Iklan

Pakatan gagal tingkat bekalan tenaga di Sandakan, kata bekas menteri

Jason Santos5 years ago1st May 2019Berita
Linda6 maximus ongkili
Maximus Ongkili berkata peruntukan RM2.3 bilion telah diluluskan oleh BN untuk menyiapkan 70 projek elektrik untuk tempoh 2017-2019. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 1 Mei, 2019
Iklan

KERAJAAN Sabah yang diketuai Warisan gagal menyelesaikan kekurangan bekalan tenaga di negeri itu, terutama di Sandakan, kata presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Maximus Ongkili, hari ini.

Ongkili, yang merupakan bekas menteri tenaga, teknologi hijau dan air, berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak melakukan apa-apa selain menunggang projek yang diluluskan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Semua projek tenaga yang sedang berjalan di Sandakan dirancang dan menerima pembiayaan yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional ketika saya di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA),” katanya, merujuk kepada nama kementerian sebelum ini.

“Kami yang bentuk Sabah Special Project Planning and Delivery Unit (Sapadu) secara khusus bertujuan untuk merancang dan melaksanakan projek infrastruktur tenaga,” kata Ongkili dalam satu kenyataan.

Beliau berkata peruntukan RM2.3 bilion telah diluluskan oleh BN untuk menyiapkan 70 projek elektrik untuk tempoh 2017-2019. Ia melibatkan kerja-kerja penyambungan, penjanaan dan pengedaran seperti Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Mowtas dan PPU Permai, PPU Bukit Nenas, Batu Sapi, dan projek di Tshun Ngen dan PPU Sim Sim.

“Tiada projek baru dirancang, atau dilaksanakan kerajaan persekutuan sekarang,” tegas beliau.

Pentadbiran BN juga katanya, berjaya mengembalikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan Sabah.

“Keputusan-keputusan (projek) ini telah dihentikan,” kata Ongkili, di samping turut menambah bahawa DAP, yang memegang kerusi Parlimen Sandakan, tidak melakukan apa-apa untuk meningkatkan bekalan tenaga di pantai timur Sabah tersebut.

Sandakan akan menyaksikan pilihan raya kecil pada 11 Mei depan berikutan kematian ahli Parlimennya, Stephen Wong. – 1 Mei, 2019.

Iklan
Iklan