Iklan

Saya keluar Bersatu kerana ia tiada disiplin, kata Hamidah  

Radzi RazakMelati A. Jalil7 years ago20th Sep 2017Berita
Hamidah main
Hamidah Osman yang merupakan bekas naib presiden Bersatu berkata perjuangan yag dibawakan oleh parti itu kini jauh menyimpang dari perjuangan asal menyebabkan dia bertindak keluar parti. – Gambar youtube, 20 September, 2017.
Iklan

BEKAS pemimpin Bersatu Hamidah Osman yang bertindak keluar parti minggu lalu menafikan dia seorang ejen Umno dan berkata peletakan jawatannya itu kerana “budaya” parti dan tiada disiplin.

Hamidah yang juga bekas naib presiden Bersatu berkata, parti itu sudah jauh menyimpang daripada pejuangan asalnya.

“Sekiranya saya ingin melakukan sesuatu, saya akan melakukannya dengan sepenuh hati. Jika saya rasa saya tidak boleh lakukannya, saya akan berhenti melakukannya. 

“Dan untuk mengatakan saya ejen Umno, kamu harus ingat semasa saya dipecat daripada parti kerana menentang (presiden Umno) Najib (Razak), tiada langsung ura-ura untuk menubuhkan parti baharu.

“Ketika itu apa yang penting adalah perjuangan. Saya tidak pernah bermimpi untuk ada parti baharu. Jadi isu menjadi ejen Umno ini tidak timbul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hamidah dipecat daripada Umno pada 24 November 2015 kerana menyertai program pembangkang di Ipoh dan mengkritik kepimpinan parti.

Beliau lantang mengkritik pentadbiran kerajaan Najib dan juga skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Malah Hamidah juga dikatakan diatur dalam satu program bual bicara dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai speaker untuk menyerang Najib ketika masih sebagai ahli Umno. 

Bagaimanapun dalam Bersatu, Hamidah berkata terdapat satu budaya yang tidak menghormati serta keengganan untuk menguatkuasakan disiplin oleh kepimpinan tertinggi.

Pada Julai lalu, ahli politik Perak itu menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap ketua pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman, yang menuduh beliau menjadi ejen Umno dan menyalahkannya kerana tindakan ahli keluar parti beramai-ramai di Perak awal tahun ini. 

Syed Saddiq turut mencabarnya meletakkan jawatan beberapa bulan lalu, dan menggelarnya hipokrit dan meminta Hamidah meninggalkan parti sekiranya hanya mengejar jawatan.

Hamidah berkata ini adalah keputusan terakhirnya dan meletakkan jawatan sebagai naib presiden parti, ketua bahagian Gopeng dan ahli parti pada 16 September. 

“Kerana budaya ini, perpecahan dalam parti sangat berleluasa dan saya khuatir Bersatu akan berdepan masalah lebih besar sekiranya perkara ini berlarutan,” katanya.

Hamidah juga menafikan bahawa beliau kecewa dengan presiden parti itu Muhyiddin Yassin kerana membuat keputusan menamakan Ahmad Faizal Azumu sebagai ketua Bersatu negeri Perak.

“Ini bukan faktornya kerana saya sudah pun memegang jawatan naib presiden, jawatan yang lebih tinggi berbanding pengerusi negeri. 

“Saya cuma kecewa dengan bagaimana pemilihan itu dibuat, yang mana saya rasakan ia tidak menjamin kejayaan Bersatu di Perak. 

“Apa yang lebih mengecewakan saya ialah apabila saya menyuarakan pendapat, saya dilabel sebagai pengkhianat,” katanya. 

Faktor Syed Saddiq 

Hamidah berkata beliau mendapati pimpinan parti enggan mengambil tindakan terhadap Syed Saddiq dan merasakan parti mengecamnya kerana kekejaman terhadapnya.

“Ramai yang mengatakan Syed Saddiq tidak berani untuk melakukan perkara itu dan dia tidak mendapat restu daripada pimpinan,” katanya dan menambah banyak isu lain yang tidak diuruskan dengan baik oleh parti itu.

“Saya tidak rasa saya boleh meneruskan perjuangan dengan Dr Mahathir dan sebagaimana yang saya katakan awal tadi, jika saya mahu lakukan sesuatu, saya akan lakukan sepenuh hati tapi hari ini, saya sudah hilang minat dengan melihatkan situasi yang saya rasa tidak terkawal, dan pada saya sama ada teruskan atau tinggalkan,” katanya.

Selain Hamidah, ahli parti lain Anina Saadudin, turut mengumumkan peletakan jawatannya pada Sabtu, dan mendakwa Bersatu “tidak lagi mempraktikkan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti” dalam pentadbirannya.

Syed Saddiq bagaimanapun tidak memberi sebarang makum balas kepada The Malaysian Insight untuk memberikan sebarang komen. – 20 September, 2017.

Iklan
Iklan