RM4 bilion dipindahkan dari KWAP ke SRC International
Iklan
RM4 bilion telah dipindahkan dari dana pencen KWAP ke syarikat SRC International melalui lima pemindahan pada 2011 dan 2012, kata pengurus kanan AmBank yang memberi keterangan pada perbicaraan jenayah Najib hari ini.
Wedani Senen, 45, memberitahu mahkamah bahawa wang tersebut telah dipindahkan ke dua akaun semasa SRC International.
Beliau mengesahkan RM2 bilion dikreditkan ke dalam akaun semasa 211-202-200973-6 melalui empat pemindahan RM500 juta pada 29 Ogos 2011 atau kira-kira tujuh bulan selepas akaun dibuka pada 28 Januari 2011.
Beliau juga mengesahkan bahawa pemindahan tunggal sebanyak RM2 bilion dikreditkan ke dalam akaun semasa 211-202-20165-0 pada 28 Mac 2012 atau kira-kira empat bulan selepas akaun dibuka pada 10 November 2011.
KWAP adalah dana pencen perkhidmatan awam dengan jumlah dana sebanyak RM140.8 bilion, menurut laman webnya.
Kerajaan terdahulu berkata, SRC International dibentuk untuk mengenal pasti dan melabur dalam projek berkaitan sumber semula jadi dan mineral termasuk pengambilalihan saham atau sekuriti syarikat.
SRC International dilaporkan menggunakan US$45.5 juta (RM188 juta) untuk melabur dalam lombong arang batu di Mongolia menerusi syarikat usaha sama antara SRC International Sdn Bhd dan Aabar Investments PJS. – 30 April, 2019
Berita penuh di sini.