Wang anak yatim RM1 juta diseleweng untuk bayar kos saman pembantu Najib
Iklan
DANA sebuah yayasan Islam berjumlah RM1 juta yang sepatutnya disalurkan kepada anak yatim didapati disalahguna untuk membiaya kos guaman seorang penasihat Najib Razak.
Perkara itu dinyatakan dalam satu nota perbincangan sulit kerajaan mengenai perbelanjaan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Dokumen yang dilihat The Malaysian Insight menyebut, kos guaman itu bagi urusan kes melibatkan Yapeim dan Yayasan Pembangunan Anak Yatim (Pemangkin).
Penasihat Najib dimaksudkan adalah seorang pengarah Yapeim sewaktu kes itu berlaku pada 2017.
Kos itu bagi membatalkan saman Pemangkin yang antara lain mendakwa Yapeim menggunakan dana yayasan tersebut untuk menaja program menteri agama waktu itu, Jamil Khir Baharom ke Eropah, Amerika Syarikat dan program yayasan di Ausralia.
Saman difailkan pada Mac 2017 mendakwa bekas pembantu Najib itu berhasrat menutup Pemangkin secara rahsia bagi menyembunyikan skandal dalam Yapeim.
Dalam dokumen yang dilihat The Malaysian Insight, pegawai berkenaan didapati membuat bayaran mencecah RM1 juta secara berperingkat kepada dua firma berbeza, dalam jumlah kecil.
“Pembayaran kos guaman ini tidak mendapat kelulusan dari lembaga pengarah Yapeim maka pembayaran dibuat kepada peguam tidak melebihi RM50,000 untuk mengelak daripada mendapat kelulusan lembaga pengarah.
“Bayaran kos yuran guaman sehingga hari ini sudah mencecah satu juta ringgit,” dokumen itu dipetik.
Laporan itu menyebut, Yapeim membayar RM50,000 sebanyak tiga kali kepada firma Tetuan Zain Megat dan Murad pada tahun itu – pada 10 Januari, 17 Mac dan 9 April.
Yapeim juga didapati membayar RM35,000 kepada Ash Hiani Group Sdn Bhd bagi bil perunding urusan kes yang melibatkan Yapeim dan Pemangkin pada 12 April 2017.
Selain itu pada tarikh 12 Mei sebanyak dua transaksi dibuat – RM 37, 477 dan RM 36,452 bagi bayaran baki bil guaman kes itu.
Laporan Pelan Tindakan dan Perstrukturan Semula Yapeim itu turut memuatkan 10 imej yang menunjukkan transaksi bayaran yayasan berkenaan.
Pembantu Najib itu merupakan ahli lembaga pemegang amanah Yapeim bagi tempoh 2017-2019 dan bekas pengarah bahagian perancangan strategik Jabatan Perdana Menteri.
Selain pegawai tersebut, Pemangkin turut menyaman Jamil Khir yang merupakan menteri di jabatan perdana menteri waktu itu dan lima lagi ahli lembaga pengarah Yapeim.
Mereka adalah Mohd Yusof Abd Rahman, Mokhtar Abdul Razak, Abibullah Samsudin, Sharina Ramli dan Normala Embi, yang turut memohon membatalkan saman tersebut
Bagaimanapun Jamil Khir, yang dinamakan sebagai defendan pertama, tidak memohon membatalkan saman itu.
Saman berkenaan difailkan dua pengasas Pemangkin iaitu Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fazil Hashim.
Bagaimanapun pada 7 Februari 2018 Mahkamah Tinggi membatalkan saman Pemangkin atas alasan ia bersifat remeh dan menyusahkan.
Skandal penyelewengan Yapiem turut didedahkan Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir pada 2015.
Akmal, yang kini ahli Parlimen Johor Baru, mendakwa Yapeim membelanjakan wang sejumlah RM223,000 untuk kempen pilihan raya kecil di Parlimen Rompin.
Akmal juga mendakwa wang Yapeim hampir RM411,000 yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah disalahgunakan Jamil Khir.
Dakwanya, wang tersebut membiayai perjalanan Jamil bersama isteri, aktiviti bermain golf dan lawatan ke pusat membeli belah.
Sehari selepas itu, beliau tampil membuat pembetulan bahawa jumlah yang didakwa dibelanjakan adalah sebanyak RM590,000.
Dakwanya, ia melibatkan program Jamil Khir di Amerika Syarikat dan melibatkan 100 orang peserta.
Akmal juga mendakwa Yapeim membelanjakan sebanyak RM290,000 bagi penganjuran kursus perkahwinan di Paris yang dirasmikan oleh Jamil Khir.
The Malaysian Insight sedang mendapatkan maklum balas Yapeim ke atas dakwaan tersebut.
Laporan yang dilihat The Malaysian Insight menyebut, yayasan berkenaan kini sedang melakukan rombakan dan penstrukturan semula perjawatan dan fungsi jabatannya.
Ia sebagai langkah menangani isu ketirisan dan penyelewengan dalam Yapeim, laporan itu dipetik.
“Yapeim juga menambah baik polisi dan kaedah membuat keputusan sebagai contoh pengurusan hanya boleh menggunakan 20% sahaja dari kutipan amal jariah untuk menempung kos pengurusan Yapeim.
“Yang lain hanya belanja amal jariah dan pelaburan sahaja boleh digunakan,” kata laporan itu.
Yapeim, sebuah yayasan berorientasi pelaburan dan kebajikan, merupakan antara agensi yang disiasat dalam kempen reformasi institusi oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan.
Yapeim ditubuhkan pada 1976 mengikut Akta Pemegang Amanah 1952 adalah serupa seperti sebuah tabung kebajikan.
Bagaimanapun, Yapeim bukan tabung amanah biasa kerana disokong oleh kerajaan dengan perdana menteri sebagai penaungnya yang memberi kuasa kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menyelia pertubuhan itu.
Yapeim diuruskan oleh presiden, timbalan presiden dan ahli lembaga pemegang amanah yang dilantik oleh menteri.
Ia menyertai pelbagai aktiviti ekonomi termasuk mengendali pasar raya, dagangan emas dan dalam bidang hartanah dan menggunakan sebahagian keuntungan itu untuk membiaya program kebajikan. – 11 Mei, 2019.