Iklan

2 ahli politik PAS berjuang sendirian

Zulkifli Sulong8 years ago13th Apr 2017Berita
Montage mahfuz and syed azman 110417  bahasa
Iklan

MENJADI kebiasaan ketua berseorangan ketika di puncak. Bagaimanapun, bagi pemimpin lama PAS Mahfuz Omar dan Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, berada di tahap pertengahan juga satu perjalanan yang sunyi.

Pemimpin atasan, rakan seperjuangan di bahagian pertengahan dan ahli akar umbi silih berganti menggesa kedua-duanya meninggalkan parti Islam itu.

Bagaimanapun, kedua-duanya bertegas kekal dalam parti sehingga sampai waktunya atau dipecat secara rasmi oleh parti yang dicurahkan khidmat sepanjang tempoh penglibatan politik mereka.

Semasa pertemuan, Mahfuz dan Syed Azman memberitahu The Malaysian Insight mereka ingin memulihkan selisih faham antara PAS dan Pakatan Harapan (PH), agar mereka dapat menghadapi Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai satu unit pembangkang.

“Saya tidak terkesan apa-apa walaupun presiden sendiri menghalau saya kerana anggap ini sunnah (perkara biasa) dalam perjuangan Islam,” kata Mahfuz, yang kini dalam penggal ketiga sebagai ahli Parlimen Pokok Sena di Kedah.

“Nabi sendiri dihalau dari kampung halaman oleh keluarganya. Namun kerana istiqamah dengan perjuangan Islam yang bersifat rahmatan lil alamin (kebaikan untuk semua), Islam sampai kepada kita hari ini kerana baginda tidak berganjak (selepas dihalau),” kata Mahfuz pula.

Mahfuz secara vokal menekankan keperluan bagi partinya mengekalkan perikatan dengan PH, pakatan yang diwujudkan daripada Pakatan Rakyat (PR) di mana PAS menjadi ahli sebelum ia keluar pada 2015.

PH bermula semula dengan disertai DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Amanah, parti serpihan yang dibina daripada bekas pemimpin PAS.

Pemimpin PAS seperti Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti Islam itu tidak akan menyertai pakatan baru itu atau bekerjasama dengan DAP atau Amanah.

Sebaliknya, pemimpin terkini PAS berkeras membina blok pembangkang ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

“Jika tidak berjaya membawa PAS, saya berazam membawa pemimpin, ahli dan pengundinya kembali kepada ‘track’ ini,” kata Mahfuz.

Teman separti Mahfuz, Syed Azman dari Terengganu juga menerima kritikan dengan pendiriannya yang pro-PH.

“Kami terima tekanan teruk daripada PAS. Namun,saya akan teruskan dan pendirian politik saya adalah bersama PH walaupun PAS tidak mahu bersama,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok itu.

Menurut Syed Azman, selain beliau, turut menerima nasib  hampir sama tiga wakil rakyat PAS iaitu Adun Kubang Rotan (Kedah) Nasir Mustapha dan Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) juga dicemuh kerana bersikap mesra dengan PH.

Alah bisa, tegal biasa. Itulah yang dirasai Mahfuz dan Syed Azman bagi setiap kenyataan umum menentang mereka oleh parti.

Syed Azman diminta keluar parti selepas membawa usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi membincangkan mengapa Kanun Jenayah Syariah 2003 atau “hudud” tidak dilaksanakan.

“Ingat ini parti mak dan ayah awak?” kata Syed Azman ketika ditanya responsnya apabila pemimpin PAS memaksanya meninggalkan parti.

Sementara itu, Mahfuz dihalau Naib Presiden Mohamad Amar Abdullah selepas mendakwa PAS parti “makan keliling” kerana cuba bekerjasama dengan semua pihak, BN dan pembangkang.

Beliau tidak peduli walaupun PAS tidak lagi memilihnya sebagai calon pada PRU akan datang kerana itu bukan matlamat perjuangannya. Atau kemungkinan beliau dipecat melalui Muktamar PAS hujung bulan ini.  – 13 April, 2017.

Iklan
Iklan