Budaya politik ‘larang’ punca anak muda kurang minat politik
Iklan
BUDAYA politik di negara ini yang tidak menggalakkan kritikan terbuka adalah antara alasan kenapa golongan muda kurang berminat dengan politik, kata Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian.
Katanya, budaya politik yang mengekang perbincangan sihat isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat menyebabkan anak muda Malaysia tidak berminat dengan apa juga yang cuba ditampilkan oleh parti politik, baik pemerintah mahupun pembangkang.
“Anak muda umumnya dilarang bercakap tentang politik di kampus universiti dan di kelas juga mereka tidak digalakkan.
“Mereka minat politik, tahu banyak perkara melibatkan politik dan mengambil tahu hal politik. Tapi mereka rasa pendapat mereka diabaikan dan undi mereka tidak bermakna apa-apa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kaji Selidik Persepsi Anak Muda terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa Kebangsaan di Petaling Jaya, malam tadi.
Parti politik, kata Ibrahim, seharusnya mengangkat isu-isu yang menjadi kerisauan anak muda dan bukannya isu yang tidak menarik perhatian mereka.
Kajian itu antara lain mendedahkan ramai anak muda di Malaysia memandang rendah ahli politik dan kerana itu mereka bersikap acuh tidak acuh untuk mendaftar sebagai pengundi.
Kaji selidik itu juga menunjukkan tujuh daripada 10 anak muda tidak mempercayai ahli politik manakala lebih separuh menganggap pemimpin politik tidak pedulikan rakyat.
Lebih tiga perempat daripada responden juga menyatakan mereka tidak peduli langsung hal politik dan manakala seorang dalam setiap empat orang percaya kalau terlibat dalam proses politik pun, mereka tidak dapat mempengaruhi dasar kerajaan.
“Kaji selidik ini mendapati ada kalangan pengundi (muda) yang merasa seolah-olah mereka dipinggirkan kerana bagi mereka menjadi sebahagian daripada proses politik tidak bermakna mereka dapat melihat perubahan,” tambahnya.
Sementara itu, peguam Syahredzan Johan yang menyertai diskusi panel berkata dapatan kaji selidik ini amat membimbangkan kerana kurangnya minat anak muda yang merupakan majoriti pengundi baru akan menyebabkan sistem demokrasi tempang.
“Jika anak muda tidak memperdulikan sistem, keputusan akan dibuat oleh orang tua.
“Ahli politik yang muda pun tidak dapat memahami masalah anak muda, (maka) isu anak muda ditentukan oleh orang tua,” katanya.
Syahredzan yang juga merupakan aktivis undang-undang turut hairan melihat bagaimana parti politik seolah tidak tahu langsung apa yang dirasai oleh anak muda.
Beliau memberi contoh sekatan kerajaan terhadap laman web permainan video Steam awal bulan ini.
“Masalah ahli politik terutamanya ahli politik pembangkang ialah mereka tidak boleh berhenti daripada bercakap mengenai politik. Mereka hanya bercakap mengenai polisi di mana-mana sahaja.
“Sepatutnya mereka guna isu yang melibatkan anak muda dengan politik yang dibawa. Isu (sekatan ke atas) Steam adalah peluang yang baik untuk mengaitkan antara sesuatu yang penting dengan mereka (anak muda) kepada proses demokratik.
“Saya hairan ia tidak berlaku,” katanya lagi.
Seorang lagi panel, juara debat universiti dunia, Jasmine Ho turut meluahkan kebimbangan sekiranya hal ini berterusan pada masa depan.
“Masa berlalu bagi anak muda yang tidak dapat melibatkan diri dalam sistem. Mereka bukan tidak berminat dengan politik tetapi tidak berminat dengan cara kerajaan dan parti politik,” kata beliau. – 20 September, 2017.