PAS nafi terlibat untuk tumbangkan kerajaan Selangor
Iklan
PAS menafikan terlibat dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Selangor pimpinan Mohamed Azmin Ali yang dikatakan sepatutnya berlaku ketika Muhammad Muhammad Taib kembali menyertai Umno semalam.
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata jika benar terdapat usaha sedemikian, sudah pasti beliau dan kepimpinan parti akan mengetahuinya.
“Saya tak dengar pula tentang itu. Sebenarnya, jika ada apa usaha ke arah itu, sudah tentu pengarah pilihan raya akan tahu, saya tak ada dengar tentang itu.
“Bukan saya saja, malah Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi pun tidak tahu.
“Kita baru balik dari Sandakan bersama kepimpinan pusat untuk sambutan 16 September Hari Malaysia di Sabah, tidak ada mana-mana kepimpinan dalam parti yang mengetahui tentang itu,” kata Roslan yang juga timbalan ketua penerangan PAS kepada The Malaysian Insight.
Roslan berkata dalam politik spekulasi seperti ini biasa berlaku dan sudah banyak kali PAS dikaitkan dengan perkara sebegini tetapi akhirnya ia terbukti tidak benar.
The Malaysian Insight melaporkan hari ini, Muhammad semalam sepatutnya membawa bersamanya lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan menyebabkan pentadbiran Azmin di Selangor tumbang.
Difahamkan percaturan politik penyertaan semula Muhammad ke dalam Umno melibatkan lapan Adun PKR bergabung bersama 12 Adun Umno dan 13 Adun PAS serta bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim.
Kombinasi itu membentuk barisan 34 Adun yang sudah cukup untuk membentuk sebuah kerajaan di Selangor. Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi.
Bagaimanapun usaha itu menemui kegagalan dan hanya Muhammad yang muncul di Ibu Pejabat Umno semalam.
Peristiwa ini sekiranya berlaku akan mengulangi sejarah di Perak pada 2009 yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tumbang selepas sembilan bulan memerintah.
Roslan mengulangi kenyataan pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini yang mengatakan parti itu tidak akan terlibat menjatuhkan kerajaan secara tidak demokrasi bagi menghormati mandat rakyat yang memilih kerajaan PR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
PR pada ketika itu dianggotai PKR, PAS dan DAP.
“Itu jugalah sebabnya mengapa kami terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor walaupun sudah tiada kerjasama politik dengan PKR dan DAP,” kata Roslan yang juga ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). – 18 September, 2017.