Iklan

Hadi, Tuan Ibrahim menang tanpa bertanding

Zulkifli Sulong8 years ago11th Apr 2017Berita
Iklan

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing tanpa bertanding selepas pencalonan untuk merebut jawatan dalam PAS ditutup.

Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi pasti itu berkata bagi jawatan naib presiden, lima calon layak bertanding termasuk dua calon baharu.

Ketua penerangan Nasrudin Hassan dan Takiyudin sendiri dicalonkan bagi jawatan itu di samping penyandangnya Idris Ahmad, Nik Mohamad Amar Nik Abdullah dan Iskandar Samad.

Bagi ahli jawatankuasa pula, 40 calon layak bertanding.

Menurut satu maklumat lain, bekas timbalan ketua Pemuda Khalil Abdul Hadi mendapat pencalonan terbanyak iaitu 38 pencalonan untuk jawatan ketua Pemuda selepas Nik Abduh Nik Mat menarik diri daripada jawatan itu.

Turut mendapat pencalonan ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang mendapat 37 pencalonan, hanya kurang satu pencalonan berbanding Khalil.

Walaupun menarik diri, Nik Abduh yang kalah teruk dalam usahanya merebut jawatan timbalan ketua kawasan Pengkalan Chepa, turut mendapat tujuh pencalonan.

Bagi jawatan timbalan ketua pula, Khairil Nizam Khirudin menang tanpa bertanding selepas mendapat 99 pencalonan berbanding Azam Samad yang menerima 9 pencalonan.

Azam dikatakan tidak layak bertanding kerana syarat minima pencalonan untuk muktamar kali ini adalah 10.

Muktamar PAS tahun ini akan diadakan di Alor Setar bermula 26 April. – 11 April, 2017.

Iklan
Iklan