Iklan

LANGSUNG: Pengarah urusan Ihsan Perdana tak pasti asal usul duit RM40 juta

Bede HongTimothy Achariam5 years ago15th May 2019Berita
Najib src 18 150519 tmiseth 12
Shamsul Anwar Sulaiman, 58, adalah saksi ke-37 perbicaraan dan pengarah urusan Ihsan Perdana. Beliau adalah salah seorang daripada dua orang lembaga pengarah syarikat RM2 Ihsan Perdana yang menguruskan CSR SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Mei, 2019.
Iklan

PERBICARAAN kes SRC International membabitkan Najib Razak masuk hari ke-18 hari ini dengan pihak pembela menyambung soal balas saksi ke-35, naib presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Azlida Mazni Arshad.

Semalam, pegawai kanan perundangan KWAP itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa permohonan pinjaman RM4 bilion SRC International diluluskan oleh pegawai jabatan pendapatan tetap, yang memilih untuk tidak menolaknya walaupun dokumen tidak lengkap.

Azlida juga berkata panel pelaburan KWAP tidak terikat dengan arahan mana-mana menteri, atau perdana menteri dalam keputusan mereka meluluskan permohonan pinjaman.

Najib, bekas perdana menteri dibicarakan dalam tuduhan berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion, yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Ketika disoal balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh, Azlida bersetuju bahawa pegawai akan menangguhkan pelaburan yang dipersoalkan atau membangkitkan perkara itu kepada pegawai atasan jika mereka tidak percaya pelaburan itu akan menguntungkan.

Beliau turut memberi keterangan bahawa surat jaminan kerajaan yang ditandatangani oleh Najib bukan arahan kepada KWAP untuk meluluskan pinjaman kedua RM2 bilion kepada SRC International.

Azlida berkata beliau tidak menyaksikan perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu menandatangani surat jaminan atau mengesahkan ia tandatangannya.

Azlida juga merujuk kepada surat permohonan SRC International untuk pinjaman RM3.95 bilion (yang kemudiannya dikurangkan kepada RM2 bilion), yang mana mana Najib telah menandatangani dan mengesahkan dengan menulis “Bersetuju dengan cadangan ini”.

Perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-18 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Mei, 2019.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa nota tulisan tangan itu bukanlah satu arahan.

Azlida setuju dengan cadangan pihak pembelaan yang panel pelaburan bersetuju untuk pinjaman pertama RM2 bilion selepas surat jaminan kerajaan bertarikh 26 Ogos, 2011 dikeluarkan. Surat itu ditandatangani oleh bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah.

Najib berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Najib diwakili sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan, manakala perbicaraan didengar di hadapan Hakim Nazlan Mohd Ghazali.

The Malaysian Insight membawakan prosiding kes ini secara langsung:

3.40pm: Shamsul berkata projek besar pertamanya dengan 1MDB adalah menjalankan CSR membaiki rumah di Johor yang menelan belanja sehingga RM1 juta.

Katanya, beliau hanya bersama 1MDB selama setahun iaitu 2010-2011, dan Ihsan Perdana ditubuhkan oleh 1MDB untuk mengelakkan konflik kepentingan.

Shafee menghentikan sesi soal balas dan memberitahu hakim memandangkan waktu bekerja hampir tamat dan beliau mahu bertanyakan soalan lebih mendalam, beliau meminta perbicaraan ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditetapkan. 

Nazlan bersetuju dan menangguhkan perbicaraan hari ini. 

3.20pm: Katanya lagi, beliau menyertai 1MDB sebagai pengarah eksekutif untuk CSR dan See sebagai rakannya.

Shamsul berkata pelantikannya dibuat Lembaga Pengarah 1MDB.

3.15pm: Shamsul berkata beliau dipanggil Najib pada 2010 untuk membantunya menjalankan kerja-kerja CSR seperti membaiki rumah orang miskin.

Katanya, projek itu dibawah 1MDB, menambah yang beliau dipilih kerana pengalamannya dalam Bakti serta kerjayanya dan hubungannya dalam Umno.

Shamsul berkata beliau sudah lama kenal Najib, sejak 1989 atau 1990.

3.08pm:

Shafee: Jadi, saya boleh kata awak orang CSR yang agak dikenali?

Shamsul: Ya

3.05pm: Saksi berkata beliau membantu kanak-kanak kelainan upaya di Felda menerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF). Beliau kemudiannya menyertai Bakti dan membuat banyak kerja amal.

3.02pm: Shamsul menjelaskan beliau banyak melakukan program khidmat masyarakat atas inisiatif sendiri.

Shafee berkata beliau meminta penjelasan kerjaya Shamsul untuk menunjukkan beliau layak melakukan kerja-kerja CSR.

2.57pm: Shafee bertanyakan tentang sejarah kerjaya Shamsul.

1998- tamat pengajian ijazah perubatan.

1989-1997- bekerja dalam sektor kesihatan awam.

Bekerja di kliniknya sehingga 2008, kemudia berhenti menjadi doktor.

Shafee: Mengapa berhenti?

Shamsul: Saya banyak buat kerja CSR. Saya juga dapat tawaran kerja baharu.

2.56pm: Shamsul berkata keterangan saksi dibacanya hari ini ditulisnya sendiri. 

2.48pm: Shamsul menamakan Rosli sebagai pegawai penyiasat untuk kes itu sejak kali pertama beliau ditahan.

2.45pm: Menurut pemahamannya, Shamsul berkata beliau ditahan kerana pemindahan RM42 juta dan disyaki bersubahat dalam penyelewengan wang tersebut.

Katanya, selepas PRU14 tahun lepas, SPRM memanggilnya ke ibu pejabat selama tiga hari berturut-turut.

2.43pm: Shamsul berkata terdapat tuduhan mengenai pemindahan RM42 juta itu, menambah yang TPR kesnya tidak menyebut akta yang digunakan untuk menyiasatnya.

2.40pm: Shamsul berkata beliau diberitahu yang beliau ditahan berkaitan pemindahan wang RM42 juta.

Shafee: Adakah awak faham apa yang awak lakukan dengan RM42 juta itu?

Shamsul: Saya faham dan saya tak nampak saya buat salah.

2.36pm:

Shamsul: Apabila saya ditahan, saya tak faham mengapa.

Pegawai SPRM tidak mahu beritahu sebab saya ditahan.

Tambahnya lagi, pegawai memberitahu akan berbincang mengenai sebabnya ditahan keesokan hari apabila mereka mendapat keterangan mahkamah.

Seorang pegawai SPRM bernama Abdullah Sani mencatatkan keterangannya pada hari itu.

Keesokkan harinya, magistret memberitahu beliau ditahan untuk membantu siasatan kes 1MDB.

2.31pm: Shamsul berkata beliau disoal siasat sebanyak lapan kali oleh SPRM.

Katanya, kali pertama beliau ditahan pada Julai 2015 tetapi tidak ingat tarikh tepat.

Beliau ditahan dan direman SPRM selama lima hari empat malam di ibu pejabat.

SPRM memaklumkan beliau ditahan untuk membantu siasatan kes 1MDB.

2.30pm: Peguam bela Shafee memulakan sesi soal balas. 

2.22pm: RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun AmBank Najib Razak atas permintaan Ung dan See. 

Shamsul berkata beliau bertindak mengikut arahan itu kerana Ung adalah CEO YR1M dan See pula pengarah YR1M, dan yayasan itu adalah penyumbang kepada Ihsan Perdana. 

2.20pm: Pada 9 Februari 2015, Ihsan Perdana memindahkan RM10 juta kepada akaun “880” Najib.

Shamsul berkata beliau menerima panggilan daripada Ung pada awal Februari 2015 untuk memindahkan dana tersebut, tetapi tidak mengingat tarikh tepat.

2.15pm: Shamsul mengesahkan keterangan saksi sebelum ini yang beliau tidak tahu akaun AmBank itu milik Najib.

Katanya, jika beliau tahu akaun AmBank itu milik Najib, beliau tidak akan membenarkan pemindahan wang RM5 juta itu.

Beliau juga mengesahkan yang RM10 juta lagi dipindahkan ke dalam akaun AmBank atas permintaaan Ung menerusi telefon kepadanya.

2.12pm: Shamsul berkata ketika SRC International melantik Ihsan Perdana sebagai rakan CSR, ia dijanjikan dana sebanyak RM250 juta, tetapi hanya RM50 juta diberikan.

2.05pm: Sebelum RM40 juta dipindahkan kepada Ihsan Perdana, Pengarah Projek YR1M Dennis See ada berjumpa dengannya.

Shamsul berkata See meminta kebenaran menggunakan akaun Ihsan Perdana sebagai transit untuk pemindahan wang. Kerana itu, beliau tidak pasti sumber RM40 juta itu.

2.03pm: Beliau juga mengesahkan yang RM27 juta dimasukkan ke dalam akaun AmBank atas arahan Ung Su Lin daripada Yayasan Rakyat 1Malaysia.

2pm: Shamsul mengesahkan Ihsan Perdana menerima:

- RM40 juta pada 24 Disember 2014.

- RM5 juta pada 5 Februari 2015.

- RM5 juta pada 6 Februari 2015.

1.57pm: Berdasarkan surat kepada Ihsan Perdana pada 3 September 2014, saksi mengesahkan Ihsan Perdana dipilih sebagai rakan CSR SRC International selama dua tahun berkuatkuasa daripada tarikh surat dikeluarkan.

1.55pm: Shamsul berkata semua wang diberikan kepada Ihsan Perdana adalah untuk inisiatif CSR, dan bukan untuk kegunaan peribadinya atau mana-mana kakitangan.

1.50pm: Mahkamah kembali bersidang dengan Shamsul membacakan keterangan saksi.

12.50pm: Mahkamah ditangguh untuk rehat.

12.44pm: Shamsul mengesahkan Ihsan Perdana mempunyai tiga akaun dengan Affin Bank. Kesemuanya dibuka di Affin Bank Cawangan The Curve.

Akaun tersebut adalah:

106180001108 – akaun utama Ihsan Perdana

101180011300 – akaun perbelanjaan operasi

106180001001 – akaun kewangan CSR

Shamsul juga mengesahkan beliau dan Abdul Aziz adalah penandatangan untuk ketiga-tiga akaun tersebut.

Semua akaun Ihsan Perdana diaudit oleh firma Wan Nazir and Co.

12.40pm: Saksi berkata Ihsan Perdana mempunyai 20 orang kakitangan.

Beliau ditugaskan menjalankan kerja dan memantau aliran tunai Ihsan Perdana.

Ihsan Perdana menerima geran RM40 juta untuk inisiatif CSR daripada 1MDB. RM5 juta digunakan untuk kos operasi.

12.36pm: Katanya, Ihsan Perdana hanya mempunyai dua ahli lembaga pengarah iaitu beliau dan Abdul Aziz.

12.30pm: Katanya, sebuah shell company dikenali sebagai Gem Horizon Sdn Bhd dibentuk, dinamakan sebagai Ihsan Perdana kerana Gem Horizons tidak sesuai digunakan untuk inisiatif CSR.

Beliau dan Abdul Aziz menjadi pengarah dan pemilik pegangan dalam Ihsan Perdana. Syarikat itu mempunyai pegangan bernilai RM2 yang dipegangnya dan Abdul Aziz.

12.25pm: Lembaga pengarah memutuskan menubuhkan syarikat itu untuk inisiatif CSR 1MDB. Shamsul dipertanggungjawabkan untuk tugas itu.

12.20pm: Shamsul adalah doktor kerajaan daripada 1989 sehingga 1997. Selepas itu, beliau menubuhkan klinik swasta dengan beberapa orang rakan lain.

Beliau adalah ahli Umno.

Katanya, beliau kenal Najib atas kapasiti sebagai ahli Umno. Beliau dilantik Najib sebagai pengarah jabatan CSR 1MDB.

12.16pm: Saksi seterusnya dipanggil. Shamsul Anwar Sulaiman, 58, adalah saksi ke-37 perbicaraan dan pengarah urusan Ihsan Perdana.

12.15pm: Harvinderjit habis menyoal saksi. Aishah dibenarkan keluar.

12.10pm: Peguam bela Harvinderjit Singh mula menyoal balas saksi tentang proses pengeluaran cek antara Ihsan Perdana dan Mail Global Resources.

12pm: Farhan mengesahkan sejumlah RM118 juta dipindahkan daripada akaun Ihsan Perdana.

Transaksi tersebut adalah:

-RM42 juta kepada akaun Najib

-RM73 juta kepada Mail Global Resources

-RM3 juta kepada Mohamed Redzuan Adamshah dan Talib

11.50am: Pada 17 Februari 2015, terdapat 10 keping cek mencecah RM10 juta dikeluarkan Ihsan Perdana. Setiap cek bernilai RM1 juta. Cek mempunyai nombor siri daripada 13268 hingga 13277.

11.48am: Pada 13 Januari 2015, terdapat tujuh transaksi cek berjumlah RM35 juta daripada akaun Ihsan Perdana. Setiap cek bernilai RM5 juta. Cek mempunyai nombor siri daripada 13259 hingga 13265.

11.45am: Pada tarikh sama, terdapat sekeping cek bernilai RM8 juta (nombor cek: 19327) dikeluarkan kepada Mail Global Resources daripada akaun “1001” Ihsan Perdana. Cek disediakan Aishah.

Cek ditandatangani oleh Abdul Aziz dan Shamsul Anwar.

Farhan meminta Aishah mengesahkan penandatangan untuk dua akaun Ihsan Perdana ialah Abdul Aziz dan Shamsul Anwar. Beliau mengesahkannya.

Bekas eksekutif akaun Ihsan Perdana Aishah Ghazali-yang mengelak dirakam jurugambar- mendedahkan dalam tempoh 2012 hingga 2015, RM50 juta dipindahkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Mei, 2019.

11.30am: Farhan meminta Aishah mengesahkan yang pada 29 Disember 2014, terdapat pemindahan dalaman Ihsan Perdana berjumlah RM8 juta. Wang dipindahkan ke dalam salah satu akaun Ihsan Perdana berakhir dengan nombor “1001”. Aishah mengesahkan perkara ini.

11.25am: Empat keping cek itu dikeluarkan untuk syarikat Mail Global Resources. Farhan bertanya sama ada Aishah tahu tentang syarikat itu. 

Beliau menjawab ya, apabila ditanya bagaimana beliau tahu, Aishah menjawab beliau tahu nama syarikat itu kerana mengeluarkan cek untuknya. 

11.18am: Farhan juga bertanya kepada Aishah sama ada wujud maklumat lain disertakan sekali dengan baucar bayaran.

Aishah menjawab baucar bayaran selalunya dikepilkan bersama cetakan email atau invois.

11.15am: Farhan bertanyakan saksi sama ada benar yang empat cek bernilai RM5 juta setiap satu dikeluarkan Ihsan Perdana. Aishah juga ditanya sama ada beliau merekodkan bayaran dibuat oleh Ihsan Perdana.

Menurut Aishah, beliau mengeluarkan baucar bayaran.

11.08am: Sembilan transaksi itu ialah;

11 September 2014: RM5 juta dan RM15 juta

15 Disember 2014: RM20 juta

24 Disember 2014: RM40 juta

9 Januari 2015: RM40 juta

5 Februari 2015: RM5 juta

6 Februari 2015: RM5 juta

13 Februari 2015: RM10 juta

9 April 2015: RM3 juta

Farhan bertanyakan saksi jika beliau tahu RM20 juta daripada RM143 juta datangnya daripada SRC International, Aishah menjawab “mungkin”.

11.02am: Mahkamah berehat seketika.

11am: Farhan meminta Aishah mengesahkan sembilan transaksi berjumlah RM143 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Ihsan Perdana.

10.56am: Farhan mengesahkan saksi mengesahkan sekiranya RM40 juta daripada akaun Gandingan Mentari berakhir dengan nombor “948” dengan memberikan butiran transaksi. Aishah mengesahkan perkara itu.

Farhan: Sebagai eksekutif kanan akaun, kerja awam untuk tahu aliran tunai akaun syarikat.

Aishah: Ya

Farhan kemudian bertanya sama ada RM5 juta dipindahkan pada 5 Februari 2015 juga daripada akaun “948” Gandingan Mentari. Aishah mengesahkan perkara ini.

Aishah menjawab beliau tidak tahu tujuan transaksi selepas ditanya Farhan.

Beliau bagaimanapun mengesahkan satu lagi pemindahan berjumlah RM5 juta pada 6 Februari 2015 datang daripada akaun “948” Gandingan Mentari.

10.48am: Farhan bertanyakan saksi tentang satu pengesahan kredit tunggal. Katanya, berdasarkan butiran transaksi, RM40 juta dipindahkan kepada Ihsan Perdana daripada Gandingan Mentari. Beliau bertanyakan Aishah, sama ada beliau sedar tentang perkara ini dan Aishah menjawab “mungkin”.

Farhan meminta Aishah menjelaskan jawapannya, Aishah menjawab yang beliau hanya tahu butiran transaksi itu hari ini.

10.47am: Katanya lagi, beliau tidak pernah berurusan dengan Gandingan Mentari sepanjang empat tahun bekerja di Ihsan Perdana, menambah yang beliau tidak tahu tentang hubungan antara Gandingan Mentari dan SRC International dengan Ihsan Perdana.

Aishah bagaimanapun mengakui tahu yang Ihsan Perdana ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad.

10.40am: Aishah diminta mengesahkan pemindahan RM50 juta daripada Gandingan Mentari ke dalam akaun Ihsan Perdana. Farhan berkata RM40 juta dipindahkan ke dalam akaun pada 24 Disember 2015, RM5 juta dimasukkan pada 5 Februari 2015 dan RM5 juta lagi dipindahkan pada 6 Februari 2015.

Aishah menjelaskan beliau tidak pasti sama ada Gandingan Mentari memasukkan RM40 juta ke dalam akaun Affin Bank Ihsan Perdana pada 24 Disember 2014.

Farhan berkata ada sepucuk surat dikeluarkan pada tarikh sama menyatakan Gandingan Mentari memindahkan dana, Aishah menjawab beliau tidak pasti.

Tambahnya, sepanjang 24 Disember 2014 sehingga 5 Februari 2015, tiada transaksi lain berkaitan akaun itu berlaku.

10.32am: Farhan bertanyakan Aishah tentang jumlah kakitangan jabatan akaun Ihsan Perdana. Menurut Aishah, hanya beliau seorang. 

10.30am: Farhan Read memulakan sesi soal balas.

10.27am: Aishah berkata Aziz memajukan email diterimanya daripada Ung Su Ling, yang mendakwa wakil Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M). Katanya, Ihsan Perdana mengendalikan program CSR untuk YR1M. Dalam email tersebut, Ung memberikan nombor akaun AmBank dan mengarahkan dana dipindahkan ke dalamnya untuk “program CSR”.

Katanya, Ihsan Perdana sepatutnya masih mempunyai salinan dokumen sokongan untuk semua transaksi disebutnya.

10.22am: Harvinderjit bertanyakan Aishah sekiranya beliau kenal Joanna Yu. Aishah menjawab beliau tidak kenal.

10.20am: Aishah menjelaskan selepas semua transaksi ini dibuat, Aziz memintanya memeriksa siapa pemilik akaun tersebut. Bagaimanapun, pihak bank tidak dapat memberikan nama pemilik akaun tersebut.

Tambahnya, secara keseluruhan, RM41 juta dipindahkan kepada akaun AmBank dan sepanjang pengetahuannya ia adalah untuk program CSR.

10.16am: Aishah berkata beliau menyediakan borang kiriman wang itu atas arahan Aziz pada 9 Februari 2015 untuk memindahkan RM10 juta daripada akaun Affin Bank Ihsan Perdana kepada akaun AmBank sama berakhir dengan nombor “880” dan transaksi itu direkod sebagai “pemindahan dana untuk program CSR”.

10.11am: Katanya, pada 26 Disember 2014, Ihsan Perdana memindahkan RM5 juta melalui akaun Affin Banknya ke dalam akaun AmBank berakhir dengan nombor “906”, dan tujuan pemindahan itu direkodkan sebagai “program CSR”.

Beliau memberitahu mahkamah yang beliau sendiri pergi ke Affin Bank untuk menyerahkan borang kiriman wang untuk pemindahan itu.

Naib Presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP Azlida Mazni Arshad sambung keterangannya dalam sesi soal balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Mei, 2019.

10.08am: Aishah berkata wang itu dipindahkan ke dalam akaun AmIslamic berakhir dengan nombor “800”. Tambahnya, wang dipindahkan itu direkod sebagai “program CSR”. 

9.59am: Aishah berkata beliau diarahkan mengeluarkan dua borang kiriman wang oleh Pengarah Urusan Ihsan Perdana Abdul Aziz Ismail. Katanya, RM27 juta daripada akaun Ihsan Perdana dipindahkan ke dalam akaun AmIslamic Bank.

9.43am: Saksi seterusnya, Aishah Ghazali mula memberi keterangan. Pengurus akaun RedTech Offshore itu adalah bekas eksekutif kanan Ihsan Perdana, yang mengendalikan urusan kewangan dan terlibat dalam inisiatif sosial korporatnya.

Katanya, sejak 2012 sehingga 2015, RM50 juta dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Ihsan Perdana.

9.39am: Shafee berkata pihak pendakwaan akan memberikan tarikh ganti untuk hari Jumaat yang perbicaraan tidak dijalankan. Thomas menggesa pihak pembelaan memberikan tarikh itu sekarang.

“Kami mahukan tarikh sekarang. Mereka perlu beri sekarang,” kata peguam negara itu.

Thomas bertegas mahukan jawapan, sama ada mereka boleh menyambung perbicaraan pada Jumaat. Jika ia tidak boleh diadakan esok, pihak pembelaan perlu memberikan tarikh untuk minggu depan.

9.37am: Thomas berkata perbicaraan perlu diadakan esok (Jumaat) kerana minggu depan sudah tiada perbicaraan. Shafee berkata, secara prinsipnya mereka perlu dibenarkan bercuti sehari dalam seminggu (lima hari bekerja) untuk menguruskan urusan peribadi lain. 

9.35am: Thomas bertegas supaya perbicaraan dijalankan pada Jumaat, berkata masa mencukupi. Pihak pembelaan membantah.

9.34am: Hakim Nazlan bertanyakan peguam sekiranya CEO KWAP memberi keterangan, adakah masa mencukupi?

9.31am: Thomas memberitahu hakim, TPR mempunyai budi bicara dalam aspek siapa dan bila saksi dipanggil.

“Kami cuba sedaya upaya untuk mengikut jadual saksi. Tetapi satu perkara yang kami tak akan bertolak ansur adalah mereka (peguam bela) beritahu kami bila hendak panggil saksi.”

9.30am: Harvinderjit memberitahu hakim Nazlan yang CEO KWAP sepatutnya menjadi saksi seterusnya, tetapi TPR memberitahu pihak pembelaan pada Isnin yang CEO digugurkan daripada senarai saksi dan dua saksi baharu akan dipanggil. 

9.27am: Azilda juga menegaskan yang beliau tidak terlibat dalam proses membuat keputusan dalam pembentangan atau kelulusan pinjaman, dan hanya bertindak sebagai pencatat minit mesyuarat dalam mesyuarat panel pelaburan. Beliau dibenarkan keluar dari kandang saksi.

9.26am: TPR memberitahu hakim Nazlan yang kebanyakan jawapan Azilda diberikan kepada soal jawab Harvinderjit adalah bersifat hipotetikal.

9.24am: Azilda disoal oleh timbalan pendakwa raya (TPR). Azilda memberitau yang beliau tidak tahu maklumat dalam kertas pelaburan dan menegaskan jawapan diberikan kepada soalan Harvinderjit adalah pandangannya sendiri.

9.23am: Menurut perenggan 66 kenyataan saksi, Azilda berkata pinjaman berjumlah RM4 bilion adalah yang terbesar pernah diluluskan KWAP. Harvinderjit tamat menyoal.

9.19am: Perbicaraan bermula dengan Harvinderjit menyoal Azilda. Ia berkisar kepada proses kelulusan pinjaman KWAP berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.

8.59am: Najib tiba di mahkamah. – 15 Mei, 2019.

Iklan
Iklan