Himpunan Ummah tamat lebih awal akibat hujan
Iklan
SELEPAS dua jam setengah, Himpunan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) di Kuala Lumpur terpaksa ditamatkan lebih awal dan penunjuk perasaan mencari tempat berlindung akibat hujan lebat.
Sebelum itu, giliran untuk berucap juga diubah apabila cuaca semakin gelap dan peluang diberikan kepada dua speaker terakhir untuk berucap iaitu Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Asyraf berkata himpunan itu diadakan kerana kerajaan parti DAP memainkan isu perkauman dan menterinya dari kalangan India mencetuskan sentimen perkauman dalam rusuhan kuil Seafield dan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akibat kecederaan ekoran insiden itu pada tahun lalu.
“(P.) Waytha Moorthy dan (M.) Kulasegaran perlu ditahan,” kata Asyraf, merujuk kepada menteri perpaduan dan menteri sumber manusia yang sebelum ini menyalahkan kegagalan polis mengawal rusuhan dan menghalang sekumpulan Melayu ke kuil itu.
Kenyataan kedua-dua menteri itu mengundang kecaman daripada kumpulan Islam.
Asyraf juga berkata Tommy Thomas perlu dipecat sebagai Peguam Negara kerana menghina Melayu dan raja-raja susulan menyertai satu forum di Universiti Malaya pada minggu lalu.
Pada forum itu, Tommy mengkritik raja-raja selepas Putrajaya menarik diri daripada Statut Rom.
“Himpunan ini merupakan satu permulaan buat kita untuk mengadakan himpunan yang lebih besar bagi mempertahankan Islam, Perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu,” katanya.
Pemimpin nombor dua PAS, Tuan Ibrahim berkata himpunan hari ini diadakan sebagai amaran dan peringatan bahawa orang Islam tidak akan berdiam diri jika Islam dihina.
“Hentikan agenda LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender). Hentikan pergerakan liberal yang mahu menjadikan agama sebagai perkara peribadi dan bukannya agenda negara. Islam merupakan agama persekutuan dan perlu dihormati.
“Bantahan kita tidak akan berakhir di sini. Satu memorandum akan dihantar kepada pihak berkuasa dan kita akan membawa perkara ini ke Parlimen bagi melindungi raja-raja Melayu dan Islam,” katanya. – 4 Mei, 2019.
Berita penuh di sini.