Mengapa Najib tidak saman AmBank lakukan penipuan, soal pendakwa
Iklan
PASUKAN pendakwaan bagi perbicaraan SRC International yang melibatkan Najib Razak hari ini mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap AmBank kerana penipuan sebagaimana didakwa pihak pembela.
Pendakwa juga mendapat pengesahan daripada AmBank semua cek yang dikeluarkan oleh tiga akaun peribadi Najib hanya boleh ditandatangani bekas perdana menteri sendiri dan bukan orang lain.
Semasa sesi soal balas Pengurus AmBank R. Uma Devi, peguam pendakwa V. Sithambaram berkata pasukan pembelaan berusaha membuktikan bank itu tidak mengambil langkah mencukupi untuk mengesahkan tanda tangan pada cek.
Ia termasuk transaksi RM40 juta pada 24 Disember 2014 dan dua transaksi RM5 juta pada 5 dan 6 Februari 2015, daripada SRC International kepada anak syarikatnya, Gandingan Mentari.
Sithambaram: Sekiranya pemindahan dibuat tanpa mandat yang betul…adakah normal pelanggan tidak menyaman bank sejak lima tahun yang lalu?
Uma: Ia luar biasa.
Sithambaram: Wang (didakwa) didebitkan tanpa kebenaran. Adakah anda sedar akan apa-apa tindakan undang-undang terhadap bank?
Uma: Tidak.
Sithambaran berkata sejumlah RM85 juta didebitkan daripada SRC International, merujuk kepada satu lagi pemindahan RM35 juta pada 8 Julai 2014 kepada firma pembinaan Putra Perdana Construction Sdn. Bhd.
Sithambaram: Adakah anda bersetuju semua cek yang dikeluarkan di bawah tiga akaun (berakhir 906, 880 dan 898) hanya boleh ditandatangani oleh DSN (Datuk Seri Najib) dan tidak ada orang lain?
Uma: Ya
Terdahulu, Uma memberi keterangan pemindahan melebihi RM50,000 memerlukan persetujuan daripada Bank Negara.
Jumlah yang sama, termasuk pemindahan dana dari luar negara, juga akan mencetuskan pertanyaan oleh jabatan pematuhan bank.
Semasa soal balas, peguam bela utama Shafee Abdullah merujuk kepada pemindahan daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan Putera Faisal bin Turki. – 30 April, 2019.
Berita penuh di sini