Pendatang yang tinggal di Sabah beberapa dekad mesti diberi dokumen
Iklan
PAKATAN Harapan akan meneruskan dasar pemberian dokumentasi kepada pendatang yang tinggal di Sabah selama beberapa dekad, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Orang tanpa kerakyatan dan pendatang yang menetap di negeri ini selama beberapa dekad harus diberi dokumen yang betul,” katanya ketika melakukan walkabout di bandar Sandakan sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini.
Menurut Jabatan Imigresen Negeri, warga asing membentuk satu pertiga atau kira-kira 1.15 juta daripada 3.9 juta penduduk Sabah dan kira-kira 70% warga asing adalah pendatang tanpa izin.
Ahli politik Sabah telah melahirkan rasa bimbang berhubung kemasukan pendatang tanpa izin ke negeri ini yang menyebabkan ramai penduduk tempatan takut sekiranya ia akan mengubah komposisi demografi Sabah.
Kebanyakan pendatang tanpa izin datang ke Sabah selepas rusuhan awam di selatan Filipina pada 1970-an.
Pada 1990-an terdapat tuduhan bahawa kerajaan persekutuan cuba menjadikan pendatang sebagai rakyat Malaysia melalui cara meragukan seperti Projek IC yang menimbulkan kontroversi.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berada di Sabah untuk berkempen bagi calon DAP Vivian Wong dalam PRK Sandakan. – 7 Mei, 2019