Iklan

Shafie, Warisan faktor penentuan kemenangan DAP di Sandakan

Jason Santos5 years ago11th May 2019Berita
14
Sepanjang proses kempen, DAP meramalkan jumlah keluar mengundi yang rendah, terutama dari pengundi Cina yang tidak berada di Sandakan, tetapi bekerja di tempat lain dan undi Melayu sangat penting bagi mengembalikan kedudukan calon ahli parlimen mereka selesa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 11 Mei, 2019.
Iklan

KEMENANGAN DAP di Sandakan dalam pilihan raya mungkin tidak dapat direalisasikan jika pada saat-saat akhir Parti Warisan Sabah dan pemimpinnya Mohd Shafie Apdal tidak turun berkempen di kawasan Melayu-Islam di kawasan itu.

Ketua menteri itu bersama-sama anggota partinya berkempen habis-habisan di kawasan Melayu-Muslim di Kampung Sim Sim dan Pulau Berhala, sebuah kawasan yang menyaksikan DAP tidak memiliki pengaruh sama sekali.

Kawasan ini mempunyai penduduk pengundi Melayu yang terdiri daripada kira-kira 4,000 pengundi.

Beliau memberi jaminan kepada para pengundi di sini bahawa dia akan menangani aduan mereka yang terus berlarutan seiring dengan janji-janjinya.

Pegawai publisiti DAP Ginger Phoong berkata kedua-dua kawasan itu adalah kubu Umno-Barisan Nasional.

“Ini adalah kawasan Melayu dan kubu kuat Barisan Nasional, tetapi jika tidak kerana ketua menteri, tidak mungkin kita dapat meraih undi di kampung-kampung ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Phoong berkata bahawa ahli Parlimen sebelum ini, Stephen Wong mempunyai dua penggal dalam percubaan beliau menawan kawasan ini, tetapi sentiasa gagal.

Malah anak perempuan Wong itu menyifatkan penduduk kampung di kawasan itu tidak begitu ramah.

“Jika tidak kerana Shafie, tak ada seorang pun daripada mereka akan undi saya,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mengiktiraf pengaruh Shafie dan Warisan kepada para pengundi di Sandakan sangat memberi kesan bahkan kehadiran “Bossku” (bekas Perdana Menteri Najib Razak) tidak dapat memberikan kemenangan kepada Parti Bersatu Sabah.

Peranan Shafie dalam menggerakkan undi Melayu di kawasan itu kerana berjaya membangkitkan isu-isu tempatan yang dibangkitkan pengundi di kawasan kampung.

Di Kampung Forest dua hari lalu, beliau berjanji kepada penduduk di sana bahawa status tanah mereka akan dikaji semula oleh Kerajaan Negeri dan memberi jaminan bahawa beliau akan meneliti aduan lama yang terus berpanjangan berhubung hak tanah yang diduduki mereka.

Sepanjang proses kempen, DAP meramalkan jumlah keluar mengundi yang rendah, terutama dari pengundi Cina yang tidak berada di Sandakan, tetapi bekerja di tempat lain dan undi Melayu sangat penting bagi mengembalikan kedudukan calon ahli parlimen mereka selesa.

Pekerja parti DAP yang ditemui malam ini berkata kira-kira 23% pengundi Cina keluar mengundi hari ini.

“Ramai daripada mereka terdiri daripada orang tua dan mereka keluar pada waktu pagi,” kata sumber parti itu.

Kebanyakan orang Melayu dan Bumiputera Sabah hanya keluar selepas 10 pagi dan meningkatkan jumlah peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengatakan jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 54.4% atau 21,595 pengundi.

Vivian Wong Shir Yee mengekalkan kerusi Sandakan untuk DAP dengan majoriti yang lebih besar sebanyak 11,521 undi.

Vivian memperoleh jumlah keseluruhan sebanyak 16,012 undi manakala saingan terdekatnya, Linda Tsen Thau Lin dari Parti Bersatu Sabah hanya memperoleh sebanyak 4,491 undi dalam pertandingan lima penjuru di pilihan raya tersebut.

Bapa Vivian, Ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal mendiang Stephen Wong Tien Fatt, memenangi kerusi itu dengan majoriti sebanyak 10,098 undi dalam PRU14.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Stephen pada 28 Mac lalu. – 11 Mei, 2019.

Iklan
Iklan