Iklan

Siasatan rasuah Bung Moktar taktik menjelang PRK Sandakan, kata Umno

Jason Santos5 years ago2nd May 2019Berita
Bung moktar radin
KERAJAAN Pakatan Harapan cuba mencalar imej Pengerusi Perhubungan Bung Moktar Radin menjelang Pilihan Raya Kecil Sandakan, kata Umno Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2019.
Iklan

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) cuba mencalar imej Pengerusi Perhubungan Bung Moktar Radin menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan dengan mendakwanya di mahkamah esok.

Pengarah Komunikasi dan Strategi Umno Sabah Ghazali Ansing berkata ini menggambarkan tindakan terdesak kerajaan PH yang semakin hilang sokongan rakyat.

Selain itu, ia seolah-olah PH bimbang kehadiran Umno Sabah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan untuk menyokong calon PBS akan membawa kesan besar dalam usaha mengekalkan kerusi Parlimen itu.

“Rakyat sabah telah mula menyokong semula perjuangan Umno Sabah.

“PH sedar bahawa kehadiran Umno di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan dalam menyokong calon PBS membawa kesan yang besar dan mampu menumbangkan calon PH di dalam PRK Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar dijangka didakwa esok selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu semalam sementara isterinya pelakon Zizie Ezzete dipanggil untuk memberi keterangan di Kuala Lumpur.

Kedua-duanya akan didakwa mengiktu Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009. Difahamkan kes tersebut berkaitan dengan peranan Bung Mokhtar ketika menjadi pengerusi Felcra.

Sumber SPRM memberitahu The Malaysian Insight, siasatan melibatkan dakwaan rasuah berjumlah jutaan ringgit.

Ghazali yang juga pemangku ketua bahagian Umno Tawau turut mempersoalkan mengapa PH membuka semula kes lama untuk mendakwa Bung Moktar. – 2 Mei, 2019.

Iklan
Iklan