Iklan

Pelabur tempatan hanya tunggu dan lihat perang dagangan AS-China 

Bernard Saw5 years ago24th May 2019Berita
Kuala lumpur 080519 tmiseth 01
Perang perdagangan AS-China memberi kesan kepada pelabur tempatan di Malaysia yang masih mencari rentak untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2019
Iklan

PERANG Perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang bermula tahun lalu semakin memuncak, dan pakar ekonomi menyatakan syarikat tempatan hanya mengambil langkah tunggu dan lihat berhubung krisis itu.

Perang perdagangan merupakan isu utama yang memberi kesan terhadap sentimen pelabur tempatan ketika ini, kata pakar strategik Phillip Capital, Phua Lee Kerk.

Faktor lain menyelubungi keputusan pelaburan mereka adalah pendapatan rendah dan pertukaran kerajaan, yang masih mencari rentak untuk mengukuhkan ekonomi menimbulkan kesukaran kepada pemain domestik untuk merancang hala tuju masa depan mereka.

“Dengan perang perdagangan AS-China, sekiranya syarikat China memasuki pasaran, kita tidak dapat bersaing. Itu satu lagi masalah lain.

“Sekiranya mereka hanya mencari rakan perniagaan, ia tidak mengapa, tetapi sekiranya mereka membuka premis perniagaan, adakah kita mampu bersaing? Jadi semua pihak mengambil pendekatan untuk memantau,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Berhubung jangkaan penurunan dalam sektor pengeluaran pada suku ketiga tahun ini, pakar ekonomi itu berkata ia juga mungkin disebabkan oleh ketidaktentuan pada masa hadapan, berikutan syarikat tempatan tidak dapat merancang untuk masa depan.

Mengenai peningkatan pelaburan asing terus pada suku pertama tahun ini, Poon berkata ia mungkin disebabkan syarikat mencari pasaran baharu untuk melabur semasa tempoh ketidaktentuan ini dan ia bukan sesuatu yang boleh diraikan.

Menurutnya, rekod aliran keluar pelaburan asing bagi 10 minggu berturut-turut tidak memberi keyakinan kepada pelabur tempatan.

Poon berkata, pasaran asing juga lebh menarik, menyebabkan pemain tempatan melabur dalam saham dan bon luar negara.

“Sebelum wujdunya internet, mereka hanya boleh melabur melalui pasaran tempatan. Tetapi kini, sekiranya pasaran asing lebih menarik, disitulah mereka akan labur wang mereka,” katanya.

Pengarah eksekutif Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Lee Heng Guie berkata kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghalang pasaran pelaburan tempatan daripada terus merudum, seperti melaksanakan Rangka Kerja Pelaburan Nasional yang disyorkan oleh Bank Negara.

Menurut Lee, pelaburan tempatan yang diluluskan menurun empat tahun berturut-turut sejak 2015, bermula 2014 RM175.1 bilion kepada 2018 RM121.2 bilion, iaitu purata penurunan 8.8% setahun.

Beliau bimbang pelaburan tempatan akan turut terjejas, yang akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan Malaysia dan usahanya untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan eksport.

Lee turut memberitahu The Malaysian Insight, pelaburan dalam beberapa sektor kritikal turut menurun, termasuk penurunan 10.5% dalam sektor perkhidmatan, penurunan 2.3% dalam sektor pengeluaran dan 9.1% dalam sektor industri utama.

Menurut angka terkini Bank Negara, pelaburan swasta tempatan hanya mencatatkan pertumbuhan 0.4% pada suku pertama tahun ini, iaitu satu rekod yang rendah.

Katanya, penurunan pelaburan sektor swasta menunjukkan pelabur berhati-hati dalam ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor dalaman, dan pasaran tempatan masih menyesuaikan diri dengan dasar kerajaan baharu.

Beliau mencadangkan agar kerajaan meneliti faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keputusan pelaburan, termasuk ekonomi, pasaran pelaburan, ketidakpastian pelaburan tempatan, kos modal, keuntungan dan faktor lain untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan. – 24 Mei, 2019

Iklan
Iklan