Tinggalkan populariti, baiki kehidupan rakyat, kata Tian Chua
Iklan
KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya asyik memikirkan tentang populariti kerana tumpuan utama mereka adalah untuk membaiki kehidupan rakyat sebelum pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden PKR Chua Tian Chang.
Chua yang dikenali sebagai Tian Chua berkata, sekiranya PH berharap untuk terus berkuasa lebih lama, mereka perlu memberikan perasaan kepada rakyat bahawa kehidupan mereka bertambah baik selepas pemerintah bekas perdana menteri Najib Razak.
Faktor ketara kedua adalah rakyat mengakui mereka kini mempunyai kerajaan bebas rasuah, kata bekas Ahli Parlimen Batu itu.
“Dua isu utama yag perlu kita capai ialah rakyat perlu merasakan kehidupan mereka telah bertambah baik di bawah kerajaan. Mereka tidak mahu melihat prospek ekonomi menjadi lebih buruk daripada di bawah era Najib.
“Yang kedua rakyat perlu merasakan kerajaan terbuka dan telus serta rasuah dikurangkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Memetik keputusan kaji selidik yang dibuat Merdeka Centre baru-baru ini menunjukkan hanya 39% pengundi Malaysia memberikan penilaian positif terhadap kerajaan Pakatan Harapan.
Chua berkata, populariti hanya akan mengganggu kerajaan daripada objektif sebenar.
“Kita harus memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang berkesan untuk memenangi hati orang yang kritikal terhadap kita,” katanya.
Menurutnya, apa yang diperlukan pada tahun mendatang adalah memenuhi harapan rakyat yang mahu melihat ekonomi bertambah baik.
“Kebanyakan rakyat marah dan kecewa kerana tidak melihat perubahan dalam kehidupan mereka apabila kerajaan berubah.
“Mereka menjangkakan kos sara hidup bertambah baik sebaik sahaja GST dimansuhkan. Malangnya kami tidak melihatnya,” katanya merujuk kepada pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan tahun lepas.
Beliau juga berkata, populariti bagi mana-mana kerajaan baharu adalah normal seperti yang dibuktikan di negara-negara lain di seluruh dunia.
“Anda lihat pada tahun pertama Obama (bekas presiden Amerika Syarikat) atau Jokowi atau Duterte, mereka juga datang dengan sokongan besar dan selepas tahun pertama, ia menurun di bawah 50%, itu biasa. – 2 Mei, 2019