LANGSUNG: RM42 juta masuk akaun AmBank Najib
Iklan
PERBICARAAN SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-13 hari ini, dengan saksi ke-29, pegawai kanan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Amirul Imran Ahmat kembali memberi keterangan.
Bekas penolong naib presiden Jabatan Pendapatan Tetap KWAP memberi keterangan pada Khamis lalu bahawa bekas perdana menteri menandatangani surat, bertarikh 3 Jun 2011, meluluskan permintaan pinjaman RM3.95 bilion kepada dana pencen kerajaan daripada SRC International.
Amirul memberi keterangan yang surat itu mengandungi tulisan dan tanda tangan Najib yang beliau kenal pasti. Surat itu termasuk kata-kata bertulisan tangan “Bersetuju dengan cadangan ini”, Amirul memberitahu mahkamah.
Kemudian, pada 19 Julai 2011, panel pelaburan KWAP meluluskan pinjaman RM2 bilion untuk SRC International, yang dibuat atas jaminan kerajaan.
Pada 12 Ogos 2011, permintaan dibuat oleh SRC International yang wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun syarikatnya, kerana ia mendapat sokongan kerajaan melalui 1MDB.
Menurut keterangan Amirul, pada 22 Ogos 2011, KWAP juga menerima surat daripada Kementerian Kewangan mengenai jaminan kerajaan untuk RM2 bilion selama 10 tahun. Pinjaman ini diluluskan pada 26 Ogos 2011.
Saksi Wedani Senen, 45, pengurus jabatan kiriman wang di ibu pejabat AmBank di Kuala Lumpur, memberitahu mahkamah pada Selasa lalu bahawa wang itu dipindahkan ke dua akaun semasa syarikat SRC International.
Beliau mengesahkan RM2 bilion dikreditkan ke dalam akaun semasa 211-202-200973-6 melalui empat pemindahan dengan RM500 juta setiap satu pada 29 Ogos 2011, kira-kira tujuh bulan selepas akaun itu dibuka pada 28 Januari 2011.
Beliau juga berkata pemindahan tunggal sebanyak RM2 bilion dikreditkan ke dalam akaun semasa 211-202-20165-0 pada 28 Mac 2012, kira-kira empat bulan selepas akaun dibuka pada 10 November 2011.
Daripada RM4 bilion yang disalurkan kepada SRC International, RM42 juta didakwa masuk ke akaun bank Najib.
Kerajaan terdahulu berkata SRC International dibentuk untuk mengenal pasti dan melabur dalam usaha meneroka sumber semula jadi dan galian, termasuk pengambilalihan saham atau sekuriti syarikat.
Najib berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa berhubung dana itu.
Beliau diwakili lebih 10 peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempengerusikan perbicaraan.
The Malaysian Insight membawakan anda prosiding hari ini secara langsung:
3.35pm: Sesi soal jawab hari ini ditamatkan. Shafee menjelaskan untuk membicarakan Nazlan, mereka perlu ke mahkamah rayuan esok bagi mendengar keputusan menarik semula Gopal Sri Ram dari perbicaraan 1MDB. Katanya, mereka akan selesai pada 9.30 pagi dan berada di mahkamah pada jam 10 pagi.
Hakim Nazlan menamatkan prosiding hari ini dan perbicaraan akan bersambung jam 10 pagi esok.
3.20pm: Traksaksi masih diteliti.
2.30pm: Farhan mengesahkan dengan Norhayati mengenai bagaimana cek diproses.
2.23pm: Prosiding diteruskan dengan pemeriksaan ke atas akaun Affin Bank.
1.18pm: Mahkamah berhenti rehat selama 30 minit.
1.12pm: Farhan masih mengesahkan dengan Norhayati mengenai semua transaksi dalam akaun 1MDB.
12.17pm: Farhan minta Norhayati mengesahkan penyata akaun.
12.11pm: Sulaiman selesai menyoal saksi.
Farhan Read mula menyoal balas Norhayati dengan bertanya sama ada transaksi tersebut dibuat sebelum atau selepas PRU13. Norhayati menjawab beliau tidak pasti.
11.35am: Norhayati mengesahkan RM5 juta daripada akaun Affin Bank Ihsan Perdana dipindahkan ke akaun AmBank ‘906’ Najib. Manakala RM27 juta dan RM10 juta dipindahkan ke akaun ‘808’ bekas perdana menteri itu.
11.32am: Mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015, RM27 juta dipindahkan pada 26 Disember 2014, RM5 juta pada 26 Disember 2014 dan RM10 juta pada 10 Februari 2015.
11.21am: Saksi membacakan penyata akaun No. 106180001108 bermula 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015 dan memberitahu terdapat pindahan kredit seperti berikut:
* RM40 juta dari Gandingan Mentari pada 24 Disember 2014.
* RM5 juta dari Gandingan Mentari pada 5 Februari 2015.
* RM5 juta dari Gandingan Mentari pada 6 Februari 2015.
DPP Sulaiman Kho menyoal balas saksi.
11.18am: Noraini membacakan transaksi akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd di Affin Bank.
11.07am: Saksi ke-30, Norhayati Mohd Yunus dari Affin Bank dipanggil.
10.39am: Shafee meminta hakim untuk membenarkan saksi turun dan akan meneruskan soal balas esoknya kerana peguam Harvinderjit Singh, yang sepatutnya melakukan soal balas, tidak dapat hadir di mahkamah hari ini.
DPP V. Sithambaram juga bersetuju dan memberitahu hakim Nazlan beliau boleh menyambung dengan saksi seterusnya dan Amirul boleh disoal balas esok.
Nazlan membenarkannya dan memberi mahkamah rehat selama lima minit.
10.27am: Ishak bertanya kepada Amirul mengapa beliau perlu mengetahui pelaburan SRC International sebelum memberi pinjaman.
Beliau menjawab, menjadi tugasnya untuk mengetahui mengapa ia memerlukan wang.
Amirul juga menjelaskan dan mengesahkan dengan pihak pendakwa terdapat dua permintaan pinjaman daripada SRC International.
Pertama, sebanyak RM3.95 bilion, dengan hanya RM2 bilion diluluskan. Satu lagi, permintaan pinjaman bernilai RM2 bilion yang diluluskan.
10.23am: Amirul berkata semasa berkhidmat di KWAP, pinjaman RM4 bilion kepada SRC International adalah yang terbesar pernah diberikan.
Bagi pinjaman pertama, Amirul diminta menyediakan kertas cadangan pelaburan untuk hanya RM1 bilion. Beliau kemudian diminta mengubah kepada RM2 bilion.
Amirul berkata tidak tahu mengapa pihak atasan meminta beliau mengubahnya.
10.19am: Kesalahan kedua ialah pelaburan KWAP dalam bentuk pinjaman tidak boleh melebihi 10% daripada peruntukan pelaburannya dalam pendapatan tetap domestik, mahkamah diberitahu.
Pelaburan tidak perlu mengikut garis panduan kerana ia mempunyai jaminan kerajaan, katanya.
10.16am: Amirul memberitahu mahkamah terdapat kesalahan yang dilakukan di bawah Perenggan 5 garis panduan dan polisi manual KWAP bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion yang pertama.
SRC International hanya mempunyai ekuiti RM1 juta tetapi ingin pinjaman RM4 bilion, katanya.
10.11am: Pada 28 Mac 2012, Amirul menerima surat daripada Kementerian Kewangan menyatakan kerajaan memberi jaminan RM2 bilion diberikan kepada SRC International selama 10 tahun dan pinjaman diluluskan oleh Kabinet pada 8 Februari 2012.
Surat itu juga meminta agar RM2 bilion diberikan kepada SRC International terlebih dahulu dan kementerian akan mengeluarkan surat jaminan kerajaan dalam masa 10 hari.
Pihak atasannya memberitahu pada hari yang sama RM2 bilion dimasukkan ke dalam akaun SRC International.
10.05am: Amirul berkata beliau tidak pernah menerima permintaan pinjaman daripada kerajaan sebelum ini, selain daripada ini semasa beliau berada di KWAP.
9.58am: Satu lagi pelaburan berpotensi yang dipanggil “Electrum”.
Nik Faisal berkata, e-mel itu menyatakan ia memerlukan sehingga AS$500 juta dengan pembayaran pertama serta AS$1 bilion untuk pelbagai peringkat anak syarikat dan syarikat.
Pelaburan itu akan dilakukan bersama dengan Kuwait Investment Authority dan Mubadala Development yang dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi.
E-mel berakhir dengan Nik Faisal menyatakan mereka berada dalam perbincangan lanjut untuk pelaburan ini.
9.54am: Di antaranya adalah pelaburan berpotensi AS$200 juta (RM840 juta) dalam ETT, kemudian disebut sebagai penyenaraian arang batu terbesar di dunia.
9.48am: Selepas itu, Nik Faisal menghantar tiga e-mel kepada Amirul mengenai pelbagai pelaburan dan IPO yang sedang dikaji oleh SRC International untuk melabur dengan wang itu.
9.38am: Amirul berkata pada 20 Mac 2012, ketua KWAP, Azian Noh memberitahu bertemu dengan Najib, Wan Abdul Aziz dan Irwan Serigar Abdullah di mana mereka membincangkan pinjaman yang akan dikeluarkan melalui progress payment.
Beliau berkata menerima e-mel mengenai perkara itu daripada Nik Faisal dan SRC perlu menandatangani memorandum untuk pinjaman itu.
Nik Faisal juga mengesahkan pertemuan antara kedua-dua pihak dan beliau menerima kelulusan daripada Najib sebagai menteri kewangan bagi pinjaman kedua bernilai RM2 bilion diberikan syarat yang sama seperti pinjaman RM2 bilion yang pertama.
9.31am: Selepas menerima e-mel daripada Terence, seorang pegawai 1MDB, bagi beberapa maklumat berkaitan di SRC International, Amirul kemudian diminta oleh pihak atasannya, Ahmad Norhisham menyiapkan kertas kerja yang akan dibentangkan kepada panel pelaburan KWAP untuk tambahan RM2 bilion.
Pinjaman ini diberikan jaminan kerajaan. Sama seperti yang pertama.
Panel kemudiannya meluluskan pinjaman itu pada 20 Mac 2012, mahkamah diberitahu.
9.26am: Amirul, yang berkhidmat di KWAP sebagai pegawai khas, menjelaskan kepada mahkamah dalam satu kenyataan bertulis bahawa pada 13 Mac 2012, beliau menerima surat daripada SRC International daripada Terence Geh.
Surat itu menyatakan ia memerlukan pembiayaan tambahan yang dicadangkan sebanyak RM2 bilion daripada KWAP. Surat itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Arif Kamil.
9.17am: Saksi Amirul Imran Ahmat kembali memberi keterangan dan terus disoal oleh peguam Ishak Mohd Yusoff.
8.53am: Najib tiba dengan sut pakaian berwarna biru. – 6 Mei, 2019.