Iklan

LANGSUNG: Pegawai KWAP nafi cadangkan pinjaman RM4 bilion

Najib razak  201900507 afif 10
Saksi ke-29, bekas pegawai KWAP Amirul Imran Ahmat dipanggil semula untuk beri keterangan dalam perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Mei, 2019.
Iklan

PERBICARAAN kes SRC International diteruskan pagi ini dengan pihak pembelaan meneruskan soal balas terhadap saksi pendakwa ke-30, Norhayati Mohd Yunus, pengurus cawangan Affin Bank (Perkhidmatan) di The Curve, Petaling Jaya.

Semalam, semasa disoal peguam bela Farhan Read, Noorhayati berkata beberapa cek bernilai jutaan ringgit dikeluarkan daripada anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari kepada sebuah syarikat, Mail Global Resources Sdn Bhd.

Sebanyak RM42 juta keluar dari anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari ke akaun Najib Razak antara akhir 2014 dan awal 2015, kata Noorhayati.

Pengurus bank itu menambah RM50 juta dipindahkan daripada Gandingan Mentari kepada syarikat menjalankan tanggungjawab sosial korporat SRC International, Ihsan Perdana dalam tempoh yang sama.

Baki RM8 juta yang tidak masuk ke akaun Najib dikreditkan kepada Mail Global Resources Sdn Bhd pada 29 Disember 2014, kata Norhayati, membuktikan keterangan pegawai pemproses Affin Bank Rosaiah Mohamed Rosli minggu lepas.

Bekas penolong naib presiden KWAP (jabatan pendapatan tetap) Amirul Imran Ahmat juga memberi keterangan semalam yang beliau memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib menandatangani surat jaminan kerajaan Malaysia pada 27 Mac 2012 untuk SRC International berhubung pinjaman berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk tempoh 10 tahun.

Menurut keterangan Amirul, KWAP menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 28 Mac 2012, yang memberikan jaminan kerajaan kepada SRC International, yang disahkan semasa mesyuarat Kabinet pada 8 Februari 2012.

Amirul juga berkata pinjaman RM4 bilion daripada KWAP kepada SRC International dilakukan dan dan diluluskan secara segera, walaupun proses melanggar Para 5 dasar dan garis panduan pelaburan KWAP.

SRC International menerima pinjaman RM2 bilion pada 26 Ogos 2011 melalui empat bahagian bernilai RM500 juta.

Amirul menambah beliau ditekan untuk mempercepatkan permohonan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion pada 28 Mac 2012.

“Ini kerana pinjaman kepada SRC International melebihi ekuiti pemegang saham. Ia hanya mempunyai ekuiti bernilai RM1 juta, tetapi permintaan untuk pinjaman berjumlah RM4 bilion diluluskan,” kata Amirul.

Terdapat juga pelanggaran di bawah Para 2 dimana jumlah pelaburan KWAP dalam bentuk pinjaman tidak dibenarkan melebihi 10% daripada peruntukan untuk pelaburan tetap dalam negara, tambahnya.

Najib berdepan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa terhadap RM42 juta yang didakwa diterima dalam akaun peribadinya.

Bekas perdana menteri Najb Razak di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Mei, 2019.

Menurut saksi, wang itu adalah daripada pinjaman RM4 bilion yang disalurkan kepada SRC International daripada KWAP.

Najib diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempengerusikan perbicaraan.

The Malaysian Insight membawakan anda prosiding hari ini secara langsung:

3.45pm: Harvinderjit memberitahu Hakim Nazlan beliau memerlukan masa satu jam dengan saksi. Prosiding hari ini berakhir dan pemeriksaan balas akan diteruskan pada jam 9 pagi esok.

3.34 pm: Harvinderjit masih menyoal balas Amirul. Hakim Nazlan memintanya lakukan dalam masa sepuluh minit sebelum perbicaraan hari ini ditangguhkan.

3.26pm: Najib kelihatan terlelap.

3.12pm: Amirul beritahu mahkamah beliau tidak pernah lihat pinjaman melebihi RM2 bilion sebelum ini. 

Harvinderjit berkata mungkin Amirul tidak tahu kerana saksi itu sudah tiga tahun tinggalkan KWAP. Amirul menegaskan tidak pernah melihat pinjaman sebanyak itu sebelum ini.

Amirul juga mendedahkan pinjaman dibayar sekaligus.

“Sesiapa sahaja boleh mohon, tetapi kalau untuk lulus, tidak.”

2.57pm: Harvinderjit bertanya kepada Amirul apakah kadar faedah bagi pinjaman yang dijamin kerajaan lebih rendah daripada nilai pasaran. Amirul berkata ia lebih tinggi daripada nilai pasaran.

2.45pm: Harvinderjit tanya Amirul jika beliau nampak Najib turunkan tandatangan pada surat meluluskan pinjaman. Amirul jawab tidak.

2.35pm: Amirul memberitahu beliau berjumpa Nik Faisal dan Terence Geh dari 1MDB untuk berbincang mengenai pelaburan berpotensi yang akan dibuat oleh SRC International dan sebarang pelaburan yang dibuat menggunakan dana dari KWAP.

2.26pm: Harvinderjit meneliti laporan suku tahunan SRC International dengan Amirul.

1.52pm: Harvinderjit berkata tempoh pembayaran balik hutang itu adalah 10 tahun dan bertanya apakah ia masih wujud.

Amirul berkata beliau tidak tahu mengenainya.

1.50pm: Harvinderjit meneliti surat tawaran pinjaman dengan Amirul, yang mengatakan pinjaman KWAP adalah patuh syariah.

1.48pm: Mahkamah bersambung semula dengan soal balas terhadap Amirul.

1.06pm: Harvinderjit berkata panel meminta pengecualian bagi kesalahan yang dilakukan ketika memohon pinjaman.

Amirul: Ya, kami minta pengecualian.

Harvinderjit: Bermakna tiada kesalahan?

Amirul: Tidak. Saya tetap dengan kenyataan asal saya.

Harvinderjit: Kita sudah cakap pasal ini tadi. Ia diberi pengecualian. Jadi, bukan kesalahan.

Amirul: Saya tidak setuju. Ia masih satu kesalahan. Diberi pengecualian.

Mahkamah berhenti rehat untuk solat Zohor dan akan bersambung semula pada jam 1.30 petang.

12.49pm: KWAP kemudian memutuskan bahawa kerajaan Malaysia akan dapat wang tersebut dan sebagai balasan, kerajaan akan mengeluarkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kepada KWAP.

12.34pm: Amirul masih menafikan RM1 bilion itu atas cadangannya.

12.20pm: Sebagai penyedia kertas pelaburan, Amirul turunkan tandatangan untuk dibincangkan panel pelaburan.

Harvinderjit mengasak Amirul lagi berkenaan sama ada RM1 bilion itu adalah cadangannya. Secara sinis amirul menjawab, “Tuan mahu jawapan ya atau tidak atau apa?”

12.18pm: Harvinderjit menjelaskan yang cadangan Amirul hanya untuk RM1 bilion dan panel pelaburan dimaklumkan bahawa mereka mencadangkan jumlah pinjaman yang lebih rendah.

Harvinderjit bertanya kepada Amirul apakah beliau masih menegaskan bahawa RM1 bilion itu bukan atas cadangannya. Amirul menjawab ya.

12.12pm: Amirul menegaskan beliau tidak pernah mencadangkan kepada panel pelaburan supaya beri pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.

Tambah Amirul, beliau tidak pernah menyerahkan kertas pinjaman kepada panel kerana ia dilakukan oleh ketuanya.

Sekarang Harvinderjit menyemak mengenai minit mesyuarat panel pelaburan dengan Amirul.

12.11pm: Harvinderjit bertanya sama ada kertas cadngan itu atas cadangan Amirul.

Amirul: Ia disediakan untuk perbincangan dan pertimbangan.

Harvinderjit: Tetapi disebut untuk cadangan.

Amirul: Itu cuma standard header.

Sesi soal balas bertukar jadi panas apabila Amirul menjawab “Tuan tanya saya soalan, biar saya jawab”.

12.05pm: Panel pelaburan akan menolak pelaburan awal berjumlah RM1 bilion jika ia diberi pilihan.

Harvinderjit bertanya kepada Amirul, jika itu adalah pendapat peribadinya bahawa panel akan menolak permintaan SRC International. Amirul menjawab ya, itu pendapat peribadinya. 

11.53am: 1MDB menolak permintaan Amirul untuk mendapatkan maklumat mengenai projeknya kerana ia perlu mendapat keizinan daripada perdana menteri dan pengerusi lembaga pengarah terlebih dahulu.

Amirul berkata beliau tidak memberitahu perkara itu kepada CEO KWAP tetapi hanya kepada ketuanya. Beliau juga tidak pasti jika ketuanya kemudian membawa perkara itu kepada pengetahuan CEO.

11.49am: Harvinderjit menyoal balas mengenai komunikasi antara Amirul dan pegawai tinggi 1MDB menerusi e-mel berkenaan pelaburan tersebut.

11.42am: Amirul berkata mereka hanya diberitahu secara ringkas mengenai pelaburan SRC International.

Nik Faisal, Terence Geh dan Vincent Koh hadir ketika mesyuarat dengan KWAP, katanya.

11.37am: Harvinderjit bertanya kepada Amirul bagaimana beliau mendapat maklumat bahawa SRC International adalah anak syarikat 1MDB.

Harvinderjit: Ada disebut dalam surat yang dihantar (kepada KWAP)?

Amirul: Ya.

11.33am: Surat itu menyatakan bahawa CEO KWAP, Azian setuju untuk beri pinjaman.

Harvinderjit: Surat itu tentu sampai ke tangan CEO KWAP, dan kemudian serahkan supaya kertas pinjaman dapat disediakan.

Amirul: Ya.

Harvinderjit: Surat itu memohon dana RM3.95 bilion. Kamu sediakan kertas panel. Ia cadangkan pinjaman RM1 bilion. Kamu tidak diarahkan untuk sediakan kertas pinjaman bagi RM3.95 bilion.

Amirul: Ya.

11.32am: Harvinderjit menyoal balas Amirul mengenai surat permohonan pinjaman yang dihantar oleh SRC International kepada Najib dan Kementerian Kewangan.

Amirul beritahu salinan juga dihantar kepadanya.

11.28am: Amirul berkata pinjaman yang diluluskan tertakluk kepada Akta KWAP.

Beliau setuju yang pinjaman boleh pelbagai. Beliau juga setuju panel pelaburan tidak terikat dengan pelaburan. Panel juga boleh memilih untuk meluluskan sebarang pelaburan dalam apa sahaja keadaan, katanya.

11.22am: Harvinderjit bertanya kepada Amirul sama ada beliau tahu mengenai peruntukan Akta KWAP.

Harvinderjit: Kamu tahu bahawa keputusan sama ada pelaburan KWAP dalam mana-mana projek tertentu terletak di bawah panel?

Amirul: Ada peruntukan yang ia di bawah kuasa panel.

11.15am: Amirul menunjukkan kepada mahkamah pegawai-pegawai SPRM yang hadir hari ini.

11.13am: Amirul berkata beliau kenyataannya diambil oleh pegawai SPRM bernama Encik Rosli.

Harvinderjit: Ketika keterangan diambil, adakah soalan diberi atau kamu sendiri yang cakap?

Amirul: Soalan diberi.

Amirul berkata beliau juga berjumpa ramai pegawai SPRM selain Rosli.

11.11am: Harvinderjit Singh mula menyoal balas saksi. Beliau memohon maaf kepada Hakim Nazlan kerana tidak hadir semalam.

Harvinderjit bertanya kepada Amirul berapa kali beliau beri keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Amirul berkata beliau disoal siasat banyak kali.

Amirul beritahu kali pertama beliau beri keterangan kepada SRPM pada 2015.

11.09am:  Amirul diminta mengenal pasti Najib dan bekas ketua KWAP. Beliau juga ditunjukkan dua keping gambar dan diminta mengenal pasti bekas pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil. Beliau mengenal pasti dengan betul.

11.03am: Saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat dipanggil semula beri keterangan. Bekas naib presiden KWAP (Jabatan Pendapatan Tetap) itu membantu menyediakan kertas pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.

Harvinderjit Singh menyoal balas Amirul.

Noorhayati Mohd Yunus berkata sebanyak RM42 juta keluar dari anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari, masuk ke akaun Najib Razak antara akhir 2014 dan awal 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Mei, 2019.

10.59am: Norhayati memberi keterangan. Beliau disoal mengenai transaksi membabitkan akaun Ihsan Perdana di Affin Bank.

Farhan Read menyoal balas saksi.

10.52am: Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah tiba di mahkamah.

10.30am: Najib tiba di kompleks mahkamah berpakaian sut berwarna khaki serta tali leher bercorak hitam putih. – 6 Mei, 2019.

Iklan
Iklan