Saya nak ajar cara beli banglo, Najib sindir Guan Eng
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak hari ini menyelar Lim Guan Eng selepas setiausaha agung DAP itu berkata lawatannya ke Sandakan adalah untuk mengajar penduduk tempatan melakukan rasuah.
Najib secara sinis berkata beliau ke sana untuk mengajar penduduk Sandakan bagaimana membeli banglo, merujuk kepada kes pertuduhan rasuah Lim berhubung pembelian banglo di Pulau Pinang yang dikatakan di bawah harga pasaran.
“Eh! Tidak. Saya bukan ke sana untuk mengajar rasuah.
“Saya ke sana cuma nak bincang bagaimana untuk beli banglo jauh di bawah harga pasaran dari penjual yang ada kaitan perniagaan dengan kerajaan negeri.
“Lepas tu nak bincang bagaimana kes rasuah yang sudah mula dibicara dalam mahkamah selama 3 minggu di mana 20 orang saksi telah memberi kenyataan boleh digugurkan begitu sahaja sehingga SPRM pun terkejut,” tulis Najib di Facebook hari ini.
Tahun lalu, Lim dibebaskan daripada dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk membolehkan beliau dan isteri meluluskan permohonan menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di Balik Pulau; juga untuk membeli banglo di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran.
Ahli Parlimen Pekan itu akan ke Sandakan hari ini untuk memberi sokongan kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Linda Tsen Thau Lin yang akan berdepan calon DAP, Vivian Wong dan tiga calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan Sabtu ini.
Selain itu, Najib menerusi Facebook juga berkata projek terowong bawah laut Pulau Pinang dianugerahkan kepada sebuah syarikat pada 2013, tetapi pembinaan hanya akan dimulakan pada 2030.
“Saya juga nak bincang bagaimana projek mega terowong RM6.3 bilion boleh dianugerahkan pada tahun 2013 untuk hanya mula dibina 17 tahun kemudian pada tahun 2030.
“Nak sembang juga kenapa laporan feasibiliti bernilai RM305 juta masih tidak dapat disiapkan selepas mengambil masa 6 tahun.
“Nak bincang juga bagaimana pihak tertentu dijamin akan menang RFP yang kononnya telus dan bagaimana 10% kepentingan projek itu serta hadiah wang tunai ratusan ribu berulangkali diberi kepada beberapa pemimpin terkanan DAP,” kata Najib.
Penduduk Sandakan katanya mungkin berminat ingin tahu mengapa ada pihak yang sanggup membayar RM22 juta untuk menutup siasatan rasuah berkenaan projek terowong tersebut.
“Ataupun saya sudah terlambat dan Guan Eng sudah bincang semua itu dengan orang Sandakan?” – 10 Mei, 2019.