LANGSUNG: SRC diberi RM20 juta untuk kaji sektor arang batu, uranium, kata saksi
Iklan
PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-12 hari ini, dengan saksi ke-24 iaitu pengurus jabatan kiriman wang AmBank, Wedani Senen, dipanggil semula.
Pada Selasa, Wedani memberitahu mahkamah sejumlah RM4 bilion dipindahkan dari dana Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) ke SRC International menerusi lima pemindahan pada 2011 dan 2012.
Turut dipanggil beri keterangan pada Selasa ialah Pengurus AmBank R. Uma Devi. Beliau mengesahkan hanya Najib yang boleh menurunkan tandatangan ke atas semua cek yang dikeluarkan dari tiga akaun bekas perdana menteri itu.
Bagaimanapun, peguam bela berkata tandatangan Najib boleh dipalsukan dan akaunnya dimanipulasi di luar pengetahuannya.
Mereka tidak menafikan salah satu akaun semasa AmBank Najib yang dibuka pada 13 Januari 2011 menerima AS$681 juta (RM2.6 bilion) dalam tempoh dua tahun seterusnya.
Ketika sesi soal balas, peguam meminta Uma berkata transaksi dari luar negara termasuk “hadiah dan sumbangan” daripada Putera Faisal bin Turki dari Arab Saudi. Sejumlah AS$620 juta dipindahkan dari negara itu, tambahnya.
Prosiding pada Selasa itu juga menyaksikan ahli perniagaan terkemuka, Habibul Rahman Kadir Shah memberi keterangan. Beliau berkata menerima RM2.5 juta dari Najib sebagai bayaran untuk risikan politik dan mendapatkan sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Habibul memberitahu mahkamah beliau ditugaskan untuk membendung “ancaman politik” dan membina hubungan baik demi kepentingan BN.
Seorang lagi saksi, Lew Choon Lai berkata syarikat pengurusan acara miliknya, Solar Shine Sdn Bhd menerima cek RM1 juta dari Najib untuk mempromosikan program 1Malaysia, sebuah program kerajaan untuk menggalakkan keharmonian antara etnik dan tadbir urus yang baik.
Sejumlah RM4 bilion disalurkan ke SRC International antara 2011 dan 2012, yang mana RM42 juta akhirnya masuk ke dalam akaun Najib.
Najib berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa berhubung dana tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengendalikan perbicaraan.
The Malaysian Insight membawakan prosiding hari ini secara langsung:
5.21pm: Hakim bersetuju meneruskan perbicaraan pada Isnin. Mahkamah ditangguhkan.
5.19pm: Saksi turun dari kandang saksi. Shafee meminta hakim untuk menggantikan tarikh baki lapan perbicaraan.
5.06pm: Pada 22 Ogos 2011, KWAP juga menerima surat daripada Kementerian Kewangan mengenai jaminan kerajaan untuk RM2 bilion selama 10 tahun, kata Amirul Imran. Pinjaman diluluskan pada 26 Ogos 2011.
4.57pm: Pada 12 Ogos 2011, permintaan kedua dibuat oleh SRC International untuk RM2 bilion, yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Azian Mohd Noh. Ia menjelaskan pinjaman itu juga akan mempunyai jaminan kerajaan, sama seperti pinjaman pertama.
4.54pm: Pada 19 Julai 2011, beliau berkata panel pelaburan KWAP meluluskan pinjaman RM2 bilion untuk SRC yang dibuat oleh 1MDB, dibuat dengan jaminan kerajaan. Ini bermakna pinjaman itu akan diberikan kepada kerajaan dan kerajaan akan memberikan wang kepada 1MDB.
4.46pm: Amirul Imran berkata pihak atasannya memberitahu panel memutuskan untuk menangguhkan kelulusan pinjaman kerana mereka memerlukan lebih banyak maklumat mengenai SRC International.
Beliau kemudian diberitahu untuk membuat cadangan pinjaman RM2 bilion bagi dipertimbangkan oleh panel.
4.41pm: Amirul Imran berkata Nik Faisal Ariff Kamil menghantar e-melnya pada 1 Julai 2011, dengan syarat 1MDB tidak dapat mendedahkan butir pelaburan atau aliran tunai syarikat itu kerana ia tidak mendapat kelulusan daripada pengerusi lembaga, yang pada masa itu adalah Najib .
Beliau berkata kemudian diarahkan oleh ketua pegawai eksekutifnya menyediakan cadangan pinjaman RM1 bilion untuk modal kerja dan pelaburan am. Cadangan ini perlu melalui panel pelaburan KWAP.
4.38pm: Amirul Imran berkata beliau menerima surat, bertarikh 3 Jun 2011, daripada Najib kepada ketua pegawai eksekutif KWAP pada masa itu yang bersetuju dengan permintaan pinjaman daripada 1MDB untuk SRC.
“Mengikut pemahaman saya, ini adalah kelulusan yang membolehkan PM memberi KWAP pinjaman kepada SRC.”
Beliau berkata demikian kerana melihat tandatangan Najib berkali-kali, beliau secara jelas mengatakan Najib menandatangani surat tersebut.
4.32pm: Amirul Imran berkata beliau bekerja di KWAP sebagai penolong naib presiden bagi jabatan pendapatan tetap dari 2011 hingga 2014.
4.29pm: Pada 16 Jun 2011, beliau menghantar e-mel kepada pembantu SRC, Nik Faisal Kamil, penolong Nor Azlina, meminta akaun 1MDB, akaun semasa dan profil syarikat. Beliau berkata menerima jawapan daripada Nor Azlina yang akan memberinya semua dokumen apabila mereka bertemu.
4.20pm: Amirul Imran berkata beliau terlibat dalam dua transaksi bernilai RM2 bilion yang diberikan KWAP kepada SRC International dalam dua transaksi berasingan pada 2011 dan 2012.
4.13pm: Pendakwa Ishak Mohd Yusoff akan menyoal Amirul Imran.
4.08pm: Mahkamah bersambung dengan saksi ke-29, Amirul Ibrahim Ahmad memberi keterangan.
Naib presiden SME Bank Bhd berusia 39 tahun itu menyediakan kenyataan dengan bantuan daripada SPRM. Kesaksiannya berdasarkan maklumatnya sendiri.
3.47pm: Saksi turun dan Harvinderjit meminta rehat 5 minit.
3.45pm: Sithambaram bertanya Kamariah selepas 2010, sejak SRC diluluskan, adakah terdapat perkembangan di dalam syarikat itu?
Shafee membantah soalan itu.
Sithambaram: Ini hanyalah satu soalan susulan sama ada terdapat kenaikan bekalan arang batu selepas 2010.
Shafee: Ini bukan dalam permohonan mereka. Tidak adil untuk bertanya apa yang berlaku dalam perniagaan arang batu kerana soalan itu tidak pernah dibangkitkan. Dan beliau berhenti pada November 2011.
Sithambaram: Banyak penekanan terhadap arang batu. Kita perlu tahu sama ada terdapat peningkatan dalam pelaburan arang batu.
Nazlan membenarkan soalan itu.
Kamariah mengatakan beliau tidak menyedari pertumbuhan arang batu pada masa itu.
3.40pm: Kamariah: Kami tidak boleh memberikan geran sebanyak RM3 bilion. Oleh kerana bajet pembangunan tahunan adalah RM42 bilion, jika kita beri RM3 bilion, ia 7% daripada bajet kita. Sekiranya kami memberi geran kepada sebuah syarikat yang bermula, ia adalah satu pengabaian daripada pihak kami.
3.37pm: Shafee: EPU tidak wajib untuk memberi sebarang pendapat?
Kamariah: Betul.
Shafee menamatkan soal balasnya dan saksi disoal semula oleh pendakwa Muhammad Izzat.
3.36pm: Shafee: Apakah hubungan organisasi antara EPU dengan Jabatan PM?
Kamariah: (Diam) Boleh dikatakan ya, tapi pada masa lalu kami memutuskan dari segi pembangunan. Tetapi bagi perkara tertentu kita kembali kepada PM. Tetapi kita masih perlu menjawab kepada Pejabat PM. Tetapi dalam penyelidikan dan pembangunan, kita bebas.
Shafee: Adakah anda perlu menjawab kepada pejabat Perdana Menteri?
Kamariah: Boleh dikatakan, ya.
3.32pm: Shafee: Sebagai peraturan umum, EPU (pandangan) dihormati oleh PM?
Kamariah: Saya tidak tahu.
Shafee: Adakah PM menghormati pandangan EPU?
Kamariah: Betul.
3.23pm: Shafee: Jabatan anda memutuskan mereka bersetuju dengan pelaburan arang batu dan uranium serta penubuhan SRC International. Tetapi anda berkata, tidak, kepada geran RM3 bilion. Anda mengatakannya kerana mereka (SRC) perlu mendapatkan pinjaman daripada pasaran komersial supaya mereka kompetitif di peringkat antarabangsa.
Kamariah: Ya.
3.20pm: Shafee kini menyentuh mengenai pelaburan uranium, dan membaca surat sokongan EPU dalam sektor itu.
3.16pm: Kamariah menjelaskan mengenai pelaburan arang batu: Anda harus ingat, bagi import arang batu, pengeluar tenaga bebas bergantung kepada TNB untuk mengimport arang batu. Mereka tidak mempunyai sumber untuk mengimport. Jika TNB mengimport untuk semua, mereka akan mendapat harga yang lebih baik.
Shafee: Jangan sentuh perkara itu. Adakah TNB monopoli? Adakah ia satu perkara yang baik untuk 1MDB telribat dengan arang batu?
Kamariah: Ya.
3.13pm: Shafee: Pada satu ketika, adakah kerajaan menganggap ini merupakan pelaburan strategik dalam industri besi dan keluli?
Kamariah: Tetapi, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada ini, kita perlu melihat perkembangan industri. Kita perlu melihat bagaimana industri itu. Pada masa itu, kami berpendapat sektor swasta tidak terlibat.
Shafee: Sekarang kita pergi kepada minyak dan gas. Adakah anda bersetuju dengan saya ia adalah monopoli Petronas, jawapannya jelas ya?
Kamariah: Ya, ya, mungkin.
2.56pm: Shafee mula menyoal Kamariah.
Shafee: Ia adalah cadangan yang serius jika anda mengemukakan geran (permintaan) kepada perdana menteri, jika tidak serius, entiti tidak akan menyerahkannya kepada perdana menteri. Ini ditujukan kepada PM dan menteri kewangan.
Kamariah: Ya.
2.52pm: Harvinderjit bertanya Kamariah mengenai pertemuannya dengan eksekutif 1MDB untuk membincangkan mengenai perkembangan SRC.
Beliau berkata naib presiden perniagaan 1MDB dan kakitangan lain berada di sana.
2.45pm: Harvinderjit bertanya jika EPU menyokong penyediaan penubuhan SRC.
Beliau berkata terdapat rancangan menubuhkan dua loji arang batu besar di bawah Rancangan Malaysia ke-10, unit itu menyokong pelaburan dalam arang batu.
2.43pm: Harvinderjit bertanya apa maksud pemberian bantuan RM20 juta.
Kamariah mengatakan ia diberikan dengan janji untuk memastikan usaha wajar dan pengambilan bakat.
Harvinderjit: Pemberian RM20 juta adalah untuk membantu mereka dalam bidang tenaga?
Kamariah: Ya, dan juga untuk menjalankan kajian kemungkinan terhadap arang batu dan uranium.
2.35pm: Kamariah bersetuju bahawa geran kerajaan bermaksud tiada harapan wang itu akan dikembalikan.
“Jika kita memberi geran bagi apa-apa jumlah, masih ada akauntabiliti,” katanya.
2.30pm: Harvinderjit akan meneliti garis masa dengan Kamariah bila 1MDB meminta RM3 bilion.
2.14pm: Mahkamah bersambung selepas berehat. Harvinderjit memulakan sal balas terhadap Kamariah.
12.33pm: Harvinderjit berkata pihak pembela tidak dimaklumkan tentang kehadiran Kamariah hari ini dan meminta rehat makan tengah hari diawalkan supaya beliau dapat menyediakan dokumen untuk soal balas saksi.
Hakim membenarkan berhenti rehat makan tengah hari lebih awal hari ini dan perbicaraan bersambung 2 petang, bukan 2.30 petang.
12.30pm: Kamariah berkata Jabatan Perdana Menteir bersetuju dengan geran RM20 juta untuk menubuhkan SRC International.
Katanya, beliau diarahkan untuk memaklumkan 1MDB bahawa Jabatan Perdana Menteri menerima kertas cadangan EPU.
12.25pm: “Kami sokong cadangan 1MDB untuk memulakan SRC International untuk melabur dalam arang dan uranium, tetapi membantah pelaburan dalam petroleum dan gas kerana ia sudah dilakukan oleh Petronas. Geran RM3 bilion ditolak. Tetapi kami membenarkan geran RM20 juta.
“RM20 juta dibenarkan itu pada asasnya untuk memulakan SRC International, untuk sewajarnya dan mengambil pekerja diperlukan.”
Katanya, memo itu dihantar ke Jabatan Perdana Menteri dan beliau mendapat maklum balas beberapa hari selepas itu.
12.20pm: “Saya diarahkan untuk mengkaji permohonan oleh pengarah unit itu, Noriah Ahmad dan memberikan respons,” kata Kamariah di mahkamah.
Katanya, beliau menyiapkan semakan semula permohonan yang ditujukan kepada Najib dan akan membacakannya di mahkamah.
12.15pm: Kamariah memberitahu mahkamah ada permohonan daripada pegawai eksekutif Najib dalam 1MDB pada 2010 dan ia ditujukan kepada menteri kewangan. Permohonan itu turut dihantar kepada menteri lain.
Katanya, surat itu berkenaan permohonan RM3 bilion untuk memulakan SRC International, syarikat khas untuk mendapatkan saham strategik dalam sumber utama seperti arang batu dan besi.
12pm: Saksi berikutnya ialah Kamariah Noruddin, 61, pengarah Unit Perancang Ekonomi dan pengarah perkhidmatan di Jabatan Perdana Menteri.
11.40am: Zarina berkata Jabatan Perdana Menteri membayar RM48,681.65 sebulan kepada Najib sepanjang beliau berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri.
Gaji bulanan Najib ketika jadi perdana menteri ialah RM58,605.15.
Pada Disember 2012, Najib terima elaun tambahan bulanan sebanyak RM11,000 yang menjadikan gajinya melebihi RM70,000.
Pada Mei 2018, Najib terima bayaran khas RM1 juta. Zarina memberitahu mahkamah, dia tidak pasti untuk tujuan apa bayaran tersebut tetapi ia mengikut undang-undang.
Saksi dibenar tinggalkan kandang saksi. DPP Muhammad Izzat Fauzan memohon kebenaran Hakim Nazlan untuk berhenti rehat selama 5 minit.
Hakim izinkan.
11.30am: Saksi seterusnya dipanggil. Zarina Yusof adalah timbalan ketua akauntan di Jabatan Perdana Menteri.
Zarina memberitahu mahkamah tugasnya memastikan gaji dan bil dibayar, termasuk gaji semua menteri di Jabatan Perdana Menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri.
Saksi berkata SPRM memintanya menyerahkan slip gaji Najib kepada seorang pegawai penyiasat bernama Rosli.
Dia mengesahkan slip gaji Najib mulai Januari 2009 hingga 2018.
11.25am: Peguam bela Harvinderjit menyoal balas saksi, memintanya mengesahkan kenyataan bertulis tersebut.
Harvinderjit: Selain daripada elaun-elaun ini, adakah Najib terima elaun lain?
Farah Nordiana: Tiada.
Saksi dibena tinggalkan kadang saksi.
11.15am: Farah Nordiana berkata peranannya di Parlimen adalah menguruskan elaun ahli Parlimen.
Setiap ahli Parlimen yang baru dilantik menerima gaji RM25,700.
Saksi memberitahu mahkamah Najib terima elaun sebanyak RM3,846 dan gaji tanpa elaun bekas perdana menteri itu pada 2012 hingga 2018 ialah RM10,355.18.
Secara keseluruhan, gaji bulanan Najib ialah RM19,846 sebulan.
Farah Nordiana berkata ia adalah pecahan gaji Najib sebagai ahli parlimen dan ketua Parlimen dari 2011 hingga 2018.
11am: Daman memberitahu tiada surat lantikan Najib sebagai menteri kewangan. Saksi dibenar tinggalkan kandang saksi.
Saksi seterusnya ialah Farah Nordiana Azhar, 42, pegawai pentadbir di Parlimen.
Farah Nordiana menyediakan kenyataan bertulis yang juga dibacakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
10.50am: Daman Huri diminta untuk mengesahkan dokumen yang menyatakan Najib dilantik sebagai penjawat awam.
Menurut dokumen itu, Najib adalah menteri belia dan sukan pada 1986 dan menjelaskan secara terperinci mengenai semua jabatan yang diterajui Najib semasa berada dalam kerajaan.
Saksi juga mengesahkan surat lantikan sebagai perdana menteri pada 2009.
10.40am: Saksi pertama dipanggil.
Daman Huri Nor bertugas sebagai setiausaha di Jabatan Perdana Menteri. Tugasnya ialah menguruskan hal ehwal Parlimen yang melibatkan jabatan dan perdana menteri.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Izzat Fauzan mula menyoal Daman.
10.30am: Thomas memberitahu Hakim Nazlan sekiranya perlu mereka boleh melanjutkan perbicaraan kes SRC yang dijadualkan berakhir pada 21 Jun. Ini kerana perbicaraan kes 1MDB akan bermula pada 19 Ogos.
Thomas juga berkata perbicaraan boleh diadakan dari 21 Jun hingga 10 Ogos.
Shafee menerangkan kepada Nazlan mengapa perbicaraan tidak boleh bersambung pada Jumaat. Nazlan bersetuju dengan cadangan tersebut dengan syarat peguam bela boleh mencadangkan tarikh ganti. Thomas berkata jika hakim membenarkan, ia akan memendekkan tempoh bicara.
Pendakwa dan peguam bela berhujah mengenai tarikh. Shafee tidak mahu perbicaraan pada Jumaat kerana beliau ada urusan lain pada hari itu, manakala Thomas berkata penangguhan itu tidak adil.
Shafee: Saya tak boleh tinggalkan kerja lain di pejabat. Lagipun, saya kena bertimbang rasa dengan anak guam saya yang beragama Islam. Saya tak boleh ganggu mereka selepas pukul 6 petang kerana ini akan ganggu mereka nak solat maghrib.
10.20am: Mahkamah mula prosiding. Thomas menjelaskan kepada Hakim Nazlan mengenai perbincangan dengan Hakim Sequerah tadi.
10.15am: Hakim Sequerah setuju tidak menjalankan perbicaraan kes 1MDB pada Mei dan Jun untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC.
Beliau menetapkan perbicaraan kes 1MDB bermula 19 Ogos sehingga 14 November.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah diberi kebenaran untuk melapangkan tarikh tertentu pada awal September kerana beliau terlibat dalam perbicaraan kes kematian CEO Cradle Fund.
Peguam Negara Tommy Thomas dan V. Sithambaram masuk kamar mahkamah dan mengambil tempat masing-masing.
Shafee dan Harvinderjit juga berada dalam mahkamah bagi menunggu Hakim Nazlan Ghazali masuk.
10.10m: Najib masuk kamar dan duduk di galeri awam.
10am: Perbicaraan yang dijadualkan pada 9.30 pagi masih belum bermula. Kelihatan Najib yang memakai sut biru gelap bersama penyokong. Najib tiba pada jam 9 pagi. Ketika ini beliau belum masuk ke kamar mahkamah.
9.30am: Pendakwa diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas akan memohon perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib ditangguhkan kerana bertembung dengan perbicaraan kes SRC.
Pendakwa akan memohon kepada Hakim Lawrence Sequerah supaya menangguh tarikh perbicaraan kes 1MDB yang dijadualkan bermula 14 Mei ini. – 2 Mei, 2019.