Shafie mahu Putrajaya hentikan keluar lesen mesin judi
Iklan
SABAH sedang meningkatkan usaha membanteras perjudian haram, dengan ketua menterinya meminta Putrajaya untuk hentikan pengeluaran lesen untuk mesin judi di negeri itu.
Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung perkara itu.
“Mengenai perjudian, saya sangat jelas. Saya tidak akan benarkannya di Sabah.
“Bagaimanapun, Kementerian Kewangan masih mengeluarkan lesen untuk mesin judi. Saya akan bertemu dengan Lim untuk minta beliau hentikannya,” katanya ketika sesi bersama komuniti peniaga di Sandakan hari ini.
Beliau mengulas kepada pertanyaaan mengenai pendirian kerajaan negeri mengenai premis perjudian.
Beliau yang juga presiden Parti Warisan Sabah hadir ke kawasan Parlimen itu untuk berkempan bagi calon Pakatan Harapan Vivian Wong dari DAP. Lim yang juga setiausaha agung DAP, turut berkempen untuk Wong menjelang pilihan raya kecil esok.
51% daripada 40,000 pengundi di Sandakan adalah masyarakat Cina.
Shafie berkata, beliau tidak mahu melihat keluarga dari golongan berpendapatan rendah “hancur” kerana ketagihan judi.
“Kamu mahu main mahjong, tak mengapa, tapi jangan pertaruhkan duit. Saya tahu mahjong. Ia sangat penting di tempat asal saya,” kata Ahli Parlimen Semporna itu.
Beliau berkata, Sabah tidak akan membenarkan premis perjudian, dan menggesa masyarakat agar melaporkan sebarang aktiviti perjudian haram di kawasan mereka.
Pada Rabu, kumpulan agama di negeri itu mengeluarkan surat menggesa Sabah dan kerajaan persekutuan untuk mengharamkan operasi kasino mini di negeri itu.
Surat berkenaan yang dialamatkan kepada perdana menteri, menteri kewangan, yang dipertua negeri Sabah dan ketua menteri, ditandatangani oleh Majlis Gereja, Jawatankuasa Pendidikan Interdenominational, Persatuan Seminari Teologi dan Yayasan Buddha, antara lain. – 10 Mei, 2019