Iklan

Tak perlu wang berjuta-juta, Orang Asli Gerik hanya mahu tanah

Cunex 20190523 hasnoor 033
Masyarakat Orang Asli Kampung Tasik Cunex membina sekatan setiap petang untuk menghalang pembalak masuk ke hutan tempat tinggal mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Mei, 2019.
Iklan

PENDUDUK Kampung Tasik Cunex di Gerik, Perak hanya mahu tanah adat mereka dikekalkan dan tidak diganggu, kata Tok Batin Roslan Itam.

Mereka sedia berdepan pembalak dan kerajaan negeri Perak kerana mereka percaya ini adalah tanah tinggalan nenek moyang mereka.

“Kami hanya mahu tanah kami, kami tidak mahu ia dimusnahkan lagi,” kata Roslan kepada The Malaysian Insight.

“Walaupun mereka (pembalak) tawarkan berjuta ringgit, kami tidak mahu. Kami hanya mahu tanah ini tidak disentuh.”

Roslan berkata sekiranya pembalakan berterusan, ia pasti membawa kepada kemusnahan tanah dan hutan nenek moyang mereka.

“Akan berlaku bencana kepada tanah ini jika pembalakan berterusan,” katanya.

Masyarakat Orang Asli Kampung Tasik Cunex yang bergeser dengan pembalak itu sejak Februari membina setiap petang untuk menghalang kumpulan berkenaan memasuki hutan.

Setiap pagi, sekatan berkenaan akan dibuka oleh pembalak dan kitaran tersebut akan berulang.

“Kami akan tetap membina sekatan selagi mereka terus datang ke sini melakukan pembalakan,” kata Roslan.

Beliau mendakwa pembalak datang ke kampung itu untuk merasuah mereka, tetapi bertegas dengan pendirian bahawa mereka tidak akan terpedaya dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit.

“Kami tidak perlukan wang mereka, tidak ada gunanya di sini. Kami hanya mahu tanah ini tidak diusik.”

Komuniti dengan 117 orang penduduk kampun itu melihat cara hidup mereka terancam dengan pembalakan yang berterusan di kawasan itu.

Tok Batin Roslan Itam berkata mereka hanya mahukan tanah mereka, tidak perlu wang berjuta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Mei, 2019.

Kerajaan negeri Perak pula menyebelahi pembalak dan memberi amaran kepada Orang Asli bahawa tanah tersebut milik kerajaan.

“Cara hidup dan budaya kami terancam. Kami masuk hutan untuk mencari makan demi meneruskan hidup, tetapi dengan adanya pembalakan itu, tidak akan ada lagi hutan tempat kami bergantung,” katanya.

Papan tanda amaran kelihatan di hutan rizab Air Chepam berhampiran Kampung Orang Asli Tasek Cunex di Gerik, Perak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Mei, 2019.

Kesan pada alam sekitar

Roslan berkata sejak aktiviti pembalakan bermula, air di Tasik Cunex yang menjadi sumber utama bekalan air mereka semakin berkurangan dan menjadi semakin keruh.

“Air itu dulu jernih, sekarang keruh, ikan pun tiada sekarang. Dulu kami tangkap ikan di situ,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini berlaku kekurangan sumber air dan makanan di kampung itu.

“Kawasan di mana kami selalu cari makanan sudah ditebang dan keadaan sudah berubah,” katanya.

Tok Batin Kampung Tasik Cunex di Gerik, Perak Roslan Itam menunjukkan sungai yang menjadi sumber air penduduk kampung itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Mei, 2019.

Menurutnya, tanah yang ingin dipertahan itu seluas kira-kira 12,500 ekar.

Masyarakat Orang Asli di sini adalah waris keturunan Perak Man, penduduk tertua yang dikesan mendiami kawasan tersebut 13,000 tahun lalu.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mempertahankan tindakan merobohkan sekatan itu dan menyatakan pembalak berkenaan memenuhi semua syarat untuk menjalankan aktiviti mereka.

Beliau juga mendakwa Kampung Tasik Cunex adalah serpihan daripada penempatan Orang Asli Kampung Sungai Sarok yang mencerobohi kawasan rizab hutan Air Cepam. – 25 Mei, 2019.

Iklan
Iklan