Astro Awani tidak jadi siar wawancara Numan Afifi
Iklan
ASTRO Awani tidak menyiarkan rancangan temu bual dengan aktivis LGBT, Numan Afifi malam ini, beberapa jam selepas program itu dihebahkan waktu siarannya oleh pengacaranya di Twitter siang tadi.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight program itu tidak disiarkan atas “arahan atasan” kerana “tidak sesuai”.
Program Let’s Talk with Sharaad Kuttan bersama presiden Pelangi Campaign, sebuah kumpulan yang memperjuangkan kesetaraan hak untuk golongan lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT), sepatutnya disiarkan pukul 10.15 malam ini.
Ia bagaimanapun digantikan dengan siaran ulangan episod wawancara dengan Eddin Khoo, pengerusi Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu di bawah Kementerian Pendidikan, mengenai reformasi setahun selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.
Episod itu sudah disiarkan di televisyen dan dimuat naik ke laman web Astro Awani malam semalam.
Sharaad menulis di Twitter peribadi pukul 1.20 petang tadi mengumumkan wawancaranya dengan Numan akan ke udara malam ini. Namun pada pukul 6.34 petang, beliau memaklumkan di Twitter siaran itu “ditangguhkan”.
Apologies @NumanAfifi and viewers of Let’s Talk @501Awani The show has been postponed. pic.twitter.com/eL6MwSiPiE
— Sharaad Kuttan (@SharaadKuttan) May 14, 2019
Numan dalam reaksi awal, terkejut dengan tindakan Astro Awani tidak menyiarkan temu bual tersebut. Katanya, wawancara itu sudah dirakamkan lebih awal pada Khamis 7 Mei lalu.
“Saya tidak diberitahu sebabnya tetapi memang ditangguhkan. Tarikh (siaran) selepas ini pun tidak diberitahu (oleh Astro Awani),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada pihak pengurusan Astro Awani namun editor kanan yang dihubungi enggan memberi sebarang ulasan atau kenyataan.
Sharaad dalam balasannya kepada komen Numan di Twitter menulis: “Minta maaf. Di luar kawalan.”
My apologies. Out of hands.
— Sharaad Kuttan (@SharaadKuttan) May 14, 2019
Beberapa pengguna Twitter sebelum itu turut berkongsi hebahan Sharaad dan menyifatkan Astro Awani tidak wajar mewawancara Numan atau mengangkat isu LGBT. Mereka mengaitkan penyiaran wawancara itu dengan kebebasan di bawah kerajaan baharu serta menggesa Astro Awani dan pihak berkuasa membatalkannya.
Sharaad sebelum itu membalas posting awalnya sendiri dengan beberapa persoalan tentang media.
“Apa yang betul-betul berubah tentang media – pemilikan, kepimpinan editorial, adakah pemain baru, adakah kita hidup dalam masyarakat yang boleh berbahas tentang perbezaan dengan rasional, adakah kita mempunyai sebuah kerajaan yang tidak cuak dengan ekstremisme agama (walaupun jika mereka minority)?”.
What’s really changed about the media - ownership, editorial leadership, have there been new entrants, do we now live in a society that can rationally debate differences, do we have a government that doesn’t get spooked by religious extremism (even if they are a minority)?
— Sharaad Kuttan (@SharaadKuttan) May 14, 2019
Sebelum itu, dalam satu posting lain menjawab pertanyaan pengguna Twitter atas nama @dex811 yang bertanya adakah program seperti itu perlu, Sharaad mengesahkan wawancara itu akan disiarkan pada waktu yang beliau hebahkan sebelumnya. Soalan itu turut dicuit kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.
Kepada pertanyaan pelakon Sharifah Amani yang bertanya kenapa program itu dibatalkan, Sharaad menjawab, yang membawa maksud beliau tiada jawapan yang masuk akal untuk dikongsi.
What?! Why?! This is absolutely ridiculous!! https://t.co/WnzCsHy7Hg
— Sharifah Amani (@sharifahamani) May 14, 2019
Pada Jun 2017, Numan terlibat dalam kontroversi selepas menganjurkan acara buka puasa ‘Big Gay Iftar’ di Bangsar, Kuala Lumpur.
Pada Julai 2018, beliau letak jawatan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikritik terutamanya di media sosial kerana kaitannya dengan gerakan LGBT.
Penangguhan siaran wawancara dengan aktivis LGBT ini menyusul dua bulan selepas perarakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Mac lalu dikecam kerana turut melaungkan slogan pro LGBT.
Astro Awani menangguhkan penyiaran wawancara ini ketika masyarakat Melayu dan Islam, yang umumnya tabu dengan isu LGBT, menganggap kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminggirkan hak dan kepentingan mereka.
Pada Ogos 2018, potret beberapa aktivis LGBT diturunkan dari sebuah pameran yang dianjurkan sempena Festival George Town di Pulau Pinang.
Dalam manifesto PRU14, PH berjanji akan menjamin kebebasan media dengan menyemak semua undang-undang dan peraturan mengenai media.
Ia mahu memastikan media mempunyai kebebasan untuk menjalankan proses semak imbang terhadap kerajaan, selain berhasrat meningkatkan kebebasan dan profesionalisme media kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia dan Bernama.
PH juga mahu menubuhkan sebuah Majlis Media yang dianggotai tokoh media, untuk mengawal sendiri etika media dan menangani aduan awam mengenai tatalaku dan pemberitaan mereka. – 14 Mei, 2019.