Keputusan tidak rasmi: Vivian menang besar di Sandakan
Iklan
CALON DAP Vivian Wong memenangi kerusi Parlimen Sandakan dengan mengumpul lebih daripada 12,000 undi, menjangkaui 55% jumlah keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu, menurut kiraan undi tidak rasmi.
Terdapat 40,131 pengundi berdaftar di bawah kawasan Parlimen Sandakan, dan 39,684 daripadanya layak untuk mengundi pada hari ini.
Jumlah undi pos dibenarkan sebelum ini kepada 177 individu, manakala pengundian awal dijalankan bagi 270 anggota polis pada Selasa lalu.
Mengikut kiraan undi tidak rasmi, Vivian memperoleh 12,283 undi manakala pencabar terdekatnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS) Linda Tsen hanya sekadar mampu meraih 3,040 undi setakat pukul 7 malam.
Calon lain dalam pilihan raya itu ialah Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat dan Chia Siew Yung.
PRK Sandakan dijalankan selepas Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt, yang juga bapa Vivian meninggal dunia pada 28 Mac.
Kemenangan ini menyaksikan Pakatan Harapan mengakhiri kemarauan kemenangan dalam pilihan raya kecil yang dilaksanakan sebelum ini. Tiga pilihan raya kecil sebelum ini di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau dimenangi Barisan Nasional. – 11 Mei, 2019.