Iklan

LANGSUNG: Perbicaraan beri fokus bagaimana pinjaman RM4 bilion diluluskan

Bede HongTimothy Achariam5 years ago14th May 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 17 02
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Mei, 2019.
Iklan

SESI soal balas pegawai kanan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) akan diteruskan hari ini, yang kini masuk hari ke-17 bagi perbicaraan melibatkan Najib Razak dan dijangka memberi tumpuan kepada bagaimana pinjaman RM4 bilion kepada SRC International diluluskan pada 2011 dan 2012.

Pendakwa menuduh bekas perdana menteri dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berhubung RM42 juta daripada pinjaman tersebut yang masuk ke dalam akaun bank peribadinya pada 2014 dan 2015.

Saksi ke-35 pihak pendakwa, Azlida Mazni Arshad yang merupakan naib presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP, akan kembali memberi keterangan hari ini untuk menyerahkan lima dokumen asal berkaitan pinjaman.

Menurutnya kepada mahkamah minggu lepas, hanya salinan dokumen dihantar ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) empat tahun lalu.

Dokumen asal yang dicari oleh pendakwa adalah draf cadangan permohonan pinjaman yang dikemukakan oleh Jabatan Pendapatan Tetap untuk pertimbangan panel pelaburan KWAP.

Azlida memberi keterangan minggu lalu bahawa Najib mengarahkan Pengerusi KWAP, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah mempercepat proses kelulusan pinjaman RM2 bilion yang pertama.

Beliau berkata bekas ketua pegawai eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh berkata demikian kepada mesyuarat panel pelaburan pada 18 Julai 2011.

Walaupun terdapat persoalan mengenai keupayaan dan kelayakan pengurusan SRC International dalam membuat pelaburan menguntungkan dan walaupun tidak mempunyai keperluan menyegerakan pemberian pinjaman RM2 bilion secara sekaligus, panel pelaburan KWAP meneruskannya dan mengundi untuk meluluskan pinjaman.

Azlida berkata panel juga berpendapat cadangan pinjaman RM2 bilion terlalu besar untuk sebuah syarikat dengan modal berbayar sebanyak RM2.

Enam anggota panel meluluskan pinjaman menggunakan kaedah “kertas pekeliling” melalui borang jawapan.

Enam anggota itu ialah Wan Abdul Aziz, yang juga ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu; pengerusi panel pelaburan Mohammed Azlan Hashim; bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Wahid Omar; Norizah Bahari; Cheah Tek Kuang dan Che ‘Zakiah Che’ Din.

Pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion dibentangkan kepada panel pada 20 Mac 2012.

Bekas pembantu naib presiden KWAP, Jabatan Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat memberi keterangan minggu lalu bahawa surat jaminan yang ditandatangani oleh Najib adalah satu-satunya “selling point” untuk kelulusan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion. Pada masa itu, pemilikan SRC International dipindahkan dari 1Malaysia Development Bhd kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Saksi ke-35 pihak pendakwa, Azlida Mazni Arshad yang merupakan naib presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP, akan memberi keterangan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2019.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

3.40pm: Hervinderjit hentikan pemeriksaan balasnya setakat hari ini. Beliau memohon maaf kepada Hakim Nazlan kerana lewat memulakan perbicaraan hari ini.

Mahkamah ditangguhkan hari ini.

Perbicaraan bersambung pukul 9 pagi esok.

3.35pm: Harvinderjit memberitahu Hakim Nazlan beliau ada beberapa soalan lagi kepada saksi dan sesi ini mungkin “panjang”  – kira-kira 40 minit lagi.

Nazlan minta Harvinderjit untuk menyambung 10 minit lagi.

3.08pm: Peguam pendakwa V. Sithambaran membantah soalan Harvinderjit, menyatakan ia terlalu banyak dan beliau hanya meminta pandangan saksi.

3.05pm: Harvinderjit terus menyoal Azlida mengenai syarat dan perjanjian pinjaman.

2.30pm: Azlinda memberitahu mahkamah tiada jaminan kerajaan dicadangkan SRC International apabila panel pelaburan bincangkan sama ada untuk meluluskan pinjaman RM1 bilion.

2.04pm: Mahkamah bersambung selepas rehat setengah jam dengan Harvinderjit menyambung pemeriksaan balas.

Harvinderjit: Bolehkah panel pelaburan mempersoalkan CEO mengenai pelaburan jika CEO meluluskan kertas pelaburan?

Azlida: Ya.

12.41pm: Harvinderjit: Jika pelaburan dalam rekod KWAP sudah melalui semua peringkat kelulusan, anda bersetuju dengan rekod bahawa proses (syarat) sudah dipenuhi?

Azlida: Ya.

Harvinderjit: Di KWAP, anda mempunyai dasar pintu terbuka, jika anda tidak berpuas hati dengan sesuatu, anda boleh menyuarakannya.

Azlida: Ya.

Harvinderjit: Tidak ada minit dalam mesyuarat panel pelaburan di mana panel berkata, “Kami tidak mempunyai pilihan selain memberi pinjaman kepada mereka”.

Azlida: Tidak.

12.33pm: Harvinderjit bertanya jika panel boleh berbeza dalam keputusannya dalam meluluskan pinjaman sehingga ia berpuas hati. Azlida bersetuju.

12.31pm: Harvinderjit mengatakan panel pelaburan tahu bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya meluluskan pinjaman. Beliau bersetuju.

Harvinderjit mengatakan panel itu tidak terikat dengan arahan mana-mana menteri atau perdana menteri. Azlida bersetuju.

Harvinderjit berkata jika panel pelaburan bersetuju pinjaman yang diberi tidak memberikan keuntungan, maka ia bertentangan dengan Akta.

12.21pm: Harvinderjit bertanya sama ada panel pelaburan boleh bertemu dengan pemohon pinjaman dan berurusan dengannya secara langsung.
Beliau juga bertanya sama ada ia boleh meminda sebarang cadangan dalam kertas pinjaman. Azlida menjawab ya bagi kedua-dua soalan.

Beliau juga mengakui panel pelaburan mempunyai kuasa untuk membuat pembayaran pinjaman atas terma dan syaratnya sendiri.

Harvinderjit: Jika ia mendapati terdapat kekurangan pada kertas pelaburan, ia boleh menghantarnya kembali ke jabatan dan mengatakan apa yang kurang?

Azlida: Ya, ia boleh berbuat demikian.

12.17pm: Harvinderjit menyambung menyoal Azlida mengenai proses kelulusan pinjaman KWAP dan panel pelaburannya.

12.14pm: Perbicaraan bersambung.

11.57am: Mahkamah berhenti rehat 5 minit.

11.50am: Harvinderjit mula menyoal saksi mengenai proses permohonan pinjaman KWAP dan jabatan yang terlibat dalam memberi kebenaran.

11.40am: Azlida berkata enam ahli panel meluluskan pinjaman RM1 bilion kepada SRC International.

11.21am: Harvinderjit mengatakan dua anggota Kementerian Kewangan berada dalam panel adalah untuk menjaga kepentingan kerajaan persekutuan. Beliau bersetuju.

11.06am: Harvinderjit bertanya kepadanya ketika Pengerusi KWAP, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah memberikan arahan untuk pinjaman diluluskan, sama ada ia akan diikuti. Beliau berkata “ya”.

Harvinderjit: Adakah panel pelaburan badan pembuat keputusan akhir di KWAP?

Azlida: Dalam perkara berkaitan pelaburan, ya.

Harvinderjit: Mengikut kebiasaan, ada dua orang anggota Kementerian Kewangan dalam panel.

Azlida: Ya, mengikut Akta.

Harvinderjit: Akta mengatakan CEO KWAP adalah setiausaha panel pelaburan?

Azlida: Ya, ketua pegawai eksekutif adalah setiausaha panel.

Harvinderjit: Adakah terdapat pinjaman yang diberikan setiap tahun kepada kerajaan persekutuan?

Azlida: Ya.

10.57am: Azlida berkata pegawai SPRM Ashraff dan Rosli menyoal dan mengambil kenyataannya.

10.49am: Perbicaraan SRC International bersambung dengan Azlida kembali memberi keterangan dan membawa lima dokumen asal berkaitan pinjaman RM4 bilion.

Beliau disoal siasat oleh Harvinderjit Singh. Beliau berkata sudah dipersoalkan “kira-kira tiga kali” pada 2015 oleh SPRM mengenai perkara itu.

10.45am: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempengerusikan sebutan semula kes Najib dan bekas ketua setiausaha agung perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah yang melibatkan RM6.64 bilion. Ia juga dikenali sebagai kes IPIC, International Petroleum Investment Company.

Nazlan menetapkan 6 Januari 2020 sebagai tarikh permulaan perbicaraan dan 30 April pada tahun yang sama sebagai hari terakhirnya.

10.36am: Mahkamah memulakan perbicaraan.

10.31am: Shafee dan pasukannya masuk ke bilik mahkamah, bersama Najib, yang mengambil tempat duduk di galeri awam.

10.05am: Selepas menunggu hampir sejam, Najib meninggalkan bilik mahkamah dengan pembantunya. Mereka dilihat berbual di bangku di luar bilik mahkamah.

9.22am: Najib hadir, duduk di galeri awam. Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah berada di mahkamah lain, yang hadir di depan Hakim Colin Lawrence Sequerah berhubung perkara yang berkaitan kes RM9.5 juta pengubahan wang haram. – 14 Mei, 2019.

Iklan
Iklan