RM42 juta masuk akaun Najib untuk ‘CSR’, kata saksi
Iklan
RM42 juta dipindahkan daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd kepada akaun peribadi Najib Razak antara 2014 hingga 2015 untuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Pengurus akaun Aishah Ghazali yang merupakan bekas eksekutif akaun kanan Ihsan Perdana mengesahkan unit CSR SRC International itu menerima RM50 juta antara 2014 dan 2015.
Beliau memberi keterangan bahawa beberapa transaksi berjumlah RM42 juta dibuat dalam masa beberapa hari selepas menerima wang tersebut kepada akaun peribadi AmBank bernombor 211-202-201190-6 dan 211-202-201188-0, kedua-dua akaun tersebut disahkan milik Najib oleh saksi sebelum ini.
LANGSUNG: Perbicaraan kes SRC International Najib Razak hari ke-18
“Saya difahamkan yang semua pemindahan itu untuk tujuan CSR,” katanya pada perbicaraan hari ini dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, berdepan tujuh pertuduhan jenayah berkaitan menerima wang ke dalam akaunnya, yang dakwa pendakwaan daripada pinjaman RM4 bilion diberikan kepada SRC International.
Aishah memberitahu mahkamah yang Ihsan Perdana mempunyai akaun Affin Bank bernombor 10-618-000110-8. Katanya lagi, Ihsan Perdana ditubuhkan pada 2011 dan sebelum itu dikenali sebagai Gem Horizon Sdn Bhd.
Syarikat itu melaksanakan kerja-kerja CSR termasuklah untuk Yayasan Rakyat 1Malaysia, jelasnya lagi.
Aishah menambah yang beliau melaporkan tugasnya kepada pengarah Shamsul Anwar Sulaiman dan pengarah kewangan Abdul Aziz Ismail untuk semua tugas berkaitan kewangan.
Kedua-dua mereka adalah penandatangan untuk semua dokumen yang memerlukan kelulusan, kata Aishah yang bekerja di Ihsan Perdana daripada Disember 2011 hingga Mac 2015.
Aishah memberi keterangan bahawa pada 26 Disember 2014, beliau diarahkan oleh Shamsul untuk menyediakan borang kiriman wang untuk pemindahan dana Ihsan Perdana. – 15 Mei, 2019.