Mana bukti Warisan beri MyKad kepada pendatang haram, tanya Leiking
Iklan
MEREKA yang menuduh kerajaan Sabah diterajui Warisan memberikan MyKad kepada pendatang haram tidak berani tampil dengan bukti kerana mereka tahu ia akan memberi kesan kepada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, kata Darell Leiking.
“Tetapi tiada siapa yang tampil. Awak tahu kenapa? Sebab mereka tahu ia tidak benar.
“Mereka tahu kalau mereka buat (tampil dengan bukti), kawan lama mereka dalam kerajaan lama akan terkena. Jadi mereka malu nak dedahkan kebenaran,” kata pemimpin kedua tertinggi Warisan itu kepada wartawan pada pelancaran pusat jentera pilihan raya parti itu di Penampang hari ini.
Pendatang haram dan orang tanpa warganegara adalah masalah lama wujud di Sabah, dan banyak pihak mengaitkan masalah itu dengan “Projek IC” yang didakwa dibuat kerajaan Barisan Nasional sekitar 1990-an.
Selepas Warisan mengambil alih pentadbiran negeri, mereka mencadangkan beberapa langkah termasuk “pemutihan” dan mewujudkan pangkalan data bagi mendapatkan jumlah dan lokasi tepat pendatang haram di Sabah.
Bagaimanapun, pembangkang Sabah menuduh langkah kerajaan itu adalah cubaan untuk “mengesahkan” dan memberikan kewarganegaraan kepada pendatang haram.
Jemu dan bosan dengan tuduhan itu, Leiking melontarkan cabaran kepada mereka untuk mengeluarkan bukti, menjanjikan “layanan kelas pertama” jika mereka berbuat demikian.
Dalam isu lain, timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri persekutuan itu juga menggesa ahli Warisan supaya mendedahkan sebarang salah laku atau korupsi dalam kerajaan sedia ada sekiranya ia berlaku.
Jelasnya, beliau mendengar banyak khabar angin korupsi berleluasa dan mahu rakyat mendedahkan perkara itu supaya tindakan dapat diambil kepada pelakunya. – 4 Mei, 2019.