Politik tempatan, perang dagangan AS-China takutkan pelabur pasaran saham
Iklan
PAKAR ekonomi meragui pasaran saham Malaysia mampu pulih dalam jangka pendek berikutan ketidakstabilan politik tempatan dan global, berkata kerajaan perlu fokus kepada ekonomi.
Walaupun angka pelaburan langsung luar negara Malaysia dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar lebih baik daripada dijangkakan pada suku pertama 2019, pasaran saham menunjukkan ekonomi yang lemah.
Dasar Kementerian Kewangan pada permulaan tahun, seperti bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan dan rebat cukai pendapatan untuk merangsang ekonomi, tidak menunjukkan kesan yang diinginkan.
Sebaliknya, kedua-dua pasaran saham dan bon menyaksikan aliran keluar pelaburan luar negara dalam tempoh 10 minggu lalu.
Pakar ekonomi Hoo Kee Peng berkata pasaran saham dan bon yang perlahan disebabkan penyiaran berita negatif yang berterusan, membawa kepada pelabur hilang keyakinan.
Berita seumpama itu termasuk potensi menurunkan taraf Malaysia oleh penyedia indeks pasaran saham FTSE Russell, dan penarikan balik syarikat pelaburan negara Norway daripada pasaran berkembang dan bon korporat, di mana ia termasuk Malaysia.
Ditambah dengan ketidakstabilan dunia akibat perang dagangan AS-China, banyak pelabur asing kembali ke pasaran AS, menyebabkan ekonomi yang sedang membangun terjejas, termasuk Malaysia.
Hoo berkata sesetengah pelabur asing melihat dasar ekonomi Malaysia tidak mencetuskan keyakinan kepada mereka.
“Sebahagiannya kerana kenyataan yang bercanggah, misalnya hutang negara hampir RM1 trilion atau RM800 bilion?,” katanya.
Hoo berkata situasi politik tempatan juga mencipta persepsi ketidakstabilan, termasuk khabar angin tentang rombakan Kabinet, yang membimbangkan pelabur.
“Contohnya, jika Dr Mahathir Mohamad enggan berundur daripada jawatan perdana menteri, ia akan mencetuskan ketidakstabilan juga. Keadaan itu akan menambah ketidakstabilan ekonomi, menyebabkan pelabur lebih memilih membeli dolar AS,” katanya. – 24 Mei, 2019.
Berita penuh di sini.