Iklan

Hadi kini bebas bekerjasama dengan Umno

Zulkifli Sulong8 years ago11th Apr 2017Berita
Hadi awang 151115 tmiseth 003
Kemenangan tanpa bertanding Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS mengakhiri cakap-cakap kemungkinan ia kembali rujuk dengan parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2017.
Iklan

KEMENANGAN Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti mengukuhkan cengkaman ke atas PAS, mengakhiri semua harapan untuk melihat parti Islam itu bekerjasama dengan parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan (PH), dan memberinya kebebasan penuh menjalin hubungan dengan Umno.

Bagaimanapun, menurut PAS, kemenangan Hadi semalam dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang turut menang tanpa bertanding akan memberikan parti kestabilan.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Mustafa Ali, ia menjadi bukti kestabilan parti itu walaupun selepas berlaku perpecahan pada muktamar 2015 apabila ramai pemimpinnya keluar dan menubuhkan Amanah, yang kini sebahagian daripada PH.

“Apa yang berlaku menunjukkan PAS dalam keadaan stabil selepas pemilihan 2015 dahulu yang menyebabkan PAS berpecah dan pasukan inilah yang akan memimpin parti menghadapi pilihan raya ke-14,” katanya.

Menurut Mohamad Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre, “Saya mengikuti ucapan Hadi semalam semasa majlis menyambut kepulangan beliau selepas membentangkan RUU355 di Rusila. Jelas sekali beliau sangat keras terhadap DAP.”

Penganalisis politik itu kepada The Malaysia Insight, beliau juga menjangka DAP, PKR dan Dr Mahathir Mohamad menjadi mangsa serangan pada kongres tahunan parti itu di Alor Setar akhir bulan ini.

Ini memandangkan sudah menjadi tradisi pada mesyuarat agung PAS kawasan di seluruh negara meluluskan usul bagi memutuskan hubungan dengan PKR yang selama ini mempunyai tahaluf siasi atau kerjasama politik dengan mereka.

“Saya rasa PAS akan membuat strategi khusus bagi mengelak kemarahan akar umbi PAS jika ia bekerjasama dengan Umno. Namun, dengan barisan perwakilan yang ada, Hadi akan mendapat sokongan penuh walau ke mana sahaja beliau mahu bawa PAS,” katanya.

Selain parti, Hadi bukan sahaja berjaya mengawal kepimpinan PAS, malah perwakilan juga.

“Pada pemilihan 2015, ada kira-kira 200 perwakilan mengundi golongan progresif dalam PAS, tetapi separuh daripada mereka sudah menyertai Amanah, manakala yang tinggal sudah dibersihkan daripada memegang sebarang jawatan dalam parti,” katanya.

Hadi akan mengekalkan kedudukannya pada pemilihan parti PAS tahun ini pada akhir April kerana tiada pencalonan lain bagi jawatan tersebut.

Anak lelaki Hadi, Mohamad Khalil juga dikatakan memperoleh kemenangan tanpa bertanding sebagai ketua Pemuda PAS. Sumber mengatakan beliau mendapat 38 pencalonan manakala Ahmad Fadli Shaari, ketua Pemuda PAS Kelantan mendapat 37 pencalonan.

Kelmarin, Tuan Ibrahim  menegaskan PAS tidak akan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah di samping mengumumkan PAS akan bertanding 80 kerusi dalam PRU14 nanti, termasuk kerusi ditandingi PKR sebelum ini.

Mustafa juga menjangkakan jawatan naib presiden diselesaikan secara rundingan bukannya pertandingan walaupun ada lima calon yang layak.

Tiga naib presiden sekarang ialah Idris Ahmad, Mohd Amar Abdullah dan Iskandar Abdul Samad manakala Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan Nasruddin Hassan sebagai pesaing.

Berhubung, syarat 10 pencalonan diguna pakai untuk melayakkan seseorang menjadi calon dalam pemilihan kali ini berbanding dua sebelum ini, Mustafa berkata ia bagi  mempastikan calon yang bertanding benar-benar mewakili kehendak akar umbi.  – 11 April, 2017.

Iklan
Iklan