Iklan

Satu loji sisa tenaga di setiap negeri akan dibina menjelang 2020

Jason Santos5 years ago22nd May 2019Berita
Zuraida
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Zuraida Kamarudin berkata, kementerian merancang untuk membina satu loji sisa tenaga di setiap negeri menjelang 2020 bagi menyelesaikan masalah sampah negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 22 Mei, 2019.
Iklan

KEMENTERIAN Kerajaan Tempatan dan Perumahan merancang untuk membina satu loji sisa tenaga di setiap negeri menjelang 2020 bagi menyelesaikan masalah sampah negara, kata menterinya Zuraida Kamarudin.

WTE merupakan kemudahan pengurusan sisa di mana sampah pepejal dibakar bagi menghasilkan elektrik.

Pada masa sama beliau berkata, usaha dilakukan untuk menggalakkan kitar semula dalam komuniti bagi mengurangkan sisa.

“Pada masa ini terdapat banyak program penebusan untuk mempromosikan kitar semula dalam komuniti perumahan di mana barangan kitar semula boleh ditebus sama ada dengan wang tunai atau makanan.

“Kami mahukan program sedemikian bagi membantu komuniti awam dan perumahan menjana pendapatan dari kitar semula supaya mereka dapat mengekalkan kawasan perumahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu malam tadi.

Program itu merupakan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara.

Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada sasaran Dasar Komuniti Negara untuk membina komuniti mampan di mana kawasan kediaman boleh menghasilkan aktiviti ekonomi bagi mewujudkan kawasan kejiranan yang kondusif.

“Pada masa ini, usaha sedemikian agak aktif di Semenanjung Malaysia tetapi tidak di Sabah,” katanya.

Menurutnya, Penggerak Komuniti Negara akan membantu kementerian mendekati masyarakat bagi menjelaskan dan memastikan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara. – 22 Mei, 2019.

Iklan
Iklan