Iklan

Kemenangan DAP di Sandakan hadiah terbaik buat Pakatan, kata Guan Eng

Jason Santos5 years ago11th May 2019Berita
Sandakan
Lim Guan Eng berikrar penduduk Sandakan akan mendapat pembangunan yang sepatutnya, tidak seperti rejim Barisan Nasional yang hanya memberi manfaat kepada kroni. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2019.
Iklan

KEMENANGAN di Pilihan Raya Kecil Sandakan yang diwakili DAP adalah kemenangan rakyat dan hadiah “terbaik” bagi ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Kemenangan besar tersebut katanya, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih yakin dengan Pakatan Harapan dan Warisan.

“Ini kemenangan orang Sandakan, walaupun taktik kotor digunakan, pembohongan dan kemunculan Bossku (Najib Razak), rakyat Sandakan menunjukkan mereka mahu kerajaan bersih, yang hanya boleh ditunjukkan oleh PH,” katanya kepada pemberita ketika menyaksikan keputusan pengiraan undi di Bandar Lee Tat, Sandakan.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan bahawa calon DAP, Vivian Wong, berjaya menawan majoriti 9,814 undi berbanding Parti Bersatu Sabah dan tiga lagi calon bebas, walaupun jumlah pengundi hanya sekadar 54% daripada jumlah keseluruhan 40,131 pengundi di kawasan itu.

Lim juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Mohd yang juga merupakan Presiden Warisan kerana turut menunjukkan pengaruh besarnya bagi membantu kemenangan parti tersebut, terutamanya bagi meraih undi Melayu.

Undi Melayu menyumbang 16% daripada 40,131 pengundi yang layak mengundi di Sandakan, di mana DAP sering menghadapi kesulitan bagi menawan kawasan Melayu di daerah itu.

“Hakikat bahawa beliau dapat menggerakkan pengundi, menunjukkan perpaduan kerajaan negeri dan persekutuan serta kekuatan gabungan Pakatan Harapan dan Warisan, yang menjangkaui semua kaum,” katanya.

Lim berkata hal ini menunjukkan bahawa satu-satunya parti gabungan yang boleh menyatukan semua kaum dan memerintah Malaysia adalah PH dan Warisan.

“Tidak ada parti. Banyak parti mewakili kaum atau kawasan tertentu, tetapi Pakatan Harapan menjangkaui kawasan dan kaum di seluruh negara.

“Kami mewakili bukan hanya orang Iban, Sabah, Melayu, Cina, tetapi semua. Kemenangan ini menunjukkan rakyat masih yakin dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Lim berikrar penduduk Sandakan akan mendapat pembangunan yang sepatutnya, tidak seperti rejim Barisan Nasional yang hanya memberi manfaat kepada kroni.

Beliau juga memuji Vivian yang membantu DAP mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan, bahkan memenanginya dengan majoriti besar walaupun jumlah peratusan keluar mengundi adalah rendah.

“Ini akan menjadi satu permulaan yang baik untuk PH walaupun apa pun yang berlaku pada masa lalu dan ia meningkatkan keyakinan kami, bukan hanya untuk penggal ini tetapi juga penggal-penggal seterusnya,” katanya. – 11 Mei, 2019.

Iklan
Iklan