Surat Najib bukan arahan pinjamkan wang kepada SRC, kata pegawai KWAP
Iklan
SURAT jaminan kerajaan yang ditandatangani Najib Razak, tidak menyatakan arahan untuk Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) meluluskan pinjaman keduanya sebanyak RM2 bilion kepada SRC International, kata pegawai kanan perundangan KWAP ketika memberi keterangan.
Azlida Mazni Arshad yang merupakan naib presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP, turut memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang beliau tidak menyaksikan perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu menandatangani surat jaminan atau mengesahkan ia adalah tandatangan beliau.
Pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion dibentangkan kepada panel pada 20 Mac, 2012.
Saksi sebelum ini dari jabatan pendapatan tetap KWAP, Amirul Imran Ahmat memberi keterangan minggu lalu yang surat jaminan itu ditandatangani oleh Najib, merupakan satu-satunya “titik jualan” untuk kelulusan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion.
Pada masa itu, pemilikan SRC International dipindahkan dari 1Malaysia Development Bhd kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Surat jaminan kerajaan bertarikh 27 Mac, 2017 dan diterima oleh KWAP pada hari berikutnya, pada 8 Mac, 2012 pinjaman itu dipindahkan kepada SRC International.
Ketika diperiksa balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh hari ini, Azlida mengulangi keterangannya minggu lalu bahawa pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah menggesa panel percepatkan pinjaman pertama KWAP sebanyak RM2 bilion pada 19 Julai, 2011, atas pemintaan Najib.
Beliau bagaimanapun memberi keterangan hari ini bahawa beliau tidak menyaksikan Wan Abdul Aziz bertemu dengan Najib.
Azlida juga berkata adalah amalan biasa bagi panel pelaburan KWAP untuk menyoal CEO Azian Mohd Nor berhubung pelaburan yang beliau luluskan dan panel biasanya amat berhati-hati dalam meluluskan pinjaman.
Beliau berkata bahawa panel pelaburan pada awalnya menangguhkan pinjaman itu sementara menunggu maklumat lanjut dari SRC dan menunjukkan bahawa tidak ada paksaan dari panel untuk mempercepatkan pinjaman.
Azlida mengulangi bahawa surat jaminan pertama dikeluarkan pada 23 Ogos 2011, seminggu sebelum KWAP membuat pembayaran pinjaman RM2 bilion pertama kepada SRC International.
Azlida juga merujuk kepada surat permohonan SRC International untuk pinjaman RM3.95 bilion (yang kemudiannya dikurangkan kepada RM2 bilion), yang mana mana Najib telah menandatangani dan mengesahkan dengan menulis “Bersetuju dengan cadangan ini”.
Beliau memberitahu mahkamah hari ini bahawa nota tulisan tangan itu bukanlah satu arahan.
Beliau setuju dengan cadangan pihak pembelaan yang panel pelaburan bersetuju untuk pinjaman pertama RM2 bilion selepas surat jaminan kerajaan bertarikh 26 Ogos, 2011 dikeluarkan. Surat itu ditandatangani oleh bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah.
Pendakwaan Najib dalam perbicaraan ini adalah berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion, yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada tahun 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan, manakala perbicaraan dipengerusikan Hakim Nazlan Mohd Ghazali.
Perbicaraan bersambung esok. – 14 Mei, 2019