Penduduk Sandakan perlu undi calon mahu pembaharuan, banteras rasuah, kata Anwar
Iklan
ANWAR Ibrahim menggesa penduduk di Sandakan agar mengundi wakil yang sebahagian daripada kerajaan bagi melakukan pembaharuan dasar.
Presiden PKR itu berkata, Pakatan Harapan perlu menjadi kerajaan yang kuat untuk meneruskan pembaharuan, selepas berjaya menumbangkan rejim Barisan Nasional yang korup.
“Kini kita perlu terus bergerak. Sebelum ini mereka menggesa dasar berasaskan keperluan kerana orang Melayu miskin, kita harus membantu mereka terlebih dahulu.
“Saya kata tidak boleh. Jika seseorang itu miskin jadi beliau tetap miskin, tanpa mengira kaum dan kita perlu bantu mereka.
“Inilah pendirikan kerajaan PH dan ini apa yang diperjuangkan calon DAP pilihan raya kecil Sandakan.
“Walaupun beliau bertanding dengan simbol roket DAP, beliau masih sebahagian daripada PH,” katanya pada ceramah DAP di Bandar Prima di Batu 4 Sandakan, malam ini.
Anwar berkata, PH perlu kuat agar ia mampu mentadbir negara dengan baik dan mengubah semua dasar yang tidak betul, lapuk dan korup.
Beliau berkata, rejim terdahulu memberi ganjaran kepada mereka yang korup, dan mengatakan beliau mengenali beberapa orang yang telah mencuri wang dari kerajaan, merampas tanah dan kontrak kerajaan tetapi masih dianugerahkan gelaran “Tan Sri.”
Anwar turut membidas pihak yang mengatakan kerajaan persekutuan PH gagal selepas setahun mendapat kuasa.
Katanya, kejayaan terbesar PH adalah kemenangan mereka dalam menaikan mereka yang korup untuk terus berkuasa selepas pilihan raya umum tahun lalu.
Menurutnya, kejayaan kedua terbesar kerajaan PH adalah memperkenalkan dasar yang mana menteri dan ahli Parlimennya tidak boleh teerlibat rasuah dengan pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan berisiko dipecat sekiranya didapati terlibat dalam kesalahan itu.
Beliau yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan berdepan dengan banyak masalah dan tempoh setahun tidak cukup untuk menyelesaikannya.
Sebagai contoh katanya, isu keselamatan di pantai timur Sabah yang menjejaskan perdagangan di wilayah itu.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
“Dasar sudah ada tetapi saya mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin, jika tidak ekonomi akan lebih buruk.
“Keselamatan mesti menjadi keutamaan sehingga tidak ada lagi penculikan untuk tebusan dan jenayah rentas sempadan,” katanya. – 7 Mei, 2019