Himpunan anti-Statut Rom bermula, peserta pertahan institusi raja
Iklan
KESETIAAN kepada raja merupakan tema kuat perhimpunan yang dirancang oleh gabungan kumpulan Islam yang bermula di ibu negara petang ini.
Dianjurkan gabungan kumpulan Islam, Gerakan Pembela Ummah (Ummah), perhimpunan berkenaan diadakan bagi membantah Statut Rom serta isu lain yang didakwa mengancam Islam dan institusi diraja.
Menjelang 2.15 petang, sekumpulan besar peserta mula berkumpul di luar kompleks membeli belah Sogo untuk menyanyikan lagu Negaraku.
Menurut anggota polis yang bertugas, dianggarkan 1,000 hingga 2,000 peserta yang hadir, selain pengunjung lain yang biasanya membeli belah di hujung minggu.
Sejam sebelum berarak dari Masjid Jamek ke pusat membeli belah Sogo dijangka bermula, terdapat peserta yang sudah berada Sogo, bersama peniaga minuman dan penjual kemeja-t himpunan itu.
Kemeja-t berwarna putih memaparkan sembilan Raja Melayu dengan tulisan “Daulat Tuanku”, yang dijual dengan harga RM15 sehelai.
Peserta turut membawa sepanduk bertulis “Hormati Institusi Raja Raja”.
Turut kelihatan poster bertulis “Suara TMJ Suara Rakyat”, yang merujuk kepada Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang dipuji oleh kumpulan pro Melayu kerana lantang membantah Putrajaya menandatangani perjanjian antarabangsa itu.
Perhimpunan itu tetap diadakan walaupun Putrajaya telah menarik balik penyertaan Statut Rom di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan selepas membatalkan rancangan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Kumpulan pro Islam itu berkata, namun begitu terdapat isu lain yang didakwa menunjukkan Putrajaya menekan hak Islam.
Ia termasuklah kematian anggita bomba Muhammad Adib Mohd Kassi, dan pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Seorang peserta dari Terengganu Harun Yusof berkata, kini “terlalu banyak isu berhubung institusi diraja” dan “kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk lindungi raja-raja.
“Himpunan ini sangat bagus untuk satu padukan Islam dan Melayu. Antaranya penghinaan raja, dan institusi agama Islam.
“Bas kami kumpul duit sendiri, penganjur tak sediakan apa-apa, token atau makanan. Semuanya kami sediakan sendiri,” kata lelaki berusia 42 tahun itu dan menambah, setiap daerah disediakan dua buah bas untuk membawa peserta ke ibu negara.
Sementara itu, Timbalan pengerusi Ummah Kamaruzaman Mohamad memberitahu peserta di luar Masjid Jamek agar mereka menunaikan solat terlebih dahulu sebelum berarak ke Sogo.
Perhimpunan hari ini mendapat sokongan daripada parti pembangkang Umno dan PAS, yang mula memperkukuhkan kerjasama politik mereka sejak kekalahan yang dialami pada Pilihan Raya Umum ke 14 tahun lalu.
PAS turut mengerahkan pasukan sukarelawannya, Jabatan Amal, untuk membantu mengawal peserta pada perhimpunan hari ini.
Kira-kira 100 orang peserta dilihat memakai pakaian berlogo parti masing-masing di luar Masjid Jamek, mengikuti Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang bersedia untuk berarak ke Sogo.
Di luar Sogo, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam juga dilihat mengetuai peserta. – 4 Mei, 2019