta kerana melanggar mandat dan kesalahan tandatangan?

Uma: Saya tidak tahu.

11.39am: Sithambaram juga mengimbas semula mengenai transaksi dan meminta Uma mengesahkannya.

Sithambaram: Sebagai seorang pengurus bank yang menganggap SRC adalah syarikat kerajaan, adakah kamu dapati pelik apabila pelanggan tidak menyaman bank kerana melanggar mandat selepas lima tahun?

Secara tepat, adakah kamu sedar sebarang tindakan undang-undang terhadap bank bagi kesemua jumlah RM85 juta?

Uma: Tidak.

11.33am: Pendakwa raya V. Sithambaram beritahu Uma yang beliau mahu imbas sedikit mengenai soal balas sebelum ini.

Sithambaram: Kamu ditunjukkan bermacam dokumen dari pelbagai akaun, yang tunjukkan bahawa bank tidak mengambil langkah betul untuk pastikan tiada penipuan berlaku. Adakah kamu ingat?

Uma: Ya.

11.13am: Shafee melengkapkan soal balas. Mahkamah berhenti selama 10 minit.

11.04am: Shafee tanya Uma jika dia menerima “ujian berat” sebaik sahaja bertugas di AmBank cawangan Raja Chulan tidak sampai seminggu sebelum Bank Negara serbu cawangan itu pada 6 Julai 2015.

Shafee: Maknanya kamu terima ujian berat selepas jadi pengurus bank?

Uma: Ya.

11am: Shafee beritahu Uma mengenai soal balas sebelum ini berkenaan transaksi dari Arab Saudi, Putera Faisal dan Kementerian Kewangan Saudi.

Shafee: Kamu setuju dengan saya bahawa sumber duit itu dipersoal untuk diselidiki jika sumber itu sah?

Uma: Sebarang pindahan wang RM50,000 boleh dipersoal.

Shafee: Tiada alasan untuk syak sebarang pindahan (dalam akaun)?.

Uma: Tiada alasan.

10.52am: Shafee berkata pegawai itu tak sepatutnya menerima dokumen tersebut dan perlu memaklumkan pematuhan berkenaan.

Shafee: Sekiranya seorang pegawai bank tidak kemuka laporan ke jabatan pematuhan, ini tidak akan dikesan?

Uma: Ya.

Shafee: Sekiranya pegawai tersebut tidak beritahu jabatan pematuhan, adakah ini bermakna terdapat kelemahan jika pegawai melihat urus niaga meragukan dan kemudian tidak melaporkannya?

Uma: Ya.

Pengurus AmBank R. Uma Devi akan memberi keterangan lagi hari ini, hari ke-11 perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2019.

10.50am: Shafee menunjukkan perbezaan tandatangan antara dua salinan.

“Ada perbezaan, tanpa perlu dibandingkan. Anda juga setuju tandatangan itu berbeza. Siapa yang pastikan pematuhan?

Uma: Sesiapa yang membuat transaksi itu, jika mereka dapati ada kecurigaan, mereka boleh menulis laporan kepada jabatan pematuhan dan ia akan disiasat.

10.47am: Kadangkala orang mohon untuk mandat bagi mengendalikan akaun, Uma memberitahu mahkamah, menjawab soalan Shafee.

Tetapi perlu ada justifikasi kepada bank oleh pemegang akaun untuk mandat dilantik, katanya.

Shafee: Adakah anda akan lantik seseorang yang tidak anda percayai?

Uma: Tidak.

Shafee: Adakah anda mempunyai jabatan pemantauan penipuan?

Uma: Kami ada kumpulan pematuhan. Di bawah jabatan itu, kita pantau.

10.42am: Shafee berkata beliau ada beberapa soalan berkaitan prinsip perbankan.

Pemegang akaun bertanggungjawab atas sebarang transaksi dalam akaun itu, katanya.

10.40am: Harvinderjit melengkapkan soal balasnya. Ketua peguam Muhammad Shafee Abdullah mula soal balas saksi.

10.10am: Peguam Negara Tommy Thomas tersenyum mendengar soalan Harvinderjit.

10.04am: Harvinderjit menunjukkan akaun itu overdraf beberapa kali tetapi selalu ditambah dengan pindahan wang tunai.

Uma mengesahkan transaksi itu berlaku penghujung 2014.

Misalnya, pada 16 Disember, 2014 ia dikeluarkan sekali lagi dan RM700,000 dimasukkan untuk menyusun semula akaun itu.

10am: RM5 juta dimasukkan ke akaun AmBank daripada satu akaun Affin Bank. Harvinderjit berkata ia dimasukkan untuk menutup overdraf dalam akaun itu. Uma bersetuju.

9.49am: Pada 9 Jun, 2014, ada overdraf RM1.4 juta dalam akaun itu. Ada beberapa deposit tunai di mana Harvinderjit minta disahkan.

Terdapat juga beberapa deposit cek untuk menyusun semula akaun berakhir dengan “906”.

9.45am: Harvinderjit memperincikan tentang akaun berakhir dengan “906”.

Ia dibuka pada 31 Julai, 2013. Terdapat beberapa e-mel berkaitan akaun itu daripada Joanna Yu, seperti disahkan oleh Uma.

Peguam meminta Uma mengesahkan tandatangan Najib pada surat pengesahan bertarikh 3 Mac tetapi hanya disahkan pada 9 Mac.

Harvinderjit: Anda perasan atau tidak ketiadaan gelung jelas pada tandatangannya?

Uma: Tidak ada.

9.34am: Harvinderjit bertanya secara terperinci setiap transaksi dalam akaun Najib.

9.22am: Uma menyambung keterangannya dan Harvinderjit Singh memulakan soal balas.

9.10am: Najib tiba di mahkamah.

Iklan
Iklan