Iklan

Kematian Adib juga isu hak Melayu, kata peguam 

Himpunan ummah 20190504 hasnoor 025
Peguam kepada keluarga Adib, Zubir Embong berucap di hadapan peserta perhimpunan di hadapan kompleks membeli belah Sogo di ibu negara hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Mei, 2019
Iklan

KEMATIAN anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim adalah “berkait terus” dengan hak Melayu, kata peguam kepada keluarga anggota bomba itu kepada peserta perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini.

Zubir Embong daripada Lajnah Undang Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS berkata, ini kerana terdapat cubaan untuk “menyembunyikan” fakta dalam inkues berhubung bagaimana Adib mendapat kecederaan ketika bertugas semasa rusuhan di luar kuil Hindu pada November tahun lalu.

“Kematiannya merupakan saah satu daripada banyak isu hak Melayu yang ditundukkan. Anggota bomba Melayu terbunuh ketika menjalankan tugas dan kerajaan tidak mempertahankan beliau,” kata Zubir ketika berucap di hadapan peserta di hadapan kompleks membeli belah Sogo hari ini.

“Sebagai peguam, saya tidak boleh bercakap mengenai perkara dalam kes itu. Tetapi saya mahu katakan terdapat cubaan untuk menyembunyikan apa yang berlaku kepada Adib,” kata Zubir.

Beliau berkata, inkues itu mendengar versi berbeza bagaimana Adib mendapat kecederaan yang membawa kepada kematiannya pada Disember.

“Ada mengatakan beliau dilanggar kenderaan. Yang lain pula mengatakan beliau dipukul. Kini terdapat rayuan sama ada untuk memanggil pakar patologi itu sekali lagi untuk menolak keterangan pakar patologi yang lain.

“Kita sebagai rakyat perlu bertanya apa keadilan yang dibuat untuk Adib,” kata Zubir.

Kematian Adib merupakan antara beberapa isu yang dibangkitkan oleh penganjur himpunan Gerakan Pembela Ummah (Ummah), iaitu gabungan NGO Islam, yang menyenaraikan sebab perhimpunan itu diadakan hari ini.

Inkues berhubung kematian Adib diadakan di mahkamah koroner bagi menentukan punca kematian anggota bomba itu selepas mengalami kecederaan ketika rusuhan berkenaan.

Isu yang lain adalah cubaan Putrajaya untuk meratifikasikan perjanjian antarabangsa yang mana menurut segelintir kumpulan hak Melayu, ia akan mengancam kedudukan Majlis Raja-Raja, serta pengiktirafan kerajaan terhadap kelayakan sekolah menengah Cina, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Perhimpunan itu diadakan di antara Masjid Jamek dan kompleks membeli belah Sogo di ibu negara, yang mana peserta memakai baju putih menyatakan sokongan mereka terhadap institusi diraja.

Walaupun penganjur adalah gabungan NGO, parti pembangkang PAS dan Umno turut menyokong perhimpunan itu dan menunjukkan sokongan terhadap dakwaan bahawa orang Melayu dan umat Islam lebih tertindas di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Sekumpulan 100 penyokong yang mengatakan mereka dari Umno Hulu Langat membawa sepanduk yang menggesa Peguam Negara Tommy Thomas dipecat, sambil mengisytiharkan sokongan kepada Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang lantang bersuara menentang Putrajaya dalam beberapa isu. – 4 Mei, 2019

Iklan
Iklan