Pengundi luar Sandakan jadi penentu kemenangan, kata penganalisis
Iklan
KEKURANGAN peluang pekerjaan memaksa belia di Sandakan berhijrah ke tempat lain dan ketiadaan mereka menjadi kunci utama pada pilihan raya kecil parlimen itu, kata pengundi dan penganalisis.
Mereka merasakan pengundi ini tidak mungkin akan kembali ke Sandakan untuk mengundi, sebahagian besarnya adalah kerana faktor kos perjalanan balik bagi pilihan raya pada 11 Mei itu.
Namun, pemenang bagi kerusi itu hanya memerlukan majoriti tipis sahaja, kata penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung.
“Ia tidak akan sama seperti pilihan raya umum,” kata Lee kepada The Malaysian Insight, menunjukan kebanyakan generasi muda Sandakan tidak akan mengundi minggu depan.
Dalam pilihan raya umum lalu, 99% keluar mengundi di Sandakan.
Ia membolehkan DAP Sabah mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dan dua kerusi negeri - Tanjung Papat dan Elopura yang sebelum ini merupakan kerusi Barisan Nasional.
Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya, Stephen Wong pada 28 Mac lalu.
DAP Sabah memutuskan untuk meletakkan anak perempuan mendiang, Vivian Wong sebagai calon dan beliau akan berdepan empat calon lain, termasuk tiga calon bebas.
Namun, calon bekas parti komponen BN, Parti Bersatu Sabah, Linda Tsen Thau Lin dijangka akan memberikan cabaran kepada Vivian untuk memenangi kerusi itu.
Linda Tsen merupakan bekas ahli Parlimen Batu Sapi dan ahli politik senior jika dibandingkan dengan Vivian Wong.
“Walaupun DAP adalah pilihan untuk memenangi pilihan raya kecil ini, PBS adalah ‘underdog’ yang mampu memberi saingan.
“Terlalu awal untuk menilai tahap ini tetapi PBS mampu berikan tentangan,” kata Lee, yang menyatakan ketiadaan pengundi muda akan beri banyak perbezaan.
Sementara itu, seorang penganalisis dari Sabah itu juga menyedari ketiadaan pengundi muda Cina di kawasan itu. Kebanyakan mereka bekerja atau belajar di Semenanjung Malaysia atau luar negara, menurut penganalisis itu.
Katanya, kemenangan Wong pada PRU14 adalah kerana undi Cina sambil menambah DAP Sabah perlu mencari jalan untuk membawa mereka balik mengundi.
Terdapat 99% jumlah keluar mengundi pada PRU14 kerana ramai yang pulang untuk mengundi ketika itu, namun DAP tidak mempunyai kelebihan itu kali ini,” kata penganalisis yang enggan dinamakan.
Masyarakat Cina terdiri daripada 51% pengundi di Sandakan, diikuti oleh Bumiputera Sabah (26%), Melayu (16%) dan lain-lain (8%).
Seorang pengundi di Sandakan yang merupakan pekerja hotel di Kota Kinabalu, Hartini Mahmud, 25, merupakan salah seorang yang tidak pulang mengundi pada piihan raya kecil itu.
“Ia kerana jadual kerja dan sangat jauh untuk balik. Terlalu lama masa dihabiskan di jalanan.
“Sekiranya saya terfikir untuk menaiki kapal terbang, tiketnya sahaja sudah mahal bagi saya,” kata Hartini.
Hartini datang ke Kota Kinabalu bersama sekumpulan rakan sekolahnya kira-kira lima tahun lalu selepas gagal mencari pekerjaan di kampung halamannya.
“Bukan mudah untuk dapat kerja di Sandakan. Memang ada hotel di sana namun majikannya lebih memilih pekerja asing yang lebih murah.
“Jadi kami penduduk tempatan yang kurang cemerlang di sekolah terpaksa mencari pekerjaan di tempat lain seperti di Kota Kinabalu,” katanya.
Menurutnya, walaupun banyak majikan yang membayar mengikut kadar gaji minimum, peluang mendapatkan wang tambahan jauh lebih baik ketika berada di Kota Kinabalu.
Hartini mungkin salah seorang daripada ribuan golongan muda yang terpaksa keluar dari Sandakan untuk mencari kerja di Kota Kinabalu atau di tempat lain, dengan pendapatan dan perlindungan kebajikan yang lebih baik.
Pada masa ini, kumpulan pekerja Sandakan yang berumur di antara 20-60 menguasai 74.96% atau 30,083 daripada 40,131 pengundi di Sandakan.
Mereka yang berusia 20 hingga 29 tahun berada dalam 14.52% atau 5,827 pengundi.
Pengangguran adalah salah satu masalah utama di daerah Sandakan. Ramai golongan muda di Sandakan mendapati lebih sukar untuk mencari kerja ekoran kejatuhan harga minyak sawit dan kesannya kepada ekonomi tempatan. – 2 Mei, 2019