Iklan

LANGSUNG: Panel KWAP sedar risiko beri pinjaman SRC International, kata saksi

16 src trial 090519 tmiseth 14
Amirah Mohd Noor bertugas sebagai naib presiden jabatan sokongan pelaburan dan perkhidmatan KWAP yang menandatangani dua baucar bayaran pinjaman RM2 bilion kepada SRC International pada 2012. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mei, 2019.
Iklan

PERBICARAAN SRC International Najib Razak memasuki hari ke 16 hari ini, dengan pihak pembelaan meneruskan pemeriksaan balas terhadap penolong pengurus cawangan Maybank Kuala Lumpur Halijah Abdul Wahab.

Semalam, Halijah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa 10 transaksi berlaku antara 8 Julai, 2014 dan 7 Januari, 2015 melibatkan Putra Perdana Construction Sdn Bhd, Putra Perdana Development Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd.

Transaksi terbesar berlaku pada 12 Disember, 2014 apabila sebanyak RM140 juta dipindahkan dari Putra Perdana Construction ke SRC International.

Halijah turut memberi keterangan bahawa RM27 juta dipindahkkan dari Permai Binaraya ke akaun AmBank Najib, yang berakhir dengan 880, pada 8 Julai, 2014.

Beliau memberitahu mahkamah jumlah yang sama dipindahkan kembali ke Permai Binraya dari akaun Najib enam bulan kemudian, pada 29 Disember, 2014.

Keterangan Halijah itu tidak menyebut sama ada wang itu berasal dari SRC International atau tiga syarikat itu adalah penerima dana daripada SRC International.

Tiga syarikat terbabit yang dinamakan itu sebelum ini dilaporkan merupakan anak syarikat Putrajaya Perdana Sdn Bhd, sebuah syarikat pemaju dan pembinaan yang pernah dikawal oleh ahli perniagaan yang dikehendaki, Jho Low.

Penolong pengurus cawangan Maybank Kuala Lumpur Halijah Abdul Wahab merupakan saksi ke-31 perbicaraan SRC International bekas perdana menteri Najib Razak.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mei, 2019.

Putrajaya Perdana tidak dinamakan di mahkamah semalam. Syarikat itu dilaporkan dijual kepada UBG Bhd, yang berkaitan dengan keluarga Yang di-Petua negeri Sarawak Taib Mahmud. Taib ketika itu merupakan ketua menteri.

UBG kemudiannya diperolehi oleh Petrosaudi International Ltd (Seychelles), dilaporkan dibantu oleh pinjaman 1Malaysia Development Bhd pada tahun 2010. Syarikat itu kemudiannya dijual kepada Cendana Destini Sdn Bhd pada tahun 2012.

Semalam, mahkamah juga mendengar bahawa Kumpulan AmBank didenda oleh Bank Negara pada bulan November 2015 kerana tidak melaporkan transaksi yang mencurigakan dalam akaun Najib Razak.

Pengawai penyiasat kanan Bank Negara Ahmad Farhan Sharifuddin berkata, bank yang mana Najib mempunyai lima akaun antara 13 Januari, 2011 dan 9 Mac, 2015, gagal menghantar laporan transaksi mencurigakan yang diperlukan.

Beliau tidak mendedahkan jumlah denda. AmBank sebelum ini dilaporkan didenda sebanyak RM53.7 juta pada 23 November, 2015, kerana gagal mematuhi peraturan tertentu.

Najib berdepan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa terhadap RM42 juta yang didakwa diterima dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Menurut saksi, wang itu adalah daripada pinjaman RM4 bilion yang disalurkan kepada SRC International daripada KWAP pada 2011 dan 2012.

Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempengerusikan perbicaraan.

The Malaysian Insight membawakan anda prosiding secara langsung:

3.45pm: Hakim Nazlan berkata perbicaraan akan disambung semula pada Selasa, 14 Mei.

Mahkamah ditangguhkan hari ini.

3.40pm: Hakim Nazlan membenarkan saksi meninggalkan kandang saksi tetapi akan diteruskan soal balas ketika perbicaraan disambung semula pada Isnin.

3.35pm: Saksi mengatakan RM4 bilion yang dibayar oleh KWAP adalah pinjaman terbesar pernah diluluskan semasa beliau bekerja di sana.

Beliau mengatakan empat kertas panel pelaburan dan kertas panel pelaburan khas hilang dan beliau hanya mempunyai salinan.

Beliau mengatakan sudah cuba mencari dokumen itu tetapi tidak berjaya menemuinya. Apabila ditanya oleh DPP sama ada beliau akan menemuinya jika diberi masa, beliau mengatakan tidak akan menemuinya.

Beliau mengesahkan salinan asal hilang.

Apabila ditanya sama ada proses pelaburan itu disegerakan, beliau berkata ada arahan diberikan untuk mempercepatkan proses pinjaman, tetapi tidak mengatakan oleh siapa.

3.15pm: Azlida Mazni juga meneliti proses panel meluluskan pinjaman kedua RM2 bilion yang mempunyai terma pinjaman sama seperti yang pertama.

3.00pm: Saksi memperincikan proses pinjaman yang diikuti oleh KWAP dalam memberi pinjaman kepada SRC International.

2.45pm: Menurut Azlida Mazni, panel bersetuju RM2 bilion terlalu besar untuk diberi kepada syarikat yang hanya mempunyai modal berbayar RM2.

Panel itu juga memutuskan untuk mempertimbangkan pinjaman itu jika ia dibuat terus kepada 1MDB dan bukannya SRC International kerana 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc kerana ia mempunyai pengurusan wang yang betul, disiplin dan berada di bawah bidang kuasa MOF Inc.

Beliau berkata panel itu bimbang risiko memberi pinjaman kepada SRC International. Panel juga mempersoalkan keupayaan dan kelayakan pengurusan SRC International dalam membuat pelaburan.

Panel juga menyatakan tidak ada keperluan memberikan wang itu secara sekaligus. Mereka bercadang memberinya secara berperingkat.

Beliau juga mendedahkan kesemua enam ahli panel kemudiannya bersetuju untuk memberi RM2 bilion kepada SRC International.

2.40pm: Beliau berkata pada 19 Julai, kertas pelaburan, kali ini bagi RM2 bilion, dibawa untuk pertimbangan panel. Katanya, SRC International meminta wang untuk modal kerja dan pelaburan am.

2.35pm: Azlida Mazni berkata pada 5 Julai, kertas pelaburan sebanyak RM1 bilion dibentangkan di depan panel pelaburan.

Beliau mengesahkan panel tidak meluluskan pinjaman semasa mesyuarat pada 5 Julai untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai SRC International dan fungsinya.

Beliau berkata keputusan berbuat demikian direkodkan dalam minit mesyuarat dan mesyuarat itu dipengerusikan oleh Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang merupakan pengerusi KWAP ketika itu.

2.25pm: Beliau berkata terdapat dua cara panel pelaburan KWAP membuat keputusan mengenai pinjaman. Salah satu cara adalah dengan mesyuarat yang dihadiri oleh semua ahli panel.

Cara kedua ialah mengeluarkan kertas pekeliling. Sekiranya ia melalui satu mesyuarat, mereka perlu membuat konsensus, sedangkan jika ia melalui kertas pekeliling, panel akan mengambil suara majoriti.

Beliau berkata kaedah kertas pekeliling sering digunakan untuk meluluskan pinjaman dari 2011 hingga 2013.

Bagi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, beliau berkata syarikat pelaburan itu menghantar surat yang diterima oleh KWAP pada 3 Jun 2011 yang ditujukan kepada Najib.

Surat itu meminta RM3.95 bilion untuk SRC International menjalankan pelaburan awam.

2.05pm: Saksi ke-35 mengambil tempat untuk memberi keterangan. Azlida Mazni Arshad adalah naib presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP.

Azlida Mazni membaca kenyataan yang beliau sediakan dengan SPRM. Beliau membaca tentang bagaimana KWAP melakukan pelaburan.

1.55pm: Mahkamah bersambung dengan V. Sithambaram berkata terdapat mesej WhatsApp  yang tular mengenai Najib berswafoto di mahkamah.

Shafee menuduh seorang wartawan daripada The Edge di mahkamah dan mengatakan beliau mesti mempunyai kuasa kerana berupaya melihat Najib berswafoto di mahkamah, sambil menambah laporan itu tidak mempunyai nilai berita.

Najib menafikan berswafoto dan berkata beliau menggunakan kamera sebagai cermin, kerana berasa ada sesuatu yang tajam berhampiran matanya, kata Shafie.

Sithambaram bertanya apa masalahnya jika gambar diambil. Shafee berkata tiada gambar diambil.

Hakim Nazlan bertanya Najib sama ada beliau ada mengambil gambar.

Najib menjawab beliau menggunakan kamera untuk penampilan dirinya.

Nazlan berkata beliau menerima penjelasan, tetapi menegaskan semua bentuk rakaman dan foto dilarang di mahkamah. Beliau menambah jika gambar diambil, ia akan berkemungkinan akan menghina mahkamah.

Shafee mengatakan sebarang laporan harus membantu prosiding mahkamah, dan menggesa hakim memberi amaran kepada wartawan agar tidak menulis cerita sebegini.

Nazlan mengatakan wartawan tidak menulis cerita dengan niat jahat, kerana mereka mungkin menyangka Najib berswafoto dan mahu mengelak ia mengalih perhatian daripada kes itu.
Hakim memerintahkan perkara itu ditutup dan memanggil saksi berikutnya.

12.55pm: Mahkamah berhenti rehat 30 minit.

12.53pm: Harvinderjit: Boleh anda ingat kali pertama dipanggil SPRM?

Amirah: Tidak pasti, 2015 atau 2016.

Harvinderjit menamatkan sesi soal balasnya.

12.48pm: Amirah berkata kenyataan itu sama. Harvinderjit bertanya berapa kali beliau dan Ambalagam jumpa pegawai SPRM dan adakah beliau lihat kenyataan Ambalagam sebelum memberi keterangannya pada SPRM.

12.45pm: Harvinderjit menyatakan ada percanggahan antara keterangan bertulisnya dengan kenyataan Ambalagam yang diambil oleh SPRM.

Harvinderjit berkata maklumat dalam kenyataan itu daripadanya, tetapi perkataannya tidak. Beliau tidak begitu setuju.

12.43pm: Shafee dan Najib terlelap di mahkamah ketika Harvinderjit menyoal balas saksi.

12.40pm: Dalam kenyataannya, Amirah berkata pinjaman RM4 bilion itu yang terbesar pernah diberikan oleh KWAP.

Harvinderjit: Adakah ini berdasarkan kepada ingatan kamu?

Amirah: Ya.

12.30pm: Harvinderjit bertanya bagaimana beliau ingat transaksi itu memandangkan beliau sudah bersara.

Katanya, ketika keterangannya diambil, SPRM menunjukkan dokumen baucar bayaran yang diluluskan dan ditandatanganinya.

12.28pm: Saksi disoal balas oleh Harvinderjit.

12.25pm: Beliau berkata peranannya bukan untuk mempersoalkan bayaran atau pinjaman daripada KWAP. Katanya, dua pinjaman yang diberikan kepada SRC International itu yang terbesar pernah diluluskan dalam sejarah KWAP.

12.22pm: Beliau mengesahkan wang itu daripada simpanan KWAP kepada SRC International.

12.20pm: Bagi pinjaman pertama RM2 bilion, katanya beliau sedang bercuti dan tidak menandatangani baucar bayaran. Katanya, Ambalagam perlu menandatanganinya kerana beliau ada kuasa berbuat demikian.

Bagi pinjaman kedua RM2 bilion kepada to SRC International pada 2012, katanya beliau menandatangani dua baucar bayaran, setiap satu RM1 bilion.

12.15pm: Saksi ke-34 Amirah Mohd Noor beri keterangan. Beliau mempunyai PHD dari Universiti Teknologi Mara.

Beliau juga naib presiden jabatan sokongan pelaburan dan perkhidmatan KWAP. Beliau berkata keterangannya diambil oleh SPRM.

12.10pm: Harvinderjit bertanya adakah kerajaan akan memperuntukkan RM1.5 bilion kepada KWAP. Ambalagam berkata jumlah itu mungkin berbeza-beza.

Saksi habis memberi keterangan.

12.05pm: Ambalagam berkata beliau bertanggungjawab untuk penggunaan pinjaman. Harvinderjit bertanya tentang keanehan dua dokumen dikenali sebagai notis kepenggunaan, dokumen yang diperlukan untuk memperoleh pinjaman RM2 bilion itu. Harvinderjit menyatakan satu dokumen itu bertarikh dan satu lagi tidak.

Ambalagam berkata notis arahan pembayaran pinjaman itu akan dibawa kepada penolong naib presiden untuk diluluskan. Katanya, secara purata peruntukan kerajaan untuk KWAP ialah RM500 juta.

12pm: Harvinderjit soal Ambalagam adakah keterangannya itu benar-benar perkataan digunakannya. Beliau menjawab ya. Ambalagam juga berkata beliau tidak ada kuasa untuk meluluskan pinjaman itu.

11.58am: Harvinderjit mula menyoal balas. Ambalagam ditanya bila kali pertama beliau disoal siasat oleh SPRM.

Katanya, beliau disoal siasat setahun atau dua tahun lalu. Katanya, beliau memberi keterangan sebanyak dua atau tiga kali. Beliau juga menamakan pegawai SPRM Rosli.

“Pegawai-pegawai itu biasanya bertanya saya apa yang berlaku. Saya berikan pandangan saya. Mereka menaipnya dan memberikannya semula kepada saya. Saya sahkan dan tandatangan,” kata Ambalagam.

11.53am: Katanya, selepas bayaran diluluskan, ia dibawa ke sistem Rentas untuk kelulusan sebelum wang itu dikeluarkan untuk penerima.

11.50am: Menurutnya, beliau meluluskan bayaran baucar RM2 bilion untuk pinjaman SRC International dari KWAP pada 29 Ogos, 2011.

11.45am: Saksi ke-33, R. Ambalagam, mengambil tempat. Beliau bertugas di bahagian sumbangan di KWAP.

Beliau bertugas bersama dengan KWAP sejak 2004. Beliau merupakan pengarah di jabatan perkhidmatan pengurusan dan akaun dalam KWAP pada 2011.

11.45am: Mahkamah kembali selepas berehat seketika.

11.20am: Saksi menyatakan beliau tidak mendapat salinan surat arahan kerana surat berkenaan dihantar ke ibu pejabat di KL. Beliau mengesahkan jabatan Rentas akan hanya menerima “arahan secara bersemuka” dari cawangan.

Tiada soalan lagi dari Rahmat. Saksi dilepaskan. 

11.15am: Dalam pemeriksaan balas, saksi mengesahkan pada 8 Julai, 2014 RM27 juta daripada Permai Binaraya dipindahkan ke nombor akaun AmPrivate yang berakhir dengan “880” yang milik Najib.

Ahli Parlimen Pasir Tajuddin, yang mengikuti perbicaraan awal tadi, tidak kelihatan di mahkamah.

11.11am: Tiada lagi soalan dari timbalan pendakwa raya. Pemeriksaan oleh saksi dimulakan dengan Rahmat Hazlan untuk pihak pembelaan. 

11.02am: Norlina mengesahkan transaksi berdasarkan nasihat pengesahan kredit tunggal. Transaksi disahkan setakat ini:

– RM35 juta dari SRC International ke Putra Perdana Construction pada 8 Julai, 2014,

– RM105 juta dari SRC International ke Putra Perdana Construction pada 14 Julai, 2014,

– RM30 juta dari SRC International ke Putra Perdana Construction pada 8 Ogos, 2014,

– RM140 juta dari Putra Perdana Construction ke SRC International pada 12 Disember, 2014,

– RM5 Juta dari akaun AmPrivate ke Putra Perdana Construction pada 29 Disember, 2014, dan;

– RM27 juta dari Permai Binaraya ke akaun AmPrivate 8 Julai, 2014.

10.56am: Norlina mengesahkan “nasihat transaksi pengesahan kredit tunggal” dari Putra Perdana Construction ke akaun SRC International.

10.51am: Norlina disoal oleh timbalan pendakwa raya Sulaiman Koh.

10.46am: Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengikuti perbicaraan dari galeri awam.

10.38am: Saksi seterusnya mengambil tempat ialah Norlina, iaitu ketua bahagian penyelesaian perbendaharaan Maybank. Tugas beliau adalah untuk memastikan transaksi Rentas, atau Real-Time Electronic Transfer of Funds dan Sistem Keselamatan, berjaya.

Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam Najib Razak dalam perbicaraan SRC International.  – Gambar The Malaysian ooleh Seth Akmal, 9 Mei, 2019

10.37am: Shafee berkata walaupun bank mengikut arahan berhubung pemindahan dana, ia tidak perlu untuk keluarkan cek. 

Proses itu dipanggil “layering”, mahkamah diberitahu. Ia bermakna bahawa bukannya mendebitkan dana terus dari akaun, bank memutuskan untuk mengeluarkan cek.

Halijah berkata, pegawai bank perlu menasihatkan pelanggan untuk terus debitkan jumah itu, dan tidak keluarkan cek. 

Shafee: Walaupun kami bukan pegawai yang bertugas, malangnya, kamu di sini. Jadi, tiada keperluan untuk keluarkan cek?

Halijah: Sepatutnya. 

Tiada soalan lanjut dari Shafee. Saksi dibebas.

10.30am: Shafee bertanya mengapa cek dikeluarkan untuk transaksi RM30 juta. Halijah berkata kliennya boleh memilih untuk debitkan secara terus atau keluarkan cek.

Peguam berkata, pengeluaran cek adalah “tidak perlu”.

10.24am: Shafee bertanya Halijah berhubung satu lagi surat arahan yang diterima melalui faks, untuk debit RM30 juta dari Permai Binaraya (no. akaun 514012042754 dan kreditkan jumlah itu ke SRC International (no. akaun 2112022010650).

Saksi mengesahkan surat itu, mengatakan ia juga ditandatangan oleh Rosman dan Lee.

Shafee bertanya sama ada format surat arahan itu sama untuk Permai Binaraya dan Putra Perdana Construction.

Beliau mengesahkannya.

10.22am: Mahkamah mendengar mengenai surat arahan, bertarikh 7 Januari, 2015 untuk memindahkan RRM3 juta dari Putra Perdana Construction (no. akaun 014011327183) kepada Permai Binaraya  (no. akaun 514012042754). Surat itu diterima melalui faks. Ia ditandatangani oleh Rosman dan Lee.  

10.19am: Terdapat satu lagi surat yang ditandatangani oleh kedua mereka, untuk memindahkan RM5 juta dari akaun bernombor 514012042754 milik Permai Binaraya, kepada Putra Perdana Development. Saksi mengesahkan perkara itu, dan berkata penandatangan “bertukar jawatan”.

10.16am: Halijah mengesahkan Rosman dan Lee penandatangan surat arahan untuk memindahkan dana dari akaun bernombor 514012042754 ke AmBank.

10.11am: Shafee bertanya Halijah sekiranya beliau boleh sahkan sama ada surat arahan atau sebarang bentuk dokumen ditandatangani oleh Rosman dan Lee.

Beliau menjawab “ya” untuk Permai Binaraya dan “saya rasa juga” bagi Putra Perdana Construction.

Beliau mengesahkan kedua-dua Rosman dan Lee merupakan pengarah di Permai Binaraya, dengan Rosman juga pengarah di Putra Perdana Construction.

10.08am: Halijah mengesahkan kepada Shafee yang dua nama yang disebutkan adalah penandatangan bagi Permai Binaraya dan Putra Perdana Construction.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Najib Razak didakwa bersama atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan dana kerajaan RM6.6 bilion antara 16 Disember, 2016 dan 18 Disember, 2017. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mei, 2019.

9.58am: Shafee memberitahu saksi beliau mahu memfokuskan kepada dua nama ini.

9.57am: Halijah berkata Rosman menjadi penandatangan bagi Putra Perdana Construction pada 2 Mei, 2012. 

9.52am: Halijah berkata beliau tidak pasti penandatangan syarikat itu pada 1998. Beliau berkata terdapat enam penandatangan bagi Kamunting Construction.

9.51am: Shafee menyemak borang Putra Perdana Construction. Halijah mengesahkan Putra Perdana Construction sebelum ini dikenali sebagai Kamunting Construction Sdn Bhd. Namanya ditukar pada 17 September, 1998. 

9.38am: Shafee menyemak borang pembukaaan akaun Permai Binaraya. Halijah mengesahkan bank menerima surat pada 1 Julai, 2014 dari Permai Binaraya, dan akaun dibuka pada 2 Julai, 2014. Terdapat dua penandatangan – Rosman Abdullah dan Jerome Lee Tak Loong.

9.32am: Perbicaraan SRC International bersambung. Halijah mengambil tempat.

Shafee bertanya sama ada beliau bawa dokumen yang diminta. Beliau menjawab “ya”.

Shafee menyemaknya.

9.14am: Hakim Nazlan berkata beliau mahu menetapkan tarikh bagi kes IPIC. Shafee meminta beliau tidak menetapkan tarikh sehingga sekurang-kurangnya pada September, kerana perbicaraan 1Malaysia Development Berhad dan SRC International tidak akan selesai sehingga Ogos. Peguam mencadangkan penangguhan tarikh bagi mendengar kes IPIC. 

9.13am: Mahkamah bermula dengan memanggil Irwan dan Najib. 

Pihak pendakwa berusaha untuk mengosongkan tarikh perbicaraan Najib-Irwan pada 8 Julai untuk memudahkan perbicaraan SRC International, dengan mengatakan “ia tidak akan mempromosikan kecekapan kehakiman untuk memulakan kes IPIC apabila kes SRC International sedang berjalan”, merujuk ke Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi.

9.02am: Bekas ketua setiausaha perbendahaan Mohd Irwan Serigar Abdullah mengambil tempat di sebelah Najib. Hakim Nazlan akan mendengar sebutan kes bagi kedua-dua mereka, yang didakwa bersama dengan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana kerajaan RM6.6 bilion antara 16 Disember, 2016 dan 18 Disember, 2017, sebelum perbicaraan SRC International bekas perdana menteri itu bersambung. 

8.58am: Najib memasuki mahkamah. Beliau berbincang dengan pembantunya. 

Iklan
Iklan