Iklan

Larangan eksport balak bulat tak akan wujud pekerjaan di Sabah, kata Yong

Jason Santos5 years ago20th May 2019Berita
Sabah log003 copy
Pengharaman ke atas kayu balak bulat sahaja tidak akan memberi kesan segera ke atas industri balak, kata Presiden Parti Maju Sabah Yong Teck Lee. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.
Iklan

LARANGAN ke atas eksport kayu balak bulat bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk Sabah seperti yang digambarkan oleh Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal tahun lepas tidak akan dilaksanakan buat masa ini, kata Yong Teck Lee.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata walaupun larangan tersebut dikuatkuasakan pada Mei tahun lepas memberi kesan segera ke atas industri balak, namun untuk membangunkan industri berasaskan kayu di Sabah memerlukan banyak tahun.

“Pengharaman itu saja tidak boleh membangunkan industri kayu. Kerajaan negeri perlu infrastruktur yang sewajarnya, seperti khidmat pelabuhan yang bagus, caj pengangkutan yang rendah, bekalan mencukupi serta tenaga elektrik berpatutan dan tenaga kerja amhir.

“(Kerajaan negeri) juga perlukan pelabur yang tahu reka bentuk dan pemasaran yang bagus. Jika ia melibatkan pasaran Eropah, perkara seperti piawaian standard yang perlu diambil kira,” kata bekas ketua menteri Sabah itu ketika dihubungi.

Menurut Yong, kebanyakan cabaran ini telahpun dibincangkan semasa pentadbiran beliau pada 1990-an, di mana beliau menjaga banyak portfolio dalam kerajaan negeri.

“Semua yang kerajaan pimpinan Warisan sebut pada tahun lepas telah banyak kali kami bincangkan sebelum ini bersama agensi seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah, Jabatan Perhutanan, Yayasan Sabah serta pemimpin perniagaan dan persatuan balak,” katanya.

Yong, ketua menteri Sabah dari 1996 hingga 1998 berkata kebanyakan industri berasaskan kayu di Sabah dikuasai oleh warga asing bermula dari pemilikan hinggalah kepada pekerja. Lambakan kayu balak bulat akibat pengharaman eksport itu tidak akan memberi banyak manfaat kepada penduduk Sabah.

Beliau berkata sudah tiba masanya bagi kerajaan pimpinan Warisan memperoleh hasil daripada royalti dalam eksport balak. Dan untuk mewujudkan peluang pekerjaan pula, wang royalti itu boleh digunakan untuk memperbaiki sektor yang menggaji ramai penduduk Sabah iaitu sektor perkhidmatan. – 20 Mei, 2019.

Iklan
Iklan