Iklan

Keadaan Anwar semakin stabil, mungkin keluar hospital Jumaat

Amin Iskandar7 years ago20th Sep 2017Berita
Anwar sodomy case day7 061114 tminazirsufari 03
Anwar Ibrahim dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur pada jam 2 petang semalam akibat masalah tekanan darah kurang stabil dan kini masih dalam pemantauan doktor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2017.
Iklan

BEKAS ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam akibat masalah tekanan darah kurang stabil kini masih dalam pemantauan doktor, kata isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden PKR itu bagaimanapun berkata, Anwar kini berada dalam keadaan stabil.

“Alhamdulillah. Mungkin Anwar akan keluar hospital hari Jumaat. 

“Beliau kini masih dalam pemantauan doktor,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Anwar dikejarkan ke HKL pada jam 2 petang akibat masalah tekanan darah kurang stabil. 

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata Anwar kini dalam pemantauan doktor dan turut memerlukan rawatan fisioterapi intensif akibat kecederaan lama di bahu.

“Anwar menggesa semua untuk terus berusaha membawa perubahan. 

“Beliau turut mengingatkan pimpinan PKR dan Pakatan Harapan untuk memberi keutamaan kepada isu dihadapi rakyat,” katanya.

Bagaimanapun Pengarah HKL Dr Zaininah Mohd Zain berkata, Anwar dibawa ke HKL malam tadi untuk menjalani pemeriksaan berjadual.

Beliau berkata Anwar tidak mengalami masalah kesihatan cuma akan berada di hospital itu untuk beberapa hari bagi pemeriksaan yang akan dikendalikan oleh sepasukan pakar.

“Ia adalah pemeriksaan berjadual dan pasukan pakar akan mengendalikan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini. – 20 September, 2017.

Iklan
Iklan