Iklan

Badan kehakiman harus kembali ke zaman gemilangnya, kata peguam negara

Timothy Achariam5 years ago17th May 2019Berita
Chief justice tengku maimun 05
Dalam ucapannya pada majlis meraikan pelantikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat (atas, kiri) di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata para hakim perlu membuat keputusan yang tepat jika mahu badan kehakiman negara mendapatkan kembali seperti dahulu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Mei, 2019.
Iklan

BADAN kehakiman Malaysia harus kembali ke zaman gemilangnya seperti pada era 70-an dan 80-an yang dipandang tinggi dan mendapat reputasi bertaraf antarabangsa kerana konsisten dalam membuat keputusan yang betul, kata Peguam Negara Tommy Thomas hari ini.

Dalam ucapannya pada majlis meraikan pelantikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini, Thomas berkata para hakim perlu membuat keputusan yang tepat jika mahu badan kehakiman negara mendapatkan kembali seperti dahulu.

“Hanya satu cara untuk Badan Kehakiman kembalikan kredibiliti dan kegemilangannya.

“Hakim mesti berusaha membuat keputusan yang betul tanpa gentar dan pilih kasih serta tanpa mengira siapa pihak atau tertuduh yang dibicarakan,” katanya.

Menurut Thomas, hakim-hakim sebelum ini seperti Tun Suffian, Raja Azlan dan Eusoffee Abdoolcader diiktiraf sebagai tokoh disegani.

Hakim mesti membuat keputusan yang betul tanpa gentar dan pilih kasih, kata Peguam NegaraTommy Thomas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2019.

“(Mereka) dinilai sebagai tokoh disegani bukan hanya oleh peguam dan ahli akademik di Malaysia tetapi juga di luar negara.”

Katanya, reputasi yang hakim-hakim ini perolehi adalah kerana membuat keputusan yang betul dan tepat mengikut undang-undang.

“Reputasi mereka adalah reputasi bertaraf antarabangsa. Sebab utama mengapa hakim Malaysia dipandang tinggi ketika itu adalah kerana mereka sentiasa membuat keputusan yang betul dan tepat mengikut bukti dan undang-undang.”

Thomas berkata penghakiman yang betul secara konsisten adalah kunci dalam meraih kembali keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman. – 17 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.      

Iklan
Iklan